Halaman

Rabu, Februari 16, 2011

CATATAN OPERASI MEMBANTU MANGSA BANJIR JOHOR

Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) menerusi skuad prihatin telah melancarkan gerakan membantu mangsa-mangsa banjir di Johor pada minggu lalu. Berikut adalah catatan ringkas delegasi skuad prihatin yang menumpukan perhatian di sekitar kawasan Batu Pahat dan Segamat:

Hari Pertama : 4 Februari 2011 (Jumaat)
Bertolak dari ABIM Pusat pada jam 11 pagi dan sampai di Bilik Gerakan Bantuan Banjir ABIM Batu Pahat pada jam 3 petang. Skuad Prihatin ABIM Pusat dibahagikan kepada kumpulan yang bertanggungjawab memberi pengisian kepada anak-anak mangsa banjir di SJKC Chung Hwa Sri Medan diantara selepas Solat Maghrib sehingga jam 10 malam.

Skuad Prihatin membuat tinjauan di sekitar pusat pemindahan dan mendapati mangsa-mangsa banjir yang ditempatkan di sana telah banyak mendapat perhatian dan bantuan daripada pihak Jabatan/Agensi yang bertanggungjawab namun terdapat sebilangan kes terpencil yang memerlukan perhatian lebih daripada sukarelawan khususnya ABIM Daerah Batu Pahat seperti isu mangsa OKU dan beberapa isu wanita (kebersihan dan emosi).

Namun demikian, dengan bantuan pasukan perubatan dari dan BK ABIM telah dapat menampung kekurangan dari segi isu kesihatan dan ubat-ubatan. Secara keseluruhannya koordinasi kerja yang telah dilakukan oleh pasukan di Bilik Gerakan Bantuan Banjir yang ditubuhkan telah menunjukkan hasil positif dan berkesan. Terdapat juga aduan bantuan tidak sampai di beberapa tempat yang masih ditenggelami air dan dengan bantuan dari JPAM, bantuan dari ABIM khususnya telah dapat juga disalurkan. Skuad Prihatin ABIM Pusat bertolak ke Segamat jam 10.45 malam.

Hari Kedua : 5 Februari 2011 (Sabtu)
Skuad Prihatin tiba di Segamat jam 12.30pagi dan dialu-alukan oleh YDP ABIM Daerah Segamat. Gerak kerja bermula seawal 8.30 pagi selepas bersarapan dengan mengadakan perbincangan di Wisma ABIM Ar-Raudhah Segamat (WARAS). Hasil perbincangan mengenalpasti tindakan awal yang perlu dilakukan seperti keperluan menubuhkan Bilik Gerakan Bantuan Banjir , ABIM Daerah Segamat. Keadaan di Segamat lebih rumit berbanding dengan Batu Pahat walaupun keadaan sekitar sudah mulai pulih selepas air banjir surut. Ini kerana ketiadaan koordinasi tugasan dan pengalaman bagi menguruskan operasi bantuan banjir.

Oleh kerana pasukan bantuan tidak mahu melengahkan masa, maka tugasan pertama Skuad Prihatin adalah untuk membantu pembersihan premis Taski Ar-Raudhah Segamat. Selesai pembersihan sekitar jam 1 petang, Skuad Prihatin bersama-sama YDP ABIM Daerah Segamat ke Pejabat Kesihatan Segamat dan Pejabat Kebajikan Masyarakat Segamat untuk mendapatkan maklumat terkini serta mendaftar keberadaan sukarelawan ABIM. Seterusnya kami kembali ke WARAS dan ditugaskan untuk menubuhkan gerak kerja bagi pasukan BK ABIM yang akan tiba untuk memudahkan mereka menyampaikan bantuan dan khidmat perubatan.

Maklumat-maklumat yang dikumpul dihasilkan ke dalam bentuk carta (masterplan) dan memudahkan pergerakan bagi bantuan seterusnya kelak lebih terancang. Sekiranya bantuan susulan diperlukan, bantuan yang terbaik adalah dari segi tenaga pembersihan pasca banjir. Skuad Prihatin bertolak pulang jam 11 malam dan sampai ke KL jam 3.00 pagi Ahad 6 Februari 2011.