Halaman

Selasa, Mei 04, 2010

Siswa Siswi PPIK Bersama Pelajar Selatan Thai


Pada 30 April – 2 Mei, telah berlangsung Kursus Kepimpinan Pelajar Pondok Yala, Thailand di Sekolah Rendah Islam (SRI) al-Huda, Gombak, Kuala Lumpur. Program selama 3 hari 2 malam ini membabitkan seramai 25 orang pelajar (muslimin dan muslimat) dari Maahad Misbah al-Ulum, Yala yang tergolong daripada Dewan Pelajar (ketua pelajar).

Matlamat kursus ini adalah untuk melatih dan membina keyakinan mereka sebagai pemimpin pelajar yang berkarisma dan mampu membimbing rakan-rakan apabila kembali ke Yala. Konsep ‘Hamba’ & ‘Khalifah’ menjadi teras dalam kursus kepimpinan ini yang diterapkan melalui latihan dalam kumpulan (LDK), ceramah, pembentangan, riadah, sharing moment dan ziarah. Di samping itu, ia juga bertujuan untuk mengeratkan ikatan persaudaraan dalam konteks pelajar Islam dari Negara yang berbeza. Program ini mampu menguatkan jaringan antara kedua-dua Negara yang berjiran Malaysia-Thailand.


Persatuan Pembimbing Pelajar Islam Kelantan (PPIK) peringkat kampus telah diberi amanah sebagai fasilitator untuk membantu peserta dengan pelaksanaan modul terancang. Alhamdulillah, semuanya berjalan dengan lancar dan mencapai matlamat.

Antara fasilitator yang terlibat dalam Kursus Kepimpinan ini adalah Izwan Abdullah, Mursyida Azmi, Suliati Che Sulaiman, Siti Aisah Ismail, Nik Rahimah Abdullah, Noor Shahida Yusoff, Nurussyifa’ Abdul Razak dan Nurul Hidayah Mustafa Afifuddin dari Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UiAM), Mohd Zul Amin Ghazali dari Universiti Kuala Lumpur-Malaysian Institute of Aviation Technology (UniKL-MIAT), Mohd Faris Abdul Rashid dari Universiti Putra Malaysia (UPM) & Mohd Faizal dari Kuala Lumpur Metropolitan University (KLMU)

Di akhir program, peserta dibawa ke UiAM, Gombak bagi memberi gambaran suasana universiti Islam antarabangsa yang menempatkan pelajar dari seluruh pelusuk Negara termasuk Thailand. Di samping itu, ianya juga bertujuan menyuntik semangat pelajar agar gigih menuntut ilmu dan menjadikan UiAM sebagai salah satu pilihan mereka untuk menyambung pelajaran .

Dalam sesi ‘Ziarah UiAM’, mereka dibawa ke beberapa tempat untuk melihat dengan lebih dekat suasana pembelajaran di sana. Antaranya CAC, Kuliyyah of Architecture & Environmental Design (KAED), Masjid Sultan Haji Ahmad Shah dan beberapa tempat lagi.

Mudah-mudahan program ini mendapat berkat dan redha daripada Allah SWT serta mencapai matlamat dalam mengembalikan kegemilangan generasi belia Islam.

Disediakan Oleh :
Mohd Zul Amin bin Ghazali
PPIK UniKL-MIAT



Peserta Lelaki


Peserta Perempuan