Halaman

Selasa, Ogos 17, 2010

Sejarah ABIM Kelantan

Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) Negeri Kelantan didaftarkan secara rasmi pada 05 hb Mac 1971 dengan nombor rujukan pendaftaran Bil (2) dlm. R.of S. 882/71-2. Yang Dipertua ABIM Negeri Kelantan yang pertama dilantik ialah Tuan Kamaruddin Tuan Muhammad 1973-1974.

Pada tahun 1974-1977 dipimpin oleh Drs. Abd. Ghani Azmi Idris.

Tahun 1978-1981 diterajui oleh Ust. Muhammad Daud Iraqi. Dipimpin kembali oleh Drs. Abd. Ghani Azmi pada 1981-1983. Pada tahun 1983-1993 dipimpin pula oleh Ust. Wan Hassan Wan Muhammad.

Tahun seterusnya iaitu 1993-2000, Ust. Muhammad Mustaffa dipilih sebagai YDP ABIM. Kemudian beralih kepimpinan kepada Ust. Mustaffa Mat Daud pada 2000-2007.

Bagi penggal seterusnya sejajar dengan perkembangan akta pertubuhan belia, ABIM Kelantan telah mengambil inisiatif dan tindakan pro aktif untuk membariskan kepimpinan muda bawah 40 tahun dengan memilih Ust. Mohd Faisal Abdullah sebagai YDP ABIM Kelantan yang ke 7 mulai tahun 2008 hingga kini. Dan pada 31.12.2008, ABIM Kelantan telah mengajukan permohonan dengan pihak Pendaftar Pertubuhan Belia, Kementerian Belia dan Sukan Malaysia sebagai komitmen ABIM untuk berpartisipasi dalam ruang ringkup idealisme dan aktivisme kebeliaan.


VISI

” Membina dan Memimpin Tamadun Khayra Ummah”


MISI

” Gerakan Belia Islam yang Komprehensif untuk merealisasikan Cita-Cita Islamiyyah”


FUNGSI DAN PERANAN

Sekretariat ABIM Kelantan (SAK) merupakan nadi kepada gerakan dan aktiviti ABIM di peringkat negeri dan daerah. SAK dibahagikan kepada dua bahagian; bahagian pengurusan dan bahagian operasi. SAK berperanan melaksanakan tugas-tugas dan aktiviti-aktiviti seperti merancang, melaksana dan menyelaras segala urusan gerakan dan aktiviti di peringkat negeri dan daerah, dan menyediakan program latihan kemahiran dan kepimpinan.


MISI DAN AKTIVITI

Dakwah dan Tarbiyyah

Misi ini diletakkan dibawah gerak kerja Teras Dakwah dan Tarbiyyah, diketuai oleh Tim. YDP dengan bantuan Ketua Biro Dakwah dan staf sepenuh masa yang terlatih untuk melaksanakan program tarbiyyah ahli-ahli supaya mencapai kualiti yang telah ditetapkan termasuklah program utama seperti usrah dan tamrin.

Kaderisasi dan Latihan Pengupayaan Sukarelawan

Misi ini diletakkan dibawah penyeliaan Pen. Setiausaha untuk melaksanakan program perkaderan, mengenalpasti kesinambungan dan pertambahan keahlian ABIM baru dari segi kualiti dan kuantiti. ABIM Kelantan juga menubuhkan pelbagai platform sebagai mekanisme pertemuan dan perbincangan dengan golongan remaja dan anak-anak ahli bergerak dalam organisasi.

Pembangunan Sosial

Misi ini menumpukan isu-isu sosial yang semakin gawat di kalangan komuniti bandar dan luar bandar. Program perkhidmatan sosial ini terbahagi kepada beberapa program utama seperti Program Pembangunan Komuniti Setempat (PKS) dan program umum seperti bengkel, seminar berkaitan isu-isu semasa serta program khidmat komuniti.

Pusat Pembangunan Kecemerlangan Komuniti

Keluarga, Wanita, Belia dan Remaja (PAKAR-ABIM)

Misi ini diketuai oleh Ketua Hal Ehwal Wanita ( HELWA). Berperanan dalam menyediakan program-program pembangunan wanita dan keluarga serta aktiviti kesedaran kepada masyarakat perihal isu-isu wanita, kekeluargaan, belia dan remaja.

Pendidikan

ABIM Kelantan menerusi aktiviti pendidikan berkonsepkan Pendidikan Bersepadu merupakan salah satu sumbangan penting ABIM Kelantan. Program Pendidikan ABIM Kelantan ialah Pra Sekolah, Taman Asuhan Kanak-Kanak Islam (TASKI) dan Sek. Ren. Islam Al-Hikmah (SRI).

Penataran ( Islamic Outreach ABIM )

Misi menyampaikan maklumat Islam kepada masyarakat bukan Islam. Justeru, IOA-ABIM Kel ditubuhkan menggerakkan usaha-usaha dakwah kepada masyarakat bukan Islam terutamanya Orang Asli dan masyarakat non muslim. Selain itu pelbagai perkhidmatan dan bantuan disediakan bagi pemeluk Islam yang baru khususnya dalam memberi bimbingan dan ketahanan di Pusat Latihan Orang Asli Kok Lanas disamping projek-projek khas dari masa ke semasa.