Halaman

Ahad, April 24, 2011

40 TAHUN ABIM: CATATAN PROF DR RAZALI NAWAWI

Semasa di Mesir, saya melibatkan diri dengan Persatuan Pelajar-Pelajar Melayu Mesir. Di sini saya bersama sahabat-sahabat yang lain menjalankan pelbagai aktiviti serta mengadakan pertemuan dari semasa ke semasa. Ketika di London, saya telah mengasaskan Malaysian Islamic Study Group (MISG)
bersama-sama beberapa orang sahabat bagi memudahkan lagi sebarang kegiatan yang berunsurkan Islam dijalankan. Saya juga turut menubuhkan Persatuan Mahasiswa Islam di beberapa buah universiti di England yang saya kunjungi.

Dalam masa yang sama saya terlibat sebagai ahli jawatankuasa London Islamic Circle dan ahli jawatankuasa Federation Student of Islamic Society (FOSIS) serta menjadi pengatur program-program Islamic Exhibition bagi tujuan menyebarkan Islam di kalangan masyarakat Inggeris. Saya teringat satu peristiwa ketika di bulan puasa pada tahun 1968 iaitu seorang perempuan keturunan Belanda ingin memeluk agama Islam. la berpunca daripada minatnya membaca buku tentang agama Islam dan mengkajinya. Beliau telah bertemu dengan saya dan menyatakan hasratnya namun dalam masa yang sama beliau ingin terus makan babi kerana amat menyukainya.

Sewaktu itu saya katakan kepadanya, "Awak boleh mengucap dua kalimah syahadah dan boleh makan babi". Lantas perempuan itu terus mengucap dua kalimah syahadah. Saya beri fatwa demikian atas alasan mengucap dua kalimah syahadah adalah lebih penting daripada hukum-hukum yang lain. Seorang yang ingin memeluk agama Islam tidak boleh ditunda walaupun seminit. Alhamdulillah, dua minggu sesudah beliau menganut agama Islam, beliau
memberitahu saya yang beliau merasa jijik apabila melihat daging babi.

la merupakan satu peristiwa yang tidak boleh dilupakan dan ia sebagai hikmah dalam dakwah. Kini beliau komited dengan Islam dan memakai pakaian Islam yang lengkap. Pernah suatu ketika, pada bulan puasa dalam tahun 1969, saya pergi ke Universiti Brighton untuk menubuhkan Islamic Society di Brighton dengan mengadakan sembahyang tarawih dengan pelajar-pelajar Islam di sana yang sebahagian besarnya dari Malaysia.

Selepas habis program, saya balik ke London dan sampai lebih kurang jam 1.00 pagi. Ketika itu semua kenderaan sudah tiada lagi. Jadi, saya mengambil keputusanuntuk berjalan kaki dari Victoria Station ke rumah kami yang jaraknya kira-kira lebih 15 kilometer. Kami mengambil masa dua jam untuk sampai ke destinasi. Saya juga pernah melihat golongan komunis menjual buku-buku ideologi komunis Corner Marble Arch, London. Maka saya juga turut serta menjual buku-buku dan majalah Islam. Kadang-kadang ada yang berjumpa saya mengatakan bahawa mereka tiada duit untuk membelinya, lalu saya memberi percuma saja.

USRAH PERTAMA DI MALAYSIA

Pada tahun 1971, saya pulang ke Malaysia dan ketika itu Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) baru saja ditubuhkan tetapi belum didaftarkan. Apabila didaftarkan pada tahun 1972, dalam mesyuarat yang pertama saya telah dilantik sebagai Presiden. Pada awal penubuhan, saya telah memperkenalkan sistem usrah.

Usrah pertama dijalankan di rumah saya di alamat 27, Jalan Aman, Kawasan Melayu, Petaling Jaya. Mereka yang hadir ketika itu termasuklah Anwar Ibrahim, Sanusi Junid, Said Ibrahim, Kamaruddin Mohd Noor, Osman Bakar dan Omar Jaafar. Antara bahan yang dibincangkan merangkumi bacaan al-Qur'an, tafsir, hadis, sirah Rasulullah dan isu-isu semasa. Saya juga turut memperkenalkan Tamrin al-Kader dan menyusun sukatan dan korikulumnya di semua peringkat.

