Halaman

Memaparkan catatan dengan label Berita Utama. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label Berita Utama. Papar semua catatan

Ahad, Januari 16, 2011

Perutusan Sempena Perlancaran Sambutan 40 Tahun ABIM



ABIM bukan nama asing di pentas dakwah negara ini. Tahun ini, ABIM akan menyambut ulang tahun penubuhannya yang ke-40. Menurut Prof John C Raines, seorang pengkaji Islam dari Amerika Syarikat dalam rencananya mengenai sejarah perjuangan ABIM, beliau membahagikan pertumbuhan ABIM sebagai pertubuhan dakwah kepada beberapa era utama. Era pertama ia mula ditubuhkan pada 1971, ABIM mendepani persekitaran masyarakat yang ‘rapuh’. Kerana pada sekitar tahun itu negara baru saja 12 tahun mencapai kemerdekaan.

ABIM muncul ketika usia negara terlalu muda serta tidak mempunyai sistem pemerintahan kukuh dalam segala aspek kehidupan. Banyak perkara diwarisi daripada sistem penjajahan terutama segi dasar dan sistemnya terus diguna pakai kepemimpinan awal negara. Keadaan ini menimbulkan rungutan dan kekecewaan masyarakat Melayu kerana sistem pemerintahan tidak berupaya memenuhi aspirasi kemerdekaan mereka khususnya dalam memajukan ekonomi mereka yang amat daif akibat dasar ‘pecah dan perintah’ yang diamalkan penjajah.

Keadaan ketidakseimbangan ekonomi antara kaum dicatat seorang penganalisis yang mana dari keseluruhan pemilikan ekuiti pada 1971, British memiliki 65 peratus, masyarakat Cina (27 peratus) manakala masyarakat Melayu hanya memiliki 2 peratus ekuiti. Realiti ini menggusarkan semua pihak dan mendorong penentangan masyarakat yang kecewa.

Dalam latar masyarakat yang sebeginilah ABIM sebagai sebuah pergerakan dakwah membentuk dirinya pada awal penubuhan. Kegiatan yang bersifat protes bagi menyuarakan isi hati dan menyampaikan realiti sebenar masyarakat umum yang ketinggalan pada arus pembangunan negara begitu sinonim dengan ABIM. Walaupun corak kegiatan dakwah ini dilihat terlalu lantang dan keras, namun ia dijayakan atas cita-cita perjuangan yang murni iaitu bagi memastikan semua pihak terutama masyarakat Melayu terbabit secara aktif dan tidak ketinggalan dalam arus pembangunan negara selepas kemerdekaan.

Selepas melalui era ini, dinamika pergerakan ABIM melalui fasa baru sekitar 1980–an dan 1990–an. Masyarakat dan melalui pengalaman baru pembangunan kesan dari beberapa dasar negara yang mula proaktif terhadap realiti sosio-ekonomi semasa. Selepas peristiwa 13 Mei 1969 di mana terjadi pertembungan kaum di negara ini, kerajaan memperkenalkan Dasar Ekonomi Baru (DEB). Tumpuan khusus dasar ini bagi membentuk keseimbangan ekonomi dan ia memberi manfaat kepada masyarakat Melayu.

Berdasarkan rekod, pemilikan ekuiti masyarakat Melayu meningkat daripada 2 peratus pada 1971 kepada 19 peratus pada 1994, walaupun dalam masa sama ekuiti masyarakat Cina meningkat daripada 27 peratus pada 1971 kepada 45 peratus pada 1994. Peningkatan keupayaan ekonomi Melayu memberi kesan kepada kehidupan masyarakat. Apa yang jelas pertambahan golongan kelas menengah dan elit. Sebahagian besar masyarakat memperoleh peluang pendidikan sama ada di dalam atau luar negara. Kesan lain ialah aspek kebudayaan. Masyarakat terdedah dengan kebudayaan global yang berkembang tanpa kawalan.

