Halaman

Jumaat, Ogos 20, 2010

Jumlah penagih meningkat


KUBANG PANJANG - Gejala penyalahgunaan dadah semakin membimbangkan dan apa yang menyedihkan ramai daripada mereka adalah kaum Melayu yang diharap bersama-sama bersatu membina sebuah bangsa yang cemerlang.

Penolong Pegawai Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK), Wan Azlan Wan Abd Kadir berkata, golongan Melayu kini banyak melakukan perkara tidak berfaedah dan mampu memusnahkan bangsa Melayu sendiri.

Menurutnya, masalah penagihan dadah telah mengancam golongan Melayu dan ia bukan sahaja berlaku kepada orang dewasa tetapi turut mengancam remaja yang masih di bangku sekolah.

“Pengaruh negatif yang dibawa rakan sebaya membawa kepada penularan yang semakin tidak terkawal dan akhirnya angka penagih dadah semakin meningkat dan harapan negara untuk melihat remaja sebagai pelapis kepimpinan negara semakin berkurangan.

“Masalah demi masalah yang berlaku perlu dipandang serius dan ia tidak seharusnya berterusan tanpa sebarang tindakan oleh ibu bapa, sekolah dan masyarakat keseluruhannya,” katanya ketika mengadakan ceramah di Pusat Giat Mara, di sini.

Beliau berkata, semua pihak perlu bersama-sama memberi perhatian terhadap masalah ini dan membantu remaja dan individu yang terjebak daripada hanyut dengan keseronokan sementara dan memusnahkan masa depan mereka.

“Kempen kesedaran yang dilakukan oleh kerajaan dan agensi lain memerlukan kerjasama daripada semua pihak dan percaya bahawa usaha mencegah masalah ini bermula dari rumah,” katanya.

http://www.sinarharian.com.my/kelantan/content/story8081890.asp