Halaman

Jumaat, Januari 07, 2011

Mangsa banjir terus dapat bantuan

KAMPUNG KULIM – Sebanyak 19 keluarga dari Kampung Jerangau, Kampung Terasil dan Kampung Kulim terpaksa berpindah ke pusat pemindahan di Sekolah Kebangsaan Kulim kira-kira jam 11 malam kelmarin, akibat paras air di ketiga-tiga kampung naik antara 0.3 hingga 0.4 meter.

Berikutan itu, Naib Ketua UMNO Bahagian Tanah Merah, Mohd Bakri Mustapha tampil menghulurkan sumbangan yang berupa pemberian peribadi Ketua UMNO Bahagian Tanah Merah, Datuk Ikmal Hisham Abdul Aziz.

Menurutnya, kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Gual Ipoh mendapat 500 barangan keperluan dan dua DUN lagi turut menerima sumbangan sama dalam jumlah berbeza mengikut jumlah penduduk terlibat dengan banjir.

“Mengikut maklumat diterima, 68 keluarga terlibat dengan banjir dan hanya 19 yang berpindah ke sini.

“Bagaimanapun mereka turut menerima bantuan awal kerana bimbang akan terputus bekalan makanan berikutan keadaan cuaca tidak menentu sekarang,” katanya ketika menyampaikan sumbangan kepada mangsa banjir di Sekolah Kebangsaan Kulim, di sini petang semalam.

Hadir sama, Ketua Pemuda Bahagian Tanah Merah, Almidi Jaafar, Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung Persekutuan (JKKKP) Jerangau, Mohd Hassan Mat Ali @ Rozali dan JKKKP Mukim Terasil, Awang Yusoff.

Beliau yang juga Pengarah DUN Gual Ipoh berkata, dari semasa ke semasa pihaknya akan memantau jumlah mangsa banjir untuk menghulurkan sumbangan segera supaya mereka tidak terputus bekalan makanan.

Menurutnya, mangsa terakhir berpindah ke pusat pemindahan di SK Kulim itu ialah kira-kira jam 6 pagi semalam.

http://www.sinarharian.com.my/sh/kelantan/content/story8591611.asp