Pada era baru ini, ABIM bertukar corak. Dasar dan sikap pemerintah yang dinamik dalam memenuhi tuntutan dan keperluan masyarakat terutama dalam aspek ekonomi, pendidikan dan agama membuka ruang yang luas kepada usaha pengisiannya. ABIM menumpu usahanya sebagai rakan dalam pembangunan negara. Penyertaan ABIM dalam pelbagai bidang pembangunan masyarakat bagi memastikan perkembangan masyarakat dimanfaatkan dengan mewujudkan persekitaran yang mendorong penghayatan agama secara lebih menyeluruh.

Saya sering ditanya apakah agenda ABIM selepas ini? Pada saya, ABIM pada alaf baru harus mempersiapkan masyarakat terutama generasi muda mendepani era masyarakat terbuka. Realiti dunia bersifat global menuntut persediaan luar biasa terutama dari segi ketahanan ilmu dan budaya. Jika tidak, masyarakat kita berdepan krisis jatidiri yang parah. Kita tentu tidak menginginkan negara mencapai status maju namun asing di tanah air akibat jati diri yang larut dalam kebudayaan asing. Inilah agenda besar dakwah ABIM untuk beberapa dekad mendatang.

Ahad, September 26, 2010

Tangani Islamophobia: Presiden ABIM


Terdapat dua kemungkinan utama yang membawa kepada peristiwa pembakaran al-Quran oleh beberapa individu dan puak pelampau agama yang dipelopori oleh Terry Jones, seorang paderi di Amerika Syarikat baru-baru ini. Kemungkinan pertama ialah, seruan terhadap usaha yang biadab dan tidak bertamadun tersebut memang suatu provokasi yang terancang. Ia boleh ditanggap sebagai antara rentetan usaha bersiri oleh kumpulan individu berkepentingan bagi memastikan agama Islam dan penganutnya terus dicemar dan dihina.

Usaha ini ialah sebahagian dari strategi serangan psikologi dan kebudayaan bagi memastikan imej Islam terus terpenjara di dalam lingkaran persepsi yang negatif dan berbahaya untuk didekati, malah sebagai suatu ancaman terhadap tradisi ketamadunan Eropah pada masa kini. Sebagaimana telah kita ikuti sebelum seruan pembakaran al-Quran ini dianjurkan, rentetan lain beberapa waktu terdahulu ialah tindakan biadap kartunis dari sebuah negara Eropah yang melakarkan lukisan yang mengeji kehidupan Nabi Muhammad.

Atas nama kebebasan bersuara, usaha-usaha yang keji mencemarkan unsur-unsur kesucian di dalam sesebuah agama telah dibenarkan berleluasa sehingga mengguris hati dan perasan jutaan masyarakat Islam seluruh dunia. Kemungkinan kedua yang membawa kepada peristiwa pembakaran al-Quran ini juga ialah kerana kejahilan masyarakat Eropah terhadap agama Islam itu sendiri. Sesetengah individu dan kelompok masyarakat Eropah khususnya memperoleh pengentahuan tentang agama Islam dan penganutnya menerusi cara yang tidak tepat.

Tanggapan negatif terhadap agama Islam adalah berpunca dari laporan media massa yang bersikap perjudis dan bias terhadap Islam dan ajarannya. Akibat dari kejahilan ini ialah kemunculan perasaan benci dan takut terhadap apa juga unsur yang memaparkan atau mengandungi imej Islam. Kesan dari rasa terancam ini telah mendorong pula perlakuan-perlakuan yang tidak bertamadun bagi memberi tindakbalas terhadap ancaman yang dihadapi.

Inilah antara dua faktor terdekat yang telah membawa kepada peristiwa yang amat mendukacitakan sekali bagi para penganut agama di seluruh dunia. Ia sungguh mendukacitakan kerana peristiwa sebegini terjadi di sebuah negara yang menobatkan dirinya sebagai masyarakat yang bertamadun sekali di dunia ini. Namun, dalam masa yang sama, kedapatan sebahagian para penduduknya pula memaparkan watak yang tidak bertamadun sekali sehingga berkesanggupan mencemarkan kitab suci sesebuah agama tanpa ada rasa tanggungjawab dan penghormatan terhadap kemulian orang lain.

