Halaman

Jumaat, Ogos 20, 2010

Penduduk Orang Asli bengang


GUA MUSANG - Masyarakat Orang Asli di sini bengang dengan individu tertentu yang telah menebang ladang getah mereka.

Lantaran itu, 13 daripada mereka menyerbu ke kawasan ladang getah untuk mencari individu yang mengambil upah menembang 380 pokok getahnya selepas mengetahui mengenai perkara berkenaan, petang Isnin lalu.

Kegiatan itu dipercayai dilakukan individu terbabit dengan mengambil upah menebang pokok getah itu daripada sebuah syarikat pembangunan ladang rakyat di Kampung Langsat, dekat sini.

Kegiatan itu melibatkan kawasan seluas 1.8 hektar sementara individu terbabit dipercayai menghilangkan diri lebih awal bagi mengelakkan kejadian tidak diingini berlaku.

Penduduk Orang Asli di sini yang masih marah dengan kejadian itu sentiasa berulang-alik ke ladang getahnya setiap hari untuk mengesan ketua kumpulan yang menebang pokok getah hingga menyebabkan mereka hilang punca pendapatan.

Tinjauan mendapati, 380 pokok getah yang diusahakan mereka sejak 20 tahun lalu tumbang berselerak selepas ditebang individu tidak dikenali apabila mendapat upah daripada syarikat pembangunan ladang rakyat.

Penduduk terlibat, Biok Alang, 40, berkata, kawasan ladang getah yang diusahakan secara beramai-ramai penduduk kampung terbabit masih berada dalam kawasan Rancangan Pengumpulan Semula (RPS) Kuala Betis.

Menurutnya, dia hairan kenapa pihak terbabit berani menceroboh dan bertindak menebangnya tanpa merujuk terlebih dahulu kepada Jabatan Hal Ehwal Orang Asli (JHEOA) atau berbincang dengan penduduk tempatan.

“Dia bertindak sesuka hati dan kami sara bengang dengan perbuatan tidak bertanggungjawab itu menyebabkan kami beramai-ramai menyerbu ke kawasan ladang getah terbabit tetapi gagal menamui penebangnya.

“Kami memang mengharapkan hasil dari ladang getah berkenaan bagi menyara hidup isteri dan anak tetapi malang apabila ditimpa nasib itu hingga sukar bagi kami mencari sumber pendapatan lain,” katanya.

Sementara itu Alang Asud, 24, pula berkata, laporan polis berhubung penebangan pokok getahnya dibuat pagi kelmarin dan mengharapkan pihak berkuasa menjalankan siasatan dengan mengambil tindakan terhadap syarikat terlibat.

Menurutnya, dia bimbang jika tiada tindakan selanjutnya, kemungkinan lebih banyak pokok getah yang ada sekarang ditebang oleh syarikat itu dan boleh menyebabkan golongan Orang Asli hidup terhimpit dan menjejaskan pendapatan mereka.

“Penduduk Orang Asli sejak kebelakangan ini menerima tekanan kerana masalah tanah yang selalu dirampas Kerajaan Negeri dan diberi kepada syarikat swasta bagi pembangunan ladang rakyat tanpa mengambil kira tanah itu sudah dimajukan dengan ladang getah.

“Mana lagi hak kami jika terus tanah itu dirampas dan kami juga anak jati Kelantan yang ingin hidup senang seperti golongan lain dengan menoreh getah sebagai punca pendapatan utama,” katanya.

http://www.sinarharian.com.my/kelantan/content/story8082323.asp