Halaman

Khamis, Januari 06, 2011

Sampah tidak dipungut, busuk

PENGKALAN KUBOR -Keadaan persekitaran di kawasan bebas cukai, di sini yang merupakan tempat membeli-belah yang mendapat sambutan ramai dalam kalangan masyarakat tempatan dan pelancong dalam dan luar negara perlu diberi perhatian pihak berwajib di jajahan ini.

Ini kerana keadaan tong sampah yang disediakan di kawasan terbabit mengundang bau busuk akibat sampah sarap yang dibiarkan penuh tanpa tindakan susulan daripada pihak berkenaan.

Salah seorang penduduk di kawasan berkenaan, Mohamad Mat Jusoh, 44, berkata, masalah ini mengundang ketidakselesaan kepada penduduk dan peniaga di kawasan berkenaan.

“Bayangkanlah, kami terpaksa menghidu bau busuk dan lalu di kawasan sampah yang berlonggok yang penuh dengan sampah sarap yang penuh di tong sampah yang disediakan di kawasan terbabit.

“Seharusnya pihak berkenaan menambah kuantiti tong sampah di kawasan ini kerana ia merupakan keperluan memandangkan ia menjadi tempat pembuangan sampah yang digunakan oleh peniaga dan penduduk di kawasan ini,” katanya kepada Sinar Harian.

Katanya, sampah sarap yang berlonggok dan dibiarkan dalam keadaan terbabit, boleh mengundang pelbagai masalah termasuk wabak penyakit.

“Keadaan terbabit juga boleh mengundang kehadiran haiwan liar termasuk anjing serta tikus yang mencari makanan dari timbunan sampah sarap berkenaan.

“Ini boleh menyebabkan sampah sarap berkenaan berselarak dan mengotorkan kawasan sekitar dan boleh mengundang persepsi kurang baik terhadap negeri ini,” katanya.

Sehubungan itu, Mohamad berharap agar pihak berkuasa tempatan (PBT) dapat melakukan tindakan proaktif dalam menangani situasi ini.

http://www.sinarharian.com.my/sh/kelantan/content/story8587635.asp