Disebalik rasa dukacita kita terhadap kesanggupan sesetengah individu dan puak pelampau agama menghina kesucian agama yang kita anuti, sebagai penganut agama Islam, kita jangan sesekali melatah dan membuat tindak balas secara tidak bertamadun serupa juga. Sebagai penganut agama Islam yang menekankan pendamaian dan kesejahteraan, kita jangan terbabit dengan kegiatan membakar kitab suci penganut agama lain.

Protes dan bantahan terhadap perbuatan biadab tersebut harus kita lakukan bagi menunjukkan sikap dukacita dan ketidakpuasan hati terhadap amalan yang tidak bertamadun tersebut. Namun, ia harus diterjemahkan menerusi saluruan yang aman dan bertamadun. Sebenarnya, sejarah sikap prejudis dan bias masyarakat Eropah terutamanya terhadap agama Islam sekiranya ditelusuri telah berlangsung dengan agak lama.

Peristiwa lampau terutamanya perseteruan secara bersenjata sebagaimana telah berlaku menerusi pertelingkahan yang sering dirujuk sebagai ‘Perang Salib’ beberapa kurun lalu banyak mempengaruhi corak dan rentak perhubungan antara masyarakat Islam dan Eropah pada masa kini.

Di era semasa hari ini, pandangan prejudis dan bias terhadap agama Islam dan tamadunnya mula dibincangkan secara meluas setelah teori pertembungan tamadun diperkenalkan oleh seorang ahli teori politik dari Amerika Syarikat bernama Sameul Huntington dalam sekitar tahun 1993. Menerusi teori ini, beliau cuba menggambarkan pola pertembungan dunia pada masa depan akan dipengaruhi oleh faktor ketamadunan.

Di dalam tanggapan ini, tamadun Islam adalah antara peradaban yang berpotensi besar mencabar kestabilan dunia pada masa akan datang. Teori yang diperkenalkan oleh Huntington ini bukanlah suatu yang terlalu baru dalam konteks masyarakat pada waktu itu sekiranya ditelusuri secara teliti. Namun, ia menjadi titik tolak penting kerana sumbangannya di dalam membuatkan pengesahan secara akademik terhadap sentimen prejudis dan bias terhadap agama Islam yang telah pun wujud di dalam bentuk persepsi umum yang telah berlarutan sebelumnya.

Persepsi negatif terhadap agama Islam ini disumbangkan dengan amat berkesan oleh laporan media massa terhadap pelbagai peristiwa dan fenomena kebudayaan dan sosial di dalam dunia Islam semasa. Persepsi prejudis terhadap Islam ini dapat kita perhatikan di dalam pelbagai laporan akhbar di mana agama dan penganutnya sering dikaitkan dengan unsur keganasan, kemunduran dan ketidak tamadunan.

Sumbangan media massa di dalam membina tanggapan negatif terhadap Islam ialah menerusi penciptaan istilah-istilah seperti ‘terroris Islam’, ‘militan Islam’, ‘extremis Islam’ atau ‘Islam fundamentalis’. Selain aspek pengistilahan, agama Islam juga sering dikaitkan dengan agama bagi orang-orang Arab, agama yang menekan dan mengeksploitasi wanita, agama yang anti kepada kemajuan dan moderniti dan agama yang menentang hak asasi manusia.

Dengan bersumberkan maklumat dari ahli-ahli akademik yang juga bersifat prejudis, media massa telah menyebarkan kefahaman dan maklumat yang tidak tepat terdapat agama Islam dan penganut secara tidak benar secara berterusan dan telah menyumbang kepada kejahilan masyarakat Barat terhadap Islam sehingga membawa kepada perasaan benci dan takut terhadap fenomena Islam sebagaimana tergambar di dalam perbuatan membakar al-Quran baru-baru ini.

Fenomena Islamophobia ini nyata merupakan cabaran dakwah utama pada masa kini yang harus ditangani secara berhemah oleh pendakwah dan pergerakan-pergerakannya. Strategi menyeluruh bagi menangani kejahilan masyarakat Eropah terhadap Islam perlu dijayakan. Langkah pertama bagi menangani cabaran ini harus bermula pada setiap individu Muslim terlebih dahulu iaitu dengan menyedari serta peka terhadap permasalahan yang sedang berlaku dan hendaklah berusaha memahami latar peristiwanya secara menyeluruh.

Menerusi kesedaran asas ini, kita akan bersikap prihatin untuk memikirkan secara serius langkah-langkah penyelesaian di dalam mendepani cabaran ini pada masa akan datang.

Muhamad Razak Idris
Presiden ABIM Kebangsaan

http://www.abim.org.my/component/content/article/28-artikel-pilihan/737-tangani-islamophobia-presiden-abim.html

Selasa, Ogos 17, 2010

KEMPEN SEKAMPIT BERAS


Pihak ABIM Kelantan sedang melancarkan program kebajikan untuk golongan yang memerlukan. Kami mengalu-alukan sebarang sumbangan wang atau keperluan harian daripada Dato' Datin Tuan Puan sdra sdri. Sumbangan tidak terhad kepada sedeqah tetapi dibuka fidyah dan zakat. Huluran sumbangan boleh terus ke akaun BIMB Kubang Kerian 3018010005324 ABIM Kelantan.

Baktimu Memaknai Ramadhan Kareem...

Ust. Mohd Faisal Bin Abdullah
Yang Di-pertua
ABIM Kelantan

Rabu, Jun 23, 2010

PPIK dan ABIM Kelantan Menganjurkan MENARA 2010




Pada 17 – 19 Jun 2010, Persatuan Pembimbing Pelajar Islam (PPIK) bersama Angkatan Belia Islam Malaysia Negeri Kelantan (ABIM Kelantan) sekali lagi telah menganjurkan Perkampungan Menara Gading atau singkatannya (MENARA 2010) bertempat di Irama Beach Resort, Kampung Nipah, Bachok Kelantan.

MENARA 2010 yang juga dikenali sebagai "PMG" ini merupakan program tahunan PPIK kepada pelajar-pelajar yang bakal bergelar mahasiswa dengan memberi pendedahan awal serta cabaran yang akan di tempuhi sepanjang berada di kampus dan membina jatidiri yang kukuh agar tidak terikut dengan arus negatif seperti gejala sosial yang sekarang ini banyak melibatkan penuntut-penuntut daripada IPT.

Pada tahun ini, pihak PPIK mensasarkan peserta kepada pelajar-pelajar yang akan menempuhi ujian SPM, STAM dan STPM pada tahun ini kerana pada MENARA 2010 pusingan kedua nanti iaitu selepas musim peperiksaan, peserta-peserta ini akan dibawa ke IPT-IPT tempatan yang dipanggil “Explore IPT”.

Peserta MENARA 2010 adalah seramai 70 orang daripada pelbagai sekolah disekitar Kota Bharu dan yang berhampiran dengannya seperti SMKA Naim Lil Banat, SMK Ketereh, Maktab Sultan Ismail (SIC), SMK Putera, SMK Kota, SMU(A) Maahad Pengajian Islam (MPI) dan turut disertai oleh ahli-ahli Pengakap Kelana (Raja) Kota Bharu dan juga pelajar-pelajar perubatan persediaan yang akan ke Mesir.

Majlis penutup di pengerusikan oleh Saudara Farid Noor, aktivis GPTD yang juga merupakan antara DJ Kelantan FM. Seterusnya ucapan alu-aluan oleh Pengarah Program iaitu Saudara Mohd Syahiran Bin Muhammad yang juga Setiausaha Agung PPIK dan Ketua Biro Siswazah ABIM Kelantan. Kemudian ucapan alu-aluan oleh YDP ABIM Kelantan iaitu Ust. Faisal Bin Abdullah yang juga merupakan YDP kepada Majlis Belia Kelantan (MBK) dan ucapan penyempuraan majlis penutupan MENARA 2010 oleh En.Sahabuddin, Pegawai Jabatan Belia dan Sukan, Daerah Bachok. Turut hadir dalam majlis ini ialah Puan Rohani yang merupakan Timbalan YDP MBK dan En.Zul yang merupakan Setiausaha MBK.

