Halaman

Sabtu, Januari 01, 2011

Kenyataan ABIM Berhubung Respon Terhadap Rencana Festival Fesyen Islam Antarabangsa


Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) merujuk kepada rencana yang ditulis oleh Presiden ABIM, saudara Muhamad Razak Idris bertajuk "Festival Fesyen Islam tangkis persepsi pakaian menutup aurat ketinggalan" pada 24 Disember 2010, di ruangan Berita Harian, [m/s 37].

Masyarakat Islam di Malaysia umumnya mengetahui tentang kontroversi penganjuran Festival Fesyen Islam yang tidak mencerminkan tata pakaian wanita Islam yang sepatutnya. Ini tercerna melalui penganjuran acara ini di Morte Carlo beberapa bulan dahulu, penganjur telah melakukan kesilapan dan keterlanjuran dengan membenarkan penyertaan rekaan fesyen yang bertentangan dengan aturan syariah, dipersembahkan. Beberapa Fesyen tersebut yang menjadi punca kontroversi telah diketahui dan dilihat.

ABIM bersama-sama NGO Islam lain telah mengambil sikap menegur dan membidas kelalaian penganjur di dalam mempamerkan fesyen yang tidak mengikut standard fesyen dalam Islam di Morte Carlo. Ketua Helwa ABIM telah mengeluarkan kenyataan rasmi ABIM bertarikh 21 oktober 2010, bagi menunjukkan ketidaksetujuan ABIM sebagai badan dakwah.

Baru-baru ini, siri festival ini telah diteruskan dan dilangsungkan lagi di Kuala Lumpur. Di dalam satu pertemuan ABIM dengan Raja Shah Rezza di satu acara bersama, ABIM telah memaklumkan sikap ABIM dan masyarakat Islam secara keseluruhan iaitu penganjuran Festival Fesyen ini ialah satu usaha murni yang baik, tetapi menasihatkan beliau supaya lebih teliti dalam pemilihan pakaian & fesyen yang ingin dipertontonkan supaya sejajar dengan tuntutan syariah. Dalam reaksinya, beliau berjanji tidak akan mengulangi kesilapan di Morte Carlo dan akan lebih teliti.

Semasa penganjuran festival ini di Kuala Lumpur baru-baru ini, ABIM mendapati penganjur telah mengambil pengajaran dari teguran ABIM dan beberapa NGO Islam yang lain. Nampaknya, tidak ada kontroversi baru berlaku setelah lebih sebulan berlangsung. Sekurangnya tiada pakaian yang cuba memalingkan mesej yang songsang seperti penganjuran sebelum ini.

Walaupun ABIM tidak bersetuju secara keseluruhannya tentang kaedah penganjuran festival tersebut yang terutama sekali dalam menepati piawaian berpakaian Islam yang selari dengan tuntutan Syariah, sekurangnya ABIM sebagai badan dakwah telah menyampaikan nasihat dan teguran kepada pihak penganjur secara langsung. ABIM tidak mahu mengambil pendekatan menghukum yang akhirnya juga tidak selari dengan tuntutan dakwah.

ABIM menjelaskan bahawa ABIM tidak sama sekali kompromi dengan apa jua kegiatan mahupun acara yang cuba meremehkan kemuliaan dan kesucian Syariah. Apa yang cuba dipertahankan ialah usaha nasihat menasihati dan tegur-menegur atas dasar Islam dan jalan keluar untuk memperbaiki keadaan, yang perlu disampaikan kepada sesiapa sahaja sama ada yang Islam atau bukan Islam demi menegakkan kebenaran dan keadilan.

Mohd Hilmi Ramli

Ketua Biro Penerangan, Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM)