Halaman

Rabu, Februari 16, 2011

USRAH TONGGAK KEKUATAN ABIM: PRESIDEN PERTAMA ABIM


Usrah merupakan asas utama di sebalik penubuhan serta sumbangan ABIM kepada masyarakat. Begitulah penegasan yang dibuat oleh Prof Dr. Razali Nawawi, Presiden pertama ABIM, dalam sessi pertemuan dengan unit media ABIM baru-baru ini.

"ABIM telah membudayakan usrah secara konsisten semenjak di awal penubuhannya. Menerusi usrah, ia telah membentuk jatidiri yang positif di kalangan para penggerak ABIM di mana mereka tidak kekok memainkan peranan selaku pendakwah di kalangan masyarakat pada ketika itu," jelas beliau, sambil menjelaskan gagasan-gagasan serta idea besar yang dipelopori ABIM seperti pendidikan dan perbankan Islam dimangkinkan hasil dari perbincangan usrah.

"Meskipun mendapat pendedahan melalui pelbagai bahan bacaan di samping interaksi dengan aktivis-aktivis gerakan Islam dari seluruh dunia, ABIM berjaya membina kredibiliti serta identitinya yang tersendiri selaras suasana persekitaran tematan." tambah Prof. Dr. Razali Nawawi, yang turut melahirkan kesyukuran serta rasa gembira ketika mengimbau pengalaman manis para aktivis HELWA ABIM membudayakan pemakaian tudung secara meluas di kalangan wanita pada ketika detik awal penubuhan ABIM.

Dalam temuramah sempena dengan sambutan 40 tahun ABIM itu, Prof. Dr. Razali menegaskan prinsip non-partisan serta dakwah tarbiyyah perlu dipertahankan kerana ia adalah teras utama kekuatan ABIM semenjak ia ditubuhkan.