Halaman

Sabtu, Januari 08, 2011

Semua jabatan bekerjasama

PASIR PUTEH – Hujan yang turun tidak henti-henti beberapa hari ini menyebabkan beberapa kawasan di sekitar daerah ini ditenggelami air sehingga ada beberapa keluarga terpaksa dipindahkan.

Antara kawasan yang ditenggelami air ialah di Kampung Danan, Bukit Tanah, Bukit Awang, bandar Pasir Puteh, jalan Jeram ke lebuh raya dan beberapa kawasan lain di sini.



Masih terkawal

Ketua Penjaga Balai Bomba dan Penyelamat Pasir Puteh, Kaharudin Yahya berkata, antara tempat yang paling teruk ditenggelami air ialah di kawasan Bukit Awang, di mana mangsa pertama banjir yang dipindahkan ialah di Kampung Gong Kala.

Beliau berkata, pemindahan tersebut melibatkan tiga keluarga yang terdiri daripada 15 mangsa termasuk seorang wanita yang sedang sarat mengandung dan menunggu masa melahirkan anak keduanya.

“Setakat ini keadaan masih lagi terkawal bagaimanapun kami menasihatkan penduduk yang tinggal di kawasan rendah dan berisiko ditenggelami air supaya berada dalam keadaan berjaga-jaga.

“Bukan itu sahaja mereka juga perlu mendengar setiap arahan yang dikeluarkan pihak berwajib untuk memastikan keselamatan mereka terjamin,” katanya ketika ditemui semasa operasi menyelamat mangsa banjir di Kampung Gong Kala, Bukit Awang, di sini.



Usaha menyelamat

Menurutnya, operasi yang berjalan selama empat jam tersebut melibatkan kerjasama semua pihak dan ia menunjukkan bahawa kesemua jabatan sentiasa bersiap sedia dalam menghadapi sebarang kemungkinan yang akan berlaku sepanjang musim tengkujuh ini.

Keluarga yang dipindahkan ialah, Mohd Zain Abdullah, 35, dan isteri, Rohani Hamzah, 40, bersama dua anak serta seorang cucu, manakala, keluarga kedua ialah Rohani Sakri, 28, bersama suami dan anaknya, dan keluarga ketiga, Rosnah Hamzah, 35, suami, Tuan Azhar Tengku Long, 37, bersama lima anak mereka.

Operasi menyelamatkan mangsa banjir tersebut disertai lima anggota dan sebuah jentera.



Jabatan terlibat

Antara anggota keselamatan yang terlibat di dalam operasi itu ialah Polis Diraja Malaysia (PDRM) iaitu dianggotai oleh seramai 11 anggota dari Balai Polis Pasir Puteh dan Balai Polis Bukit Yong yang diketuai oleh Timbalan Ketua Polis Daerah Pasir Puteh, Asisten Superintenden Azmir Damiri.

Manakala, pasukan Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM) pula yang dianggotai seramai 13 anggota diketuai Ketua Operasinya, Sanusi Jaafar.

Tidak ketinggalan turut sama turun padang melawat mangsa banjir yang ditempatkan di Sekolah Rendah Kebangsaan Bukit Awang ialah, Jabatan Kebajikan Masyarakat, Pejabat Tanah dan Jajahan Pasir Puteh serta Ahli Parlimen Pasir Puteh, Muhammad Hussain.

http://www.sinarharian.com.my/sh/kelantan/content/story8592256.asp