Halaman

Khamis, Februari 24, 2011

MISI PASCA BANJIR SKUAD PRIHATIN ABIM, 11- 13 FEBRUARIi 2011

Melibatkan sebuah buah bas yang bertolak pada jam 12 malam, 11 Januari 2011 di UIA. Peserta yang terlibat terdiri daripada mahasiswa Kuala Lumpur Metropolitan University, KLMU dan mahasiswa Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIA) yang diketuai oleh saudara Muhammad Fazril Bin Mohammad Saleh exco GEMPA PKPIM. Selain itu, Biro Kesihatan ABIM telah bertolak seawal jam 9.30 malam masing- masing melibatkan sebuah kereta dari Kuantan dan sebuah kereta lagi dari Sekretariat ABIM Pusat, Taman Cemerlang. Misi diketuai sendiri oleh Ketua Exco Biro Kesihatan ABIM, Dr. Mohd Saifullah Al Hany Bin Abd Halim.

Tinjauan awal oleh Timbalan Yang Di-Pertua ABIM Segamat, Ustaz Saiful bersama para sukarelawan telah menetapkan dua kawasan yang perlu diberi keutamaan dalam misi pembersihan iaitu Kg. Batu Badak, Gemereh 4 dan Kg.Pogoh. Di Kg. Batu Badak kerja- kerja pembersihan melibatkan rumah- rumah penduduk yang terjejas teruk akibat banjir dan paras air ketika banjir secara puratanya adalah paras bumbung . Misi pembersihan dimulakan pada jam 9.30 pagi selepas taklimat oleh Setiausaha JKKK Kg. Batu Badak, Haji Zaini. Sebanyak sepuluh (10) buah rumah telah dibersihkan oleh sukarelawan sepanjang sehari misi sehingga jam 6 petang. Keceriaan tergambar di wajah mangsa banjir oleh sebab ada insan yang sanggup berkongsi kesusahan membersihkan rumah- rumah mereka. Kepuasan juga terpancar di wajah para sukarelawan kerana telah bekerja keras dengan seikhlas hati membantu membersihkan rumah mangsa banjir.

Manakala di Kampung Pogoh pula, sukarelawan ditugaskan untuk membersihkan Balairaya Kampung Pogoh 2 yang merupakan pusat aktiviti belia dan kemasyarakatan penduduk setempat yang teruk terjejas kerana paras banjir adalah sehingga ke aras dua balairaya tersebut. Misi di hari ke-dua melibatkan kawasan sekitar Buloh Kasap. Rata- rata penduduk terharu memandangkan kawasan tersebut merupakan kawasan terpencil dan selalu terlepas pandang daripada menerima bantuan daripada mana- mana pihak. Kunjungan sukarelawan Skuad Prihatin ABIM untuk meringankan beban mereka amat dihargai oleh mereka.

Pada masa yang sama juga, Pasukan Perubatan dari Pusat Rawatan Al-Islam yang diketuai oleh pengarahnya, Dr. Ishak Mas’ud, membuka klinik bergerak di rumah penghulu. Misi berakhir sekitar jam 1 petang dan semua sukarelawan diraikan oleh ABIM Segamat dengan majlis makan tengah hari di rumah Pengerusi WADAH Segamat, Haji Ishak.