Halaman

Khamis, Februari 24, 2011

ABIM LATIH AKTIVIS MUDA ALAM SEKITAR

Ulul-albaab menurut sisi pandangan Hamka ialah orang berfikiran dalam dan mempunyai inti fikiran. Sebagai generasi muda ulul-albaab, kita berkeyakinan bahawa alam ini bukan diwarisi tapi dipinjam daripada generasi masa depan seperti kata pepatah Inggeris “We are not inheriting this world from our ancestors but we are borrowing it from our future generation”.

Atas dasar kerisauan dan tanggungjawab selaku pemegang amanah alam ini, sekumpulan generasi belia dari Batu Pahat menyahut seruan dengan memanfaat masa cuti Thaipusam baru-baru ini dengan membersihkan pantai Minyak Beku dan mengutip sampah di Pulau Sialu, Batu Pahat. Ini merupakan satu usaha murni yang digerakkan atas inisiatif Yang Dipertua ABIM Batu Pahat, saudara Azlan Sharif. Atas semangat kesedaran yang tinggi dan pengaruh kepimpinan yang beliau miliki, beliau berjaya menggembleng serta meyakinkan lebih 50 orang belia memperuntukkan modal cuti mereka untuk membuat kerja-kerja kesukarelawanan alam sekitar. Inisiatif ini turut disertai oleh saudara Mohd Raimi Ab Rahim; Setiausaha Agung ABIM Pusat, wakil Jabatan Alam Sekitar Batu Pahat, Pusat Kokurikulum, Sukan dan Kebudayaan Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) dan Persatuan Ibu Tunggal Batu Pahat (BP Care).

Sekelompok anak muda ini berjaya memaparkan imej positif generasi muda sewaktu mana golongan ini sentiasa sahaja dipaparkan dengan imej-imej negatif terutamanya dari pihak media dan pandangan umum masyarakat. Mereka juga berjaya menunjukkan qudwah atau contoh yang mulia kepada generasi yang sebaya dengan mereka untuk melakukan kerja-kerja kesukarelawanan yang menyerlahkan lagi simpton positif selaku warganegara yang aktif dan mempunyai semangat patriotisme yang tinggi. Ini jelas seperti yang dinyatakan oleh seorang pengkaji sosial Putnam, bahawa kesukarelawanan adalah “a part of the syndrome of good citizenship and political involvement”. Seperkara lagi, kesukarelawanan alam sekitar amat sesuai untuk dijadikan salah satu bentuk kerja belia yang membawa ke arah pembangunan belia yang positif khusus dalam membentuk kecintaan generasi muda kepada alam sekitar.

Program yang dinamakan sebagai Tamrin Marahil atau Latihan Lapangan ini bersifat santai dan dijalankan secara gotong-royong bagi memberikan kesedaran kepada generasi muda dan masyarakat umum tentang kepentingan menjaga dan memulihara alam sekitar. Natijah dari latihan ini, untuk melahirkan ‘minda lestari’ yang disifatkan oleh Profesor Dr. Zaini Ujang, Naib Canselor UTM sebagai minda yang cuba memahami dan berusaha untuk menghayati nilai murni dan abadi mengenai kepentingan alam sekitar dan makhluk ciptaan Allah yang hidup (biotik) atau sebaliknya (abiotik).

Latihan lapangan ini bermula seawal jam 8 pagi dengan memfokuskan pemuliharaan alam sekitar membawa peserta melihat sendiri sungai yang dicemari najis babi yang datang dari industri penternakan babi, bergotong royong membersih Pantai Minyak Beku dan Pulau Sialu. Apa yang menarik, peserta dibawa ke Pulau Sialu menaik bot yang mengambil masa hanya 10 minit dari Pantai Minyak Beku. Sesampai di Pulau Sialu yang hanya berkeluasan dua hektar, para peserta diminta bersama-sama mengutip sampah terutamanya bahan buangan plastik dan polistrin bagi membersihkan pulau yang berpotensi menjadi tarikan pelancongan yang popular di daerah Batu Pahat. Cuma penulis berfikir sejenak, mengapa pengunjung sanggup mengotorkan sebuah pulau yang indah yang dihiasai dengan sebuah rumah api yang sudah tidak berfungsi? Adakah sudah tidak ada iman atau paling kurang kesedaran sivik yang boleh menyalakan sedikit kesedaran untuk memulihara alam sekitar? Tepuk dada tanya iman.

Di bawah kepimpinan Dr. Muhd Razak Idris, Presiden ABIM ke-7, agenda Alam Sekitar mendapat tempat utama dalam kesebelasan utama agenda pembangunan belia Islam. Ini adalah kerana amat kurang pertubuhan Islam secara amnya terlibat secara langsung dalam usaha pemuliharan alam sekitar walhal Islam merupakan deen yang amat mementingkan pemuliharan alam sekitar. Selaku Khalifah Allah di muka bumi, adalah menjadi tanggungjawab muslim untuk mentadbir alam dengan acuan agama. Ini bermakna isu alam sekitar yang banyak disentuh dalam Al-Quran harus ditadbir dan diurus oleh seorang muslim dengan menggunakan acuan agama. Islam seharusnya menjadi penyelesai tuntas dan tunggal selepas sistem kapitalis ternyata gagal mengimarahkan bumi ini dengan baik bahkan memburukkan lagi keadaan bumi. Inilah sistem kapitalis yang disifatkan oleh Profesor Dr. Kamal Hassan, Porfesor Ulung Negara sebagai sebuah sistem berpaksi dominasi alam yang tidak mampu lagi menjamin kelestarian alam sekitar dan pembahagian kemakmuran secara adil dan saksama. Malah menurut beliau kondisi alam sekitar yang terancam kemusnahan semakin merisaukan banyak ahli sains.

Sebagai sebuah pertubuhan belia Islam menjangkau usia 40 tahun, ABIM dilihat mampu memimpin belia Islam dengan mempelopori Green Deen Movement seperti yang diungkapkan oleh Ibrahim Abdul-Matin dalam bukunya GreenDeen, What Islam Teaches About Protecting the Planet. Mungkin Pulau Sialu yang berbatu ini menjadi saksi permulaan kepada gerakan ini.

Alu-alu Pulau Sialu,
Sayang Segenting Kampung Cina,

Ikan tergantung, kucing menunggu,
Belum tahu siapa yang punya.