Diakhir majlis ini, barisan VIP naik kepentas untuk menyempurnakan replika menara yang dibina daripada penyedut minuman (Straw) oleh urusetia dan tayangan video sepanjang program MENARA 2010 ini.

Pihak pengajur MENARA 2010 mengucapkan jutaan terima kasih kepada pihak-pihak yang banyak membantu dari segi material ataupun memberi dorongan kepada pihak PPIK untuk menganjurkan program yang penting dan besar ini. Tidak lupa juga kepada pihak Menteri Besar Kelantan, YAB Tuan Guru, Nik Abdul Aziz Bin Nik Mat, pihak Pengarah YaPEIM, pihak Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan (MAIK) dan pihak Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia (PKPIM) kerana sudi membantu dari segi menampung perbelanjaan dalam menghasilkan generasi baru yang akan member manfaat kepada semua.

Terima kasih juga kepada pihak Sinar Harian edisi Kelantan, melalui wartawanya Sapinah Abd. Ghani kerana sudi membuat liputan mengenai MENARA 2010 dan memamarkannya dalam akhbar tersebut pada keluaran 21 dan 23 Jun 2010.
Antara Aktiviti Yang Di Jalankan :








Pengenalan Urusetia dan Fesilitator :



Master Trainner : Bro. Afzan


Komentar Peserta


Ucapan Dari Penghulu


Ucapan Dari Penghuluwati



Ucapan Pengarah Program
Ucapan YDP ABIM Kelantan

Ucapan Pegawai Belia dan Sukan Daerah Bachok

Penyempurnaan Replika MENARA 2010

Pembahagian Sijil Peserta


Penghargaan Daripada Pihak Penganjur

Dif serta VIP menyanyikan lagu Negaraku, Hidup Biar Berjasa dan Menara Gading

Saudari Sapinah : Wartawan Sinar Harian Daerah Bachok

Gergambar bersama peserta , urusetia dan barisan dif-dif jemputan

Saf Jawatankuasa, Urusetia dan Fesilitator MENARA 2010
Mendapat liputan Sinar Harian pada 21 dan 23 Jun 2010

Selasa, Mac 30, 2010

Ust. Faisal Abdullah Sebagai YDP MBK 10/11

Sesi pemilihan pucuk pimpinan Majlis Belia Negeri Kelantan (MBK) yang menjadi badan cawangan negeri kepada Majlis Belia Malaysia (MBM) telah memutuskan untuk memberi mandat kepada perwakilan ABIM Kelantan iaitu Al-Fadhil Ust Faisal Abdullah sebagai Yang Di Pertua MBK.

Ust Faisal Abdullah yang juga YDP ABIM Kelantan akan mengemudi MBK selama setahun iaitu dalam sesi 2010/11.

Pihak ABIM Kelantan mengucapkan jutaan terima kasih kepada perwakilan yang memmilih dalam sesi pilihan raya, kerana memberi kepercayaan kepada ABIM dalam menggerakkan MBK ini bersama-sama sahabat NGO belia yang lain dalam terus mendekati golongan remaja dan belia dalam menjana negerasi yang berkualiti lebih-lebih lagi dalam membudayakan Ilmu.

Ucapan tahniah juga kepada YDP ABIM Kelantan kerana telah ditentukan Allah untuk memegang satu lagi amanah yang berat dan semoga ia dipermudahkan Allah serta kepada saudara Faizul Afzan yang juga Penolong Setiausaha(PSU) ABIM Kelantan kerana dilantik sebagai PSU kepada MBK yang bertanggungjawab dalam pembangunan multimedia.