Halaman

Memaparkan catatan dengan label Dari ABIM Pusat. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label Dari ABIM Pusat. Papar semua catatan

Khamis, September 09, 2010

PERUTUSAN AIDILFITRI 1431:TEGUHKAN UKHWAH BAGI MEMBINA MASYARAKAT BERTAKWA



Allahu Akbar, Allau Akbar, Allau Akbar.

Alhamdulillah, kita telah berjaya menyempurnakan ibadah besar berpuasa di bulan Ramadhan. Sebagai tanda kejayaan ini, kita telah dianugerahkan oleh Allah swt Hari Kemenangan atau Hari Raya Aidilfitri. Perayaan ini adalah kurnian Allah swt secara khusus kepada kepada seluruh masyarakat Muslimin kerana kemenangan kita berdepan dengan hawa nafsu sepanjang sebulan yang lalu. Kemenangan ini juga adalah salah satu tanda pencapaian kita di dalam perjalanan rohani menuju taqwa iaitu sebuah darjat kesempurnaan insan yang tertinggi di sisi Allah swt. Cita-cita mencapai taqwa adalah falsafah terpenting ibadah berpuasa di bulan Ramadhan sebagaimana firman Allah di dalam surah al- Baqarah, ayat 183.

“Wahai orang yang beriman!Diwajibkan kamu berpuasa sebagaimana diwajibkan ke atas orang-orang terdahulu daripada kamu, supaya kamu bertaqwa”.

Firman Allah ini memberi petunjuk akan kepentingan taqwa di dalam kehidupan seseorang insan. Seseorang yang mencapai tingkat taqwa ialah seorang yang sentiasa di dalam keadaan sedar akan perhubungan dirinya dan keterkaitan seluruh amal perbuatannya dengan Allah swt, Pencipta dan Pemilik seluruh alam ini.. Pencapaian tahap taqwa ini juga bererti seseorang Muslim itu telah memenuhi pengertian al-Ihsan sebagaimana dapat difahami dari sabda Nabi Muhammad saw: “ Ihsan itu ialah apabila kamu melakukan ibadah, kamu merasakan dirimu sedang melihat Allah swt dan sekiranya kamu tidak melihatnya, maka kamu merasakan bahawa Allah swt sedang melihat kamu”. (Hadis Riwayat Muslim).

Oleh itu, bersempena dengan sambutan Aidilfitri pada tahun ini, marilah kita meningkatkan azam dan cita-cita kita untuk menjadi generasi yang bertaqwa. Dalam ertikata lain, kita hendaklah berazam untuk menjelmakan prinsip dan nilai-nilai taqwa di dalam seluruh aspek kehidupan harian kita. Sesungguhnya, sekiranya kita dapat menjelmakan nilai-nilai taqwa ini, ia bermakna kita adalah tegolongan dari kalangan orang-orang yang memperoleh kemenangan kerana telah menyempurnakan maksud dan tujuan sebenar ibadah terbesar Ramadhan.

Usaha menyempurnakan nilai-nilai taqwa menuntut kita untuk meneruskan dayausaha pembangunan diri dan masyarakat secara lebih gigih. Di peringkat kehidupan individu, kita harus meningkatkan disiplin kerohanian menerusi pengukuhan tahap pemahaman dan penghayatan Islam secara menyeluruh. Untuk itu, amalan-amalan ibadah khusus seperti bersolat, berzakat dan membantu golongan yang memerlukan harus dibudayakan dengan berterusan. Amalan-amalan mulia ini akan mendekatkan diri kita kepada Allah swt secara berterusan.

Sepanjang Aidilfitri ini, kita hendaklah mengambil kesempatan untuk meningkatkan silaturrahim dan ukhwah sesama sesama sanak saudara dan sahabat handai. Pada hari yang mulia ini, kita haruslah memohon maaf terutama kepada ibubapa dan sesiapa sahaja atas segala kesalahan dan kesilapan yang disegajakan atau yang tidak disegajakan. Dengan penyataan kemaafan ini,kita akan memperteguhkan semangat ukhwah dan persaudaraan sesama Muslim.

