Semalam, kita semua menyaksikan, ia telah pun menjadi kanser, dan merebak, menyerang pula institusi kehakiman negara.
Hari ini, Mahkamah Rayuan Putrajaya memutuskan dan mengisytiharkan peruntukan Enakmen Jenayah Syariah NS yang menghalang serta menghukum lelaki yang berpakaian seperti wanita merupakan suatu peruntukan yang bercanggah dengan Perlembagaan Persekutuan.
Perkara yang kita risaukan suatu ketika dulu benar-benar menyerang negara. Keputusan Hakim Mahkamah RAyuan ini akan memberi impak yang besar kepada negara, di antaranya seperti berikut:
1) Mulai hari ini, peruntukan Syariah mengenai kesalahan lelaki berpakaian menjadi wanita di seluruh negeri-negeri di Malaysia akan menjadi tidak sah dan terbatal.
2) Keputusan hari ini akan menjadi titik tolak untuk golongan LGBT untuk mencabar peraturan-peraturan dan undang-undang lain yang berkaitan larangan terhadap kaum LGBT di atas nama persamaan (Perkara 8 Perlembagaan Persekutuan), Kebebasan diri (Perkara
5), Kebebasan bergerak (Perkara 9), dan kebebasan bercakap, berhimpun dan berpersatuan (Perkara 10). Perkara yang paling ditakuti sekali ialah pada kemuncaknya, perjuangan untuk menuntut untuk dihalalkan hubungan homoseksual dengan memansuhkan Seksyen 377 Kanun Keseksaan, menuntut untuk membenarkan perkahwinan sejenis, menuntut untuk dihalalkan pertukaran menukar jantina, dan sebagainya di atas nama kebebasan, dan persamaan.
3) Keputusan hari ini, benar-benar mencemarkan, menghina dan menjatuhkan martabat institusi agama seperti Mahkamah Syariah, Jabatan agama Negeri, seperta institusi Fatwa.
Kita menentang perjuangan LGBT, bukan kerana kita anti kepada golongan LGBT. kerana sesungguhnya kita mengasihani dan menyayangi mereka sebagai seorang manusia, kita hormat mereka sebagai seorang manusia, kita tidak boleh mengapa-apakan mereka atas dasar mereka seorang manusia, Oleh yang demikian, adalah tidak halal untuk sesiapa pun mengapa-apakan golongan LGBT ini atas dasar kemuliaan insan, namun dalam masa yang sama golongan LGBT ini juga seharusnya menghormati kumpulan majoriti di dalam negara yang beragama ini, dengan menghormati peraturan-peraturan agama. sesungguhnya semua agama menentang perjuangan hak golongan LGBT ini.
Sesungguhnya keputusan hari benar-benar menjadi virus terbesar yang akan memusnahkan Islam dan identiti Islam kepada masyarakat Islam dan seluruh masyarakat yang beragama di Malaysia. Ia akan turut memusnahkan identiti negara yang bercirikan agama. Moga-moga rayuan akan terus dibuat di Mahkamah Persekutuan, demi menyelamatkan masyarakat beragama di negara ini.
Abu Akhyar @Khairul Anwar Ismail (Ketua Biro Undang-Undang ABIM)