Halaman

Rabu, Mei 05, 2010

ABIM Mohon Ketegasan Untuk Pulihkan Imej Allahyarham Aminulrasyid dan Polis Diraja Malaysia (PDRM)


Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) merakamkan takziah dan simpati kepada keluarga Allahyarham Aminulrasyid yang terlibat dalam tragedi yang meragut nyawanya minggu lalu. Walaupun pihak kerajaan dan polis telah memberikan jaminan bahawa siasatan yang telus akan dibuat secara menyeluruh, ABIM berpandangan ada beberapa aspek ketelusan dan ketegasan yang perlu diperkukuhkan bagi menjamin keadilan untuk semua pihak. Dalam menangani isu iniJustify Full, ABIM berpendirian bahawa ada beberapa perkra penting yang perlu dipertegaskan dalam memastikan isu ini benar benar ditangani dengan telus dan kedaulatan undang-undang dijunjung sepenuhnya.

Dengan ketegasan untuk membersihkan dua nama iaitu membersihkan nama Allahyarham Aminulrasyid daripada gelaran penjenayah serta membersihkan nama serta imej Polis Diraja Malaysia (PDRM) yang sedikit sebanyak tercalar kerana insiden ini, maka ABIM menggesa lapan tindakan diambil seperti berikut:-


1. Menyokong permintaan keluarga mangsa agar kerajaan menubuhkan Suruhanjaya Diraja untuk menjamin ketelusan, membela kehormatan maruah Allahyarham serta keluarganya, di samping mengembalikan keyakinan