Halaman

Sabtu, Januari 22, 2011

Islamisasi Jana Perubahan Positif: Presiden ABIM

Perbincangan mengenai kepentingan menjayakan proses Islamisasi sebagai satu tema dakwah agak dingin sejak akhir-akhir ini. Pada sekitar 1980-an dan 1990-an, diskusi mengenai tema ini sungguh rancak dan segar sekali. Pada pandangan saya, usaha menyegarkan semula diskusi dan usaha penjayaan Islamisasi harus digerakkan semula secara aktif, terutama oleh pertubuhan dan gerakan dakwah semasa.

Menjayakan Islamisasi bermaksud mengusahakan satu proses pengislaman masyarakat secara menyeluruh. Proses ini juga boleh difahami sebagai satu kegiatan dakwah bagi mengembalikan seluruh dimensi dan aturan kehidupan masyarakat sejajar dengan tatacara dan kerangka syariah Islamiah. Usaha murni ini adalah bertepatan dengan pemahaman mengenai pengertian agama Islam itu sendiri, iaitu satu cara hidup yang menyeluruh dan lengkap.

Dengan kata lain, penyempurnaan pengertian Islam itu harus melalui satu proses dakwah secara berterusan dan ia boleh dicapai menerusi usaha Islamisasi atau pengislaman masyarakat itu sendiri. Menjayakan Islamisasi seharusnya mendapat dokongan semua pihak. Kegiatan dakwah ini mempunyai beberapa ciri yang unik dan istimewa. Antaranya ialah pemahaman bahawa pengislaman sebagai satu proses perubahan terjadi secara dinamik.

Dalam kata kain, usaha pengislaman bagi mengembalikan masyarakat kepada tatacara kehidupan Islam harus melalui satu proses yang menyeluruh. Perubahan ke arah pengislaman masyarakat secara bermakna hanya akan terjelma apabila segenap unsur dan dimensi dalam kehidupannya dapat digerakkan secara sepadu dan menyeluruh.

Pemahaman mengenai proses perubahan yang bersifat sebegini adalah sejajar dengan realiti masyarakat itu sendiri yang berada di dalam suasana yang dikenali sebagai bersifat organik. Ia bermaksud, seluruh dimensi kemasyarakatan berada dalam keadaan saling berkait dan berhubungan di antara satu dengan lain.

Tidak ada satu unsur pun yang mampu tumbuh dan berkembang menuju perubahan secara sendirian. Oleh itu, sebarang usaha bagi menjayakan proses Islamisasi atau pengislaman masyarakat harus menerusi satu usaha yang bersifat menyeluruh dan sepadu.

Antara sifat unik dan istimewa yang lain berkenaan dengan proses Islamisasi ini ialah pegangan bahawa proses perubahan harus berlaku secara beransur-ansur. Dalam kata lain, pengislaman masyarakat sebagai satu proses perubahan harus terjadi secara bertahap-tahap berdasarkan kadar sesuai dengan realiti atau keadaan masyarakat itu.

Menerusi pegangan mengenai sifat perubahan bersifat beransur-ansur ini, ia memberi maksud bahawa usaha pengislaman masyarakat tidak harus berlaku di dalam bentuk paksaan atau radikal. Pengislaman yang berlaku menerusi proses perubahan yang bersifat sebegini selalunya tidak akan menghasilkan natijah yang bermakna.

Inilah antara dua sifat proses pengislaman yang harus menjadi asas penting di dalam kita memahami keperluan dan kepentingan terhadap usaha menjayakannya pada masa kini.

Untuk pengetahuan kita, Islamisasi sebagai satu tema dakwah lahir daripada satu sejarah peradaban Islam yang panjang. Pada hakikatnya, Islamisasi amat sinonim sekali dengan sifat agama Islam itu sendiri. Seperti kita sedia ketahui, penurunan risalah Islam bertujuan bagi menjayakan proses perubahan dan pembaharuan kepada umat manusia di dalam segenap aspek kehidupan. Ia dijayakan menerusi saluran dakwah dan tarbiyyah secara menyeluruh meliputi kepercayaan, kefahaman dan akhlak.

Namun, tuntutan terhadap Islamisasi bertambah mendesak sekali kini selepas peradaban Islam berada pada tahap kelemahan dan kejatuhannya pada era semasa. Dalam hubungan ini, menjayakan Islamisasi ialah merujuk kepada usaha membina kekuatan semula masyarakat Islam dan memulihkan semula peradabannya.

Matlamat terakhir Islamisasi ialah bagi membina dan membangunkan semula satu ummah yang kuat sehingga mampu digelar sebagai ummat terbaik atau ‘khaira ummah’. Oleh itu, pembinaan ummah terbaik adalah satu tuntutan asas bagi usaha menangani cabaran kemunduran peradaban yang sedang dialami umat Islam hari ini.

Berasaskan kerangka cita-cita dan matlamat inilah, Islamisasi sebagai satu tema dakwah dijayakan oleh ilmuwan dan pendakwah. Proses penjayaan ini sudah dilangsungkan sekian lama dan menghasilkan natijah tersendiri. Antara kesannya ialah kemunculan suatu fenomena yang sering dirujuk di dalam diskusi pemikiran sebagai ‘gelombang kebangkitan Islam’ atau al-nahdah al-Islamiah di seluruh dunia Islam.

Di negara kita, proses Islamisasi sudah dijayakan sejak berabad yang lalu dan ia sumbangkan ramai tokoh ilmuwan dan pendakwah. Tumpuan awal proses Islamisasi ini ialah dalam bidang pendidikan. Fenomena ini dapat dilihat menerusi pertumbuhan pesat sekolah beraliran agama dan madrasah rakyat. Bidang lain yang menonjol juga ialah menerusi kegiatan dakwah bersifat kuliah dan penerbitan bahan bacaan dan rujukan bercorak keislaman.

Proses pengislaman banyak bertumpu dalam bidang pendidikan kerana ia didorong oleh satu kefahaman, iaitu sebarang bentuk perubahan yang ingin dijayakan harus bermula daripada perubahan nilai hidup. Dalam hal ini, pendidikan menjadi saluran bagi pembinaan nilai luhur meliputi kepercayaan yang hakiki, pembangunan fikrah yang positif dan akhlak terpuji seperti yang dituntut ajaran Islam.

Usaha pengislaman masyarakat menerusi bidang pendidikan di negara kita mencapai tahap kemuncak yang boleh dibanggakan menerusi penubuhan Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM). Ia adalah institusi tertinggi yang dibangunkan bertujuan bagi membangunkan satu model pendidikan yang bercorak keislaman. Oleh itu, sekiranya kita telusuri kegiatan pendidikan di UIAM, aspek pengislaman ilmu dan pengintegrasiannya dengan ilmu moden menjadi ciri terpenting seluruh kurikulum pengajiannya. Namun, ini tidak bermakna usaha pengislaman dalam bidang pendidikan sudah selesai dan sempurna.

Di dalam kita bergembira dengan pencapaian Islamisasi bidang pendidikan ini, ia tidak harus melalaikan kita akan tuntutan untuk terus menjayakan kegiatan dakwah di dalam pelbagai bidang lain lagi yang masih belum diterokai secara menyeluruh. Sejak akhir-akhir ini, kita berasa amat lega dan senang melihat pertumbuhan proses Islamisasi dalam bidang ekonomi, walaupun masih banyak ruang lagi yang perlu ditingkatkan dan dijayakan.

Untuk beberapa masa mendatang, usaha Islamisasi harus diberi tumpuan dalam empat bidang utama iaitu sosial, kebudayaan, politik dan media. Kepentingan bidang ini kini begitu menuntut sekali memandangkan masyarakat kita sedang mendepani era masyarakat terbuka. Pembinaan jati diri masyarakat Malaysia yang utuh sebagai satu daripada matlamat proses pengislaman harus didukung segenap bidang kehidupan secara menyeluruh tanpa terkecuali.

Kita yakin usaha menjayakan Islamisasi di empat bidang terbabit akan memberikan satu natijah perubahan yang bermakna untuk masyarakat dan negara ini pada masa depan.

Oleh: Dr Muhamad Razak Idris
Presiden Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM)