Halaman

Ahad, Januari 16, 2011

Perutusan Sempena Perlancaran Sambutan 40 Tahun ABIM



ABIM bukan nama asing di pentas dakwah negara ini. Tahun ini, ABIM akan menyambut ulang tahun penubuhannya yang ke-40. Menurut Prof John C Raines, seorang pengkaji Islam dari Amerika Syarikat dalam rencananya mengenai sejarah perjuangan ABIM, beliau membahagikan pertumbuhan ABIM sebagai pertubuhan dakwah kepada beberapa era utama. Era pertama ia mula ditubuhkan pada 1971, ABIM mendepani persekitaran masyarakat yang ‘rapuh’. Kerana pada sekitar tahun itu negara baru saja 12 tahun mencapai kemerdekaan.

ABIM muncul ketika usia negara terlalu muda serta tidak mempunyai sistem pemerintahan kukuh dalam segala aspek kehidupan. Banyak perkara diwarisi daripada sistem penjajahan terutama segi dasar dan sistemnya terus diguna pakai kepemimpinan awal negara. Keadaan ini menimbulkan rungutan dan kekecewaan masyarakat Melayu kerana sistem pemerintahan tidak berupaya memenuhi aspirasi kemerdekaan mereka khususnya dalam memajukan ekonomi mereka yang amat daif akibat dasar ‘pecah dan perintah’ yang diamalkan penjajah.

Keadaan ketidakseimbangan ekonomi antara kaum dicatat seorang penganalisis yang mana dari keseluruhan pemilikan ekuiti pada 1971, British memiliki 65 peratus, masyarakat Cina (27 peratus) manakala masyarakat Melayu hanya memiliki 2 peratus ekuiti. Realiti ini menggusarkan semua pihak dan mendorong penentangan masyarakat yang kecewa.

Dalam latar masyarakat yang sebeginilah ABIM sebagai sebuah pergerakan dakwah membentuk dirinya pada awal penubuhan. Kegiatan yang bersifat protes bagi menyuarakan isi hati dan menyampaikan realiti sebenar masyarakat umum yang ketinggalan pada arus pembangunan negara begitu sinonim dengan ABIM. Walaupun corak kegiatan dakwah ini dilihat terlalu lantang dan keras, namun ia dijayakan atas cita-cita perjuangan yang murni iaitu bagi memastikan semua pihak terutama masyarakat Melayu terbabit secara aktif dan tidak ketinggalan dalam arus pembangunan negara selepas kemerdekaan.

Selepas melalui era ini, dinamika pergerakan ABIM melalui fasa baru sekitar 1980–an dan 1990–an. Masyarakat dan melalui pengalaman baru pembangunan kesan dari beberapa dasar negara yang mula proaktif terhadap realiti sosio-ekonomi semasa. Selepas peristiwa 13 Mei 1969 di mana terjadi pertembungan kaum di negara ini, kerajaan memperkenalkan Dasar Ekonomi Baru (DEB). Tumpuan khusus dasar ini bagi membentuk keseimbangan ekonomi dan ia memberi manfaat kepada masyarakat Melayu.

Berdasarkan rekod, pemilikan ekuiti masyarakat Melayu meningkat daripada 2 peratus pada 1971 kepada 19 peratus pada 1994, walaupun dalam masa sama ekuiti masyarakat Cina meningkat daripada 27 peratus pada 1971 kepada 45 peratus pada 1994. Peningkatan keupayaan ekonomi Melayu memberi kesan kepada kehidupan masyarakat. Apa yang jelas pertambahan golongan kelas menengah dan elit. Sebahagian besar masyarakat memperoleh peluang pendidikan sama ada di dalam atau luar negara. Kesan lain ialah aspek kebudayaan. Masyarakat terdedah dengan kebudayaan global yang berkembang tanpa kawalan.

Pada era baru ini, ABIM bertukar corak. Dasar dan sikap pemerintah yang dinamik dalam memenuhi tuntutan dan keperluan masyarakat terutama dalam aspek ekonomi, pendidikan dan agama membuka ruang yang luas kepada usaha pengisiannya. ABIM menumpu usahanya sebagai rakan dalam pembangunan negara. Penyertaan ABIM dalam pelbagai bidang pembangunan masyarakat bagi memastikan perkembangan masyarakat dimanfaatkan dengan mewujudkan persekitaran yang mendorong penghayatan agama secara lebih menyeluruh.

Saya sering ditanya apakah agenda ABIM selepas ini? Pada saya, ABIM pada alaf baru harus mempersiapkan masyarakat terutama generasi muda mendepani era masyarakat terbuka. Realiti dunia bersifat global menuntut persediaan luar biasa terutama dari segi ketahanan ilmu dan budaya. Jika tidak, masyarakat kita berdepan krisis jatidiri yang parah. Kita tentu tidak menginginkan negara mencapai status maju namun asing di tanah air akibat jati diri yang larut dalam kebudayaan asing. Inilah agenda besar dakwah ABIM untuk beberapa dekad mendatang.