Namun, suatu yang lebih bermakna lagi dari budaya bermaafan ini ialah kerana ia akan menggolongkan diri kita dari kalangan orang-orang yang bertaubat . Bagi mereka yang bertaubat, ganjaran dan limpahan kurnia Allah amat besar dan luas sekali. Allah swt berfirman di dalam surah Ali-Imaran, ayat 133:

“Dan bersegeralah kamu kepada ampunan dari Tuhanmu dan kepada surga yang luasnya seluas langit dan bumi yang disediakan untuk orang-orang yang bertakwa.”

Bagi merealisasikan prinsip taqwa di dalam kehidupan juga, adalah wajar untuk kita menyeru bersempena dengan sambutan Aidilfitri tahun ini kepentingan bagi usaha meningkatkan interaksi atau perhubungan kita dengan al-Quran dan al-Sunnah. Ini bermaksud, kita harus berazam untuk membudayakan al-Quran dan al-Sunnah di dalam kehidupan secara menyeluruh. Dalam erti kata lain, kita hendaklah bercita-cita untuk meningkatkan budaya bertilawah iaitu membaca dan merenung ayat-ayat suci al-Quran dan menghayati cara hidup Rasulullah saw.

Kedua-dua al-Quran dan al-Sunnah ialah sumber terpenting kehidupan seorang Muslim. Di dalam sebuah sabda Nabi Muhammad, kedua-dua sumber ini ialah petunjuk utama dan sekiranya seseorang itu benar-benar menghayati erti dan pengajaran dari kandungan maka seseorang itu tidak mungkin akan tergelincir di dalam kesesatan dalam kehidupannya.

Bagi tujuan ini, kita hendaklah memperbanyakkan ibadah bertilawah al-Quran sebagai tanda kita mengingati Allah dan mendekatkan diri kepadaNya. Setelah itu, kita hendaklah beriltizam untuk memahami kandungan al-Quran dan menghayati sunnah dan sirah Rasulullah.

Bersempena dengan Aidilfitri tahun ini, kita juga harus beriltizam untuk meningkatkan sumbangan dakwah menyampaikan risalah Islam ke arah melahirkan masyarakat bertaqwa dengan lebih produktif . Pada masa kini, terdapat banyak saluran dan pendekatan yang boleh dimanafaatkan bagi mendekatkan masyarakat kepada penghayatan cara hidup beragama. Kita perlu memanafaatkan perkembangan teknologi hari ini bagi membangunkan produk-produk dakwah terbaik dan menarik kepada masyarakat khususnya kepada generasi muda, remaja dan kanak. Di samping itu, usaha-usaha dakwah menerusi lisan dan tulisan hendaklah diteruskan dan digembleng secara lebih teratur. Ini bagi memastikan arus dakwah terus berkembang dan membentuk sebuah gelombang besar bagi membangunkan sebuah Ummah yang diteraskan kepada prinsip-prinsip taqwa kepada Allah.

Bersempena dengan Aidilfiti ini juga, marilah kita memperbanyakan doa kepada Allah:

اَللَّهُمَّ أَصْلِحْ لَنَا دِيْنَناَ الَّذِى هُوَ عِصْمَةُ أَمْرِنَا وَأَصْلِحْ لَنَا دُنْيَانَ الَّتِى فِيْهَا مَعَاشُنَا وَأَصْلِحْ لَنَا آخِرَتَنَا الَّتِى فِيْهَا مَعَادُنَا وَاجْعَلِ الْحَيَاةَ زِيَادَةً لَنَا فِى كُلِّ خَيْرٍ وَاجْعَلِ الْمَوْتَ رَاحَةً لَنَا مِنْ كُلِّ شرٍّ

“Ya Allah, perbaikilah agama kami untuk kami, karena ia merupakan benteng bagi urusan kami. Perbaikilah dunia kami untuk kami yang ia menjadi tempat hidup kami. Perbaikilah akhirat kami yang menjadi tempat kembali kami. Jadikanlah kehidupan ini sebagai tambahan bagi kami dalam setiap kebaikan dan jadikan kematian kami sebagai kebebasan bagi kami dari segala kejahatan”.

Bagi pihak seluruh kepimpinan ABIM, saya mengucapkan Selamat Hari Raya Aidilfitri kepada seluruh masyarakat Muslimin di Malaysia. Maaf Zahir dan Batin.

Allahu Akbar, Allahu Akhbar, Allahu Akbar.



Sekian.

Muhamad Razak Idris

Presiden ABIM Kebangsaan 2010/2011

Rabu, November 11, 2009

Kontroversi Elak Debat Dalam Media

Kuala Lumpur : Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Jamil Khir Baharom dan badan bukan kerajaan (NGO) Islam meminta kontroversi membabitkan bekas Mufti Perlis, Dr Mohd Asri Zainul Abidin, tidak terus diperdebatkan melalui media massa bagi mengelak kesucian agama Islam dipandang serong.

Jamil Khir berharap Dr Mohd Asri juga sedia menerima permohonan maaf Penolong Pengarah Institut Latihan Islam Malaysia (Ilim), Zamihan Mat Zain Al Ghari yang membuat kenyataan berhubung taraf kelulusan bekas mufti itu serta menolak dakwaan Dr Mohd Asri kononnya Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) mahu mensabotajnya.

Timbalan Presiden Angkatan Belia Islam Malaysia (Abim), Amidi Abdul Manan, berkata Islam menganjurkan perselisihan pandangan, tetapi tidak boleh merosakkan ukhuwah dan solidariti umat.

Sumber dipetik : http://www.bharian.com.my

Selasa, Ogos 04, 2009

Barisan Pimpinan ABIM Pusat

Bersempena dengan Muktamar Sanawi ABIM yang ke-38 di Dewan Besar, Sekolah Agama Menengah Tinggi Tengku Ampuan Jama’ah (SAMTTAJ), Shah Alam, Selangor Darul Ehsan, telah menyaksikan pertukaran kepimpinan ABIM untuk sessi pimpinan 2009 sehingga 2011.


Muktamar ABIM telah sebulat suara memilih Muhamad Razak Idris sebagai presiden. Beliau bertugas sebagai pensyarah di Fakulti Pengajian Islam, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM). Manakala jawatan timbalan presiden telah disandang oleh Amidi Abdul Manan, yang merupakan seorang pendidik di sebuah sekolah di Pahang. Berikut adalah pimpinan ABIM untuk sessi 2009 / 2011



Naib Presiden: Ahmad Saparuddin Yusup

Khairul Faiz Morat

Fadhlina Siddiq

Setiausaha Agung: Muhd Raimi Abd Rahim

Setiausaha Kewangan: P Aizan Tukirin

Penolong Setiausaha Agung: Maria Kamel

Ketua Biro Dakwah: Naim Mohd Noor

Ketua Biro Penerangan: Mohd Hilmi Ramli

Ketua Biro Pembangunan Sosial: Akmal Hisham Abdul Rahim

Ketua Biro Penyelidikan: Fauwaz Hasbullah

Ketua Biro Penataran: Abdul Razak Aripin

Ketua Biro Pendidikan: Dr Haslinda Abdullah

Ketua Biro Ikhtisas: Dr Mohd Mahyudi Bin Yusop

Ketua Biro Tugas-tugas Khas (Kesihatan): Dr Saifullah Al-Hany Abdul Halim

Ketua Biro Tugas-tugas Khas (Latihan): Noryzal Zainal Abidin

Ketua Biro Tugas-Tugas Khas (Perhubungan Antarabangsa) : Jufitri Joha

Ketua Biro Tugas-Tugas Khas (IT dan Perhubungan): Adli Abdul Wahid


Kepimpinan baru ABIM komited untuk sama-sama menyumbang dalam proses pembinaan generasi belia Islam secara khusus dan masyarakat secara amnya ke arah pembentukan negara Malaysia yang sejahtera.


MOHAMAD RAIMI ABDUL RAHIM
Setiausaha Agung,
Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM)


Rabu, Mei 30, 2007

Perkembangan Kes Lina Joy