Alhamdulillah, kedua-dua skima usrah dan tamrin tersebut sedang berjalan dengan lancar dalam gerakan ABIM. Pada awal perlantikan, saya dan beberapa orang sahabat pergi ke seluruh negeri untuk memberikan penerangan mengenai ABIM. Ada satu peristiwa yang melucukan terjadi pada tahun 1972 ketika saya dijemput ke Pulau Pinang untuk memberikan penerangan di Balik Pulau. Pada masa itu, pihak polis tidak mengeluarkan kebenaran untuk menganjurkan majlis tersebut.

CABARAN KINI DAN AKAN DATANG

Namun majlis tersebut tetap diadakan di Sekolah Kebangsaan Balik Pulau kerana saya diiringi oleh seorang majistret dan seorang pendaftar Mahkamah Tinggi. Pada tahun 1974, saya mengundurkan diri daripada pimpinan ABIM untuk menyambung pengajian ke peringkat Ijazah Kedoktoran di luar negeri, lalu sdr. Anwar Ibrahim mengambil alih tempat saya selaku Presiden manakala Allahyarham ustaz Fadhil Noor sebagai Timbalan Presiden.

Bagaimanapun oleh kerana sdr. Anwar Ibrahim, ustaz Fadhil Noor, Omar Jaafar serta beberapa orang pimpinan pelajar ketika itu termasuklah Idris Jauzi dan Ramli Ibrahim telah ditahan di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) kerana dikatakan terlibat dalam demonstrasi besar-besaran yang mendesak pihak kerajaan memberi perhatian terhadap kemiskinan rakyat khususnya di Baling, saya mengambil keputusan membatalkan hasrat
membuat Phd dan masuk balik dalam pimpinan ABIM dengan memegang jawatan sebagai Pengerusi Biro Dakwah.

Sepanjang pengetahuan saya, Anwar Ibrahim tidak terlibat dalam rancangan demonstrasi mahasiswa. Saya sendiri tidak ditahan kerana ketika itu saya sedang mempengerusikan mesyuarat Fakuiti Islam. Gerakan ABIM pada masa silam telah melalui peristiwa-peristiwa pahit kerana gerakan Islamisasi ABIM dianggap mencabar pemerintah dan kesedaran orang terhadap Islam belum merata. Alhamdulillah, dengan ketabahan dan kecekalan pimpinan dan ahlinya, ABIM telah berjaya mengatasinya. ABIM sedikit pun tidak lemah walaupun Anwar Ibrahim ditahan di bawah ISA. Malah ia lebih cergas dan aktif.

Sekarang ABIM menghadapi cabaran lain; bukan cabaran berbentuk rintangan tetapi cabaran berbentuk kemudahan. Masalah sosialkini berbeza dengan tahun 1970-an. Ahli-ahli ABIM perlu menangani cabaran zaman kini dengan fikiran yang lebih terbuka dan program yang sistematik. Perkara yang saya bimbang dalam suasana kemudahan yang ada ABIM menjadi 'complacent'.

ISLAMISASI KOMITMEN SEPANJANG HAYAT

Gerakan Islam juga perlu berani mengetepikan tradisi-tradisi lapuk yang bercanggah dengan syariah termasuklah fahaman-fahaman yang dikaitkan dengan Islam pada hal apabila dikaji dengan ilmiah sebenamya bercanggah dengan kehendak agama. Di samping itu, kita hendaklah sedar bahawa abad ini dan dekad akan datang kekuatan ekonomi menentukan suasana dan dasar dalam negara. Saya yakin sekiranya ahli ABIM di semua peringkat mengambil sikap seperti di atas, kita akan menjadi organisasi yang benar-benar dihormati dan disegani. Gerakan Islamisasi tidak akan selesai sampai akhir hayat.