Halaman

Ahad, April 24, 2011

ILMU TUNJANG KEKUATAN ABIM: AHMAD AZAM ABDUL RAHMAN



Dengan memahami tuntutan semasa yang sentiasa mendesak, Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) terus menjadi jurubicara umat dalam pelbagai dimensi agar umat seluruhnya terpelihara iman, nyawa, harta, maruah, kebebasan, hak dan keselamatan mereka. Namun begitu, sering kali wujud keadaan di mana usaha-usaha ABIM disalah tafsir oleh sesetengah pihak sebagai sebuah badan dakwah yang membawa aliran anti kerajaan. Malah ada juga pandangan negatif yang mengaitkan ABIM sebagai badan yang hanya tahu mengkritik dasar-dasar yang cuba atau sedang dilaksanakan oleh kerajaan.

Menurut presiden ke-5 ABIM, Ahmad Azam, keadaan itu amat mendukacitakan ABIM kerana perjuangannya yang berlandaskan usaha ke arah perpaduan ummah dilemparkan dengan tafsiran-tafsiran yang salah dan tidak berasas. Malah katanya, salah faham demikian bukan sahaja mencacatkan imej ABIM tetapi juga ‘menghambat’ usaha-usaha yang dijalankan.

“Kita selalu dilemparkan dengan tuduhan-tuduhan yang mengatakan kita sebagai badan dakwah yang anti kerajaan. Kita dituduh demikian hanya kerana kita tidak bersetuju dengan beberapa dasar yang ingin dilaksanakan oleh kerajaan. “Tafsiran-tafsiran negatif ini memburukkan imej ABIM. Orang lain akan pandang negatif dan tidak mahu bekerjasama dengan kita hanya kerana kita dianggap sebagai anti kerajaan. Ini tidak adil,” katanya ketika ditemui di pejabatnya baru-baru ini.

Mengkritik Bukan Membangkang

Beliau menjelaskan, perjuangan ABIM untuk memajukan ummah adalah ikhlas dan akan bersedia untuk bekerjasama dengan semua pihak termasuk kerajaan. Katanya, ABIM bersedia malah sering memberi sokongan kepada kerajaan berkaitan dasar-dasar yang boleh memberi manfaat kepada rakyat.
“Kita sedar ABIM memang sering mengkritik kerajaan khususnya dari aspek pelaksanaan dasar. Itu kita akui. Tapi semua kritikan yang kita buat adalah berasaskan sebab-sebab yang rasional.

“Bahkan ABIM tidak pernah ketinggalan untuk memberikan sokongan kepada usaha-usaha yang dijalankan kerajaan untuk memajukan umat dan memberi manfaat kepada rakyat keseluruhannya. Tapi orang nampak kita mengkritik sahaja, yang kita sokong mereka tidak nampak,” jelasnya lagi. Ahmad Azam menambah, ABIM sentiasa mengikut perkembangan semasa yang berlaku dalam negara dan pada masa yang sama membuat penilaian terbaik sama ada ia mendatangkan kebaikan atau sebaliknya. Oleh itu, kritikan yang diberi hanya menuntut kepada pertimbangan yang sebaik-baiknya dari kerajaan.

“Contohnya mengenai isu rancangan-rancangan televisyen yang lebih cenderung kepada unsur-unsur hiburan yang berlebih-lebihan, dan kita mengkritik kerana ia boleh mendatangkan kesan kurang sihat kepada anak-anak muda. Adakah itu sesuatu yang salah? “Rasionalnya di situ ialah kita mengharapkan agar televisyen mengawal corak rancangannya agar lebih membantu dalam merangsang minda anak-anak muda.” jelasnya lagi.

Beliau menjelaskan, ABIM menyedari bahawa pembinaan ummah dalam erti yang sebenarnya adalah suatu perjuangan besar yang hanya boleh dicapai sekiranya terdapat gemblengan tenaga dan kerjasama dari pelbagai pihak. Justeru, atas dasar kebajikan, ABIM sedia bekerjasama dengan mana-mana pihak termasuk kerajaan yang menampakkan keikhlasan dan kejujuran mereka demi kepentingan ummah.

“ABIM adalah sebuah gerakan yang bertunjangkan ilmu (knowledge-based) dan memilih untuk mengambil sikap terbuka serta sederhana berasaskan realiti masyarakat setempat di samping memegang teguh prinsip-prinsip Islam serta kesepaduan ilmu, iman dan amal dalam rangka pembangunan manusia. “Walaupun ABIM menangani isu-isu politik, namun ia sentiasa bersikap non-partisan, bebas dan tidak memihak atau tunduk kepada kepentingan mana-mana parti-parti politik” ujarnya.

Secara umum, ABIM adalah pertubuhan bukan kerajaan yang memainkan peranan untuk menimbulkan kesedaran Islamiah melalui penerbitan-penerbitan, ceramah-ceramah, forum-forum, simposium-simposium, seminar-seminar dan lain-lain di kalangan masyarakat.

Memantapkan Aktiviti
ABIM menggalakkan penubuhan kumpulan-kumpulan pengkajian Islam (usrah) di dalam gerakan ini untuk menjalankan penyelidikan dan pengkajian di dalam bidang-bidang dan hal-hal yang berkenaan dengan Islam. Bagi tujuan itu, ABIM juga melatih petugas-petugas dakwah Islamiah dan bekerjasama dengan lain-lain pertubuhan Islam yang benar-benar mendukung cita-cita yang sama.

Ahmad Azam menjelaskan, ABIM telah mewujudkan beberapa agensi pelaksana bagi merealisasikan segala objektif yang ingin dilaksanakan. Islamic Outreach ABIM (IOA), umpamanya, ditubuhkan pada 26 Oktober 1987 khusus bagi menyebarluaskan kefahaman Islam yang komprehensif di samping aktif menganjurkan aktiviti berbentuk kebajikan kepada masyarakat.

Sekretariat Pembangunan Sosial (sepso) pula ditubuhkan untuk menumpukan isu-isu sosial yang berlaku di kalangan komuniti bandar dan luar bandar. Program sepso terbahagi kepada program utama iaitu Program Pembangunan Komuniti Setempat (PKS) dan Program Mengimarahkan Masjid (PRIMA) serta program-program umum seperti bengkel dan seminar berkaitan dengan isu-isu semasa.

Di samping itu sepso turut membentuk kumpulan pengkaji sosial dan isu yang menumpukan isu-isu seperti gender, isu pembangunan komuniti, isu gejala sosial dan sebagainya. Selain itu ABIM juga aktif dalam menganjurkan pelbagai siri kuliah, syarahan, wacana, dialog, seminar, kolokium berbentuk keilmuan untuk manfaat ahli-ahli ABIM dan masyarakat. Kumpulan pengkajian ilmu (usrah) merupakan teras aktiviti ABIM di semua peringkat. Kumpulan usrah ini mempelajari al-Qur’an dan Hadith dengan tujuan mempraktikkan ajaran-ajaran tersebut di dalam kehidupan seharian.

Di samping itu, kursus kepimpinan (tamrin) pula dijalankan di peringkat kebangsaan, negeri, daerah dan unit pada setiap tahun. Kursus ini dikelolakan di bawah pengawasan Sekretariat Dakwah dan Tarbiyah. Menerusi kursus-kursus ini, kualiti petugas-petugas dakwah dapat dipertingkatkan sesuai dengan kaedah yang diambil dan cabaran yang dihadapi oleh ABIM dalam mengetengahkan pemikirannya kepada masyarakat Malaysia.

Berdakwah dengan Pelbagai Cara
Melalui pelbagai aktiviti yang dijalankan menggambarkan harapan besar ABIM untuk mencapai matlamat melahirkan generasi yang kuat, maju dan mampu bersaing hingga ke peringkat antarabangsa. ABIM menganjurkan pelbagai seminar dan ceramah dan antara yang terpenting serta paling konsisten ialah seminar pemikiran Islam. Seminar ini bertujuan memperkenalkan dan mengetengahkan pemikiran-pemikiran dan tokoh-tokoh ilmuwan Islam kepada masyarakat Islam di Malaysia.

Kewibawaan ABIM juga terserlah melalui penglibatannya di peringkat antarabangsa. Pelbagai seminar nasional dan antarabangsa anjuran ABIM sejak 1971 sehingga kini telah mengundang kehadiran tokoh-tokoh besar gerakan Islam arena antarabangsa ke Malaysia seperti Almarhum Shaykh Muhammad Al-Ghazali, Shaykh Abul Hasan Ali an-Nadwi, Shaykh Yusuf al-Qaradawi dan Shaykh Rached Ghannouchi.

Menurut Ahmad Azam, ABIM juga banyak menerbitkan buku sejak awal penubuhannya dengan penumpuan diberikan kepada aspek kefahaman dan pemurnian akidah penjelasan ilmu-ilmu fiqh tradisional dan semasa, penyebaran gerakerja dakwah, pola pemikiran tokoh-tokoh besar Islam selain isu-isu kemasyarakatan, kekeluargaan, budaya, politik, dan ekonomi.

“Selain itu, majalah Risalah ABIM pula yang telah diterbitkan sejak 1971 mengutarakan analisis dan pandangan kritikal ABIM terhadap isu-isu semasa. RISALAH ABIM adalah lidah rasmi ABIM dan nama majalah ini telah diberikan oleh pengasas awal teras intelektual ABIM iaitu Profesor Syed Muhammad Naquib al-Attas.

“Kedai buku ABIM menawarkan buku-buku dan bahan audio visual berkaitan pelbagai gerakan Islam serta perkembangannya di seluruh dunia termasuk penerbitan buku-buku berkualiti dari penerbit tempatan dan antarabangsa,” terangnya lagi. Beliau menambah, Koperasi Belia Islam Malaysia (KBI) telah ditubuhkan pada 30 Mei 1977 dengan hasrat untuk melahirkan sebuah institusi kewangan Islam ini telah menjadi institusi pertama di Malaysia yang memperkenalkan produk dan instrumen kewangan yang berlandaskan syariah.

“Idea penubuhan KBI lahir kerana menyedari betapa perlunya sebuah institusi ekonomi yang mempraktikkan sistem muamalat Islam yang tulen dan sekali gus memberi alternatif kepada sistem kewangan yang sedia ada. “Pemegang saham KBI berpeluang menerima bonus atau dividen setinggi 10% bergantung kepada tahun keuntungan. KBI sebagai agensi ABIM terlibat aktif dalam bidang perniagaan menerusi sektor pembangunan hartanah, teknologi maklumat dan pembangunan perisian,” katanya lagi.

Melalui pendekatan dakwah yang dilakukan secara menyeluruh, ABIM muncul sebagai badan yang cukup prihatin terhadap kebajikan ummah. Menurut Ahmad Azam, ABIM sentiasa mengalu-alukan kerjasama erat dari semua pihak agar segala cita-cita murni yang didukung oleh semangat perpaduan dapat dicapai secara bersama.

Jelasnya lagi, ABIM ingin mewujudkan suasana hubungan dengan badan-badan atau pihak kerajaan berada dalam keadaan yang baik agar segala isu-isu yang wujud dalam masyarakat dapat ditangani secara bersama. “Niat kita ikhlas. Kita bukan mengkritik sembarangan. Secara jujur, ABIM tidak mahu menjadi badan yang hanya tahu menyokong sahaja atau badan yang hanya pandai mengkritik dan mencari kelemahan sesiapa.

“Justeru itu, kita perlukan sokongan semua pihak yang mempunyai cita-cita dan matlamat yang sama untuk mewujudkan perpaduan yang utuh melalui penerapan nilai-nilai positif seiring dengan kemajuan hidup yang dikecapi,” katanya lagi.

Kata-kata itu sebenarnya menggambarkan harapan besar ABIM untuk mencapai matlamat melahirkan generasi yang kuat, maju dan mampu bersaing hingga ke peringkat antarabangsa. Sikap keterbukaan ABIM dalam membincangkan isu-isu dalam masyarakat seharusnya dilihat sebagai mencerminkan semangat demokrasi yang diamalkan di negara kita. Adalah menjadi harapan semua pihak agar kerjasama kerajaan dan ABIM atau pertubuhan-pertubuhan lain dapat diwujudkan seterusnya mencernakan kejayaan yang lebih besar di masa-masa akan datang.

(Artikel ini disunting dari sessi temubual yang disiarkan dalam Ruangan Tinjauan, Majalah i edisi Ogos 2004)