Halaman

Sabtu, Januari 08, 2011

30 dipindah di Sri Mulong

KOTA BHARU – Lebih 30 penduduk dari Taman Perumahan Sri Mulong, dekat sini dipindahkan ke pusat pemindahan banjir di Sekolah Menengah Kebangsaan Mulong, di sini apabila rumah teres yang mereka diami dinaiki air sedalam 0.5 meter.

Mangsa yang ditemui, Wan Hanisah, 42, berkata, banjir kali ini lebih serius sehingga dia sekeluarga terpaksa mengikut arahan berpindah kerana air terus naik.

Menurutnya, kawasan perumahan itu sebelum ini dua kali dinaiki air, namun hanya kali ini mereka berpindah.

“Mungkin kerana sistem longkang lemah menyebabkan kawasan perumahan itu mudah dinaiki air, ditambah lagi dengan pembinaan perumahan berhampiran sejak tiga tahun lalu,” katanya, ibu kepada enam anak berusia antara tiga hingga 18 tahun.

Katanya, itulah kali pertama mereka berpindah sejak menghuni kawasan itu hamper 14 tahun lalu.

Jirannya, Mazuraida Ismail, 31, berkata, dia terjaga dari tidur jam 4 pagi apabila air mula memasuki rumahnya.

Dia yang merupakan guru tadika terpaksa memindahkan barangan ke tempat lebih tinggi di dalam rumahnya bagi mengelak ianya rosak.

“Saya memang tidak menjangkakan banjir ini berlaku sehingga kami terpaksa berpindah,” katanya.

Sementara itu, Timbalan Ketua UMNO Bahagian Kubang Kerian, Mohamad Noordin Awang berkata, beliau menasihati penduduk agar mematuhi arahan pindah bagi mengelak kesulitan.

“Kita akan terus pantau dan dijangka lebih ramai penduduk berpindah menjelang lewat petang nanti berdasarkan keadaan air yang semakin naik,” katanya sambil mengucapkan terima kasih kepada Jabatan Pertahanan Awam, Persatuan Bulan Sabit Merah dan badan bukan kerajaan lain membantu mangsa banjir.

http://www.sinarharian.com.my/sh/kelantan/content/story8591537.asp