Halaman

Ahad, April 03, 2011

UTAMAKAN DIALOG DEMI KESEJAHTERAAN BERSAMA

Merujuk kepada kenyataan Y.A.B Menteri Besar Pahang yang menyatakan bahawa pembinaan kilang pemprosesan sisa radioaktif di Gebeng, Kuantan, adalah selamat serta tidak menjejaskan keselamatan penduduk persekitaran. Dalam hal ini, Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) memandang berat kenyataan tersebut dan menggesa Kerajaan Negeri Pahang Darul Makmur untuk mengadakan dialog dengan wakil-wakil masyarakat setempat dan NGO-NGO yang membantah pembinaan kilang terbabit.

Dialog ini amat perlu untuk mencari titik persefahaman di sebalik percanggahan serta perbezaan pandangan yang diutarakan kedua-dua belah pihak. ABIM juga turut menyarankan agar pihak kerajaan negeri memahami kerisauan dan kebimbangan rakyat terutama sekali di kawasan Perindustrian Gebeng dan kawasan sekitarnya.

Kerisauan ini sebenarnya tidak boleh diketepikan begitu sahaja terutama sekali setelah tragedi kebocoran radioaktif yang melanda Jepun baru-baru ini, dan suatu ketika dahulu,kawasan Tasik Bukit Merah di Perak. Merujuk konteks tragedi Bukit Merah, kita telah menyaksikan kesan-kesan yang terpaksa dihadapi oleh masyarakat setempat meskipun pada suatu ketika telah menerima jaminan keselamatan daripada pihak-pihak berkenaan terutama sekali kerajaan Negeri Perak.

Adalah menjadi harapan menerusi pertemuan ini nanti, kedua belah pihak akan sama-sama menemukan kebenaran untuk membolehkan keputusan akan diambil dapat menjamin kepentingan bersama dan yang paling utama kepentingan generasi akan depan. Dalam hal ini, ABIM sedia menawarkan diri sebagai platform perantaraan dan perbincangan di antara kedua belah pihak.

Kelestarian alam dan kelangsungan generasi bukanlah satu isu yang sewenangnya boleh dijadikan modal politik untuk pihak tertentu mengejar dan mempertahankan kepentingan pihak tertentu. Justeru,proses dialog dan perbincangan seharusnya dibudayakan agar sebarang perancangan serta perlaksanaan sesebuah dasar dapat dilaksanakan tanpa mengabaikan kepentingan pelbagai lapisan masyarakat.


AMIDI ABD MANAN

Timbalan Presiden, Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM)