Halaman

Jumaat, Januari 07, 2011

Jangan lengah berpindah


GUCHIL - Penduduk di kawasan mudah banjir di Dewan Undangan Negeri (DUN) ini dinasihatkan supaya segera berpindah jika diarahkan pihak berkuasa dan tidak menunggu saat akhir.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Guchil, Tuan Zamri Ariff Tuan Zakaria berkata, penduduk di kawasan berisiko juga perlu membuat persiapan awal bagi memudahkan mereka untuk terus berpindah apabila banjir mula melanda.

“Pastikan semua dokumen penting serta barang berharga disimpan dan dijaga dengan baik supaya tidak rosak atau dicuri.

“Orang ramai terutama mereka yang berpindah di pusat pemindahan juga perlu menjaga kesihatan dan kebersihan makan minum pada musim banjir ini,” katanya.

Beliau ditemui selepas menyerahkan sumbangan perahu untuk kegunaan mangsa banjir di Kampung Tok Bok, Ladang Mengkebang dan Guchil, dekat sini.

Hadir sama, Ketua Parti Keadilan Rakyat (PKR) Cabang Kuala Krai, Mohd Roslan Puteh dan Penghulu Mukim Batu Lada, Abd Razak Taib.

Tuan Zamri Ariff berkata, perahu disediakan untuk memudahkan penduduk kampung berkenaan terutama dalam kalangan kanak-kanak dan wanita berpindah ke pusat pemindahan bila banjir.

“Sebelum ini saya serahkan dua perahu sama untuk Kampung Hamzah dan Temalir selain ada dua lagi disimpan sebagai persediaan jika banjir besar, menjadikan semuanya tujuh,” katanya.

Sementara itu, wakil penduduk Kampung Tok Bok, Ahmad Suhaimi Setapa berkata, mangsa banjir di kampungnya sebelum ini terpaksa meredah banjir dan memikul barang setiap kali berpindah.

“Selain kemudahan berpindah, perahu juga digunakan untuk menjaga rumah penduduk yang berada di pusat pemindahan kerana selalunya terdapat ramai pencuri pada musim banjir,” katanya.

Wakil Guchil 4, Tajudin Ismail pula berkata, mangsa banjir di kawasan itu memerlukan kemudahan perahu untuk berpindah awal kerana kedudukan mereka agak jauh dari jalan utama.

http://www.sinarharian.com.my/sh/kelantan/content/story8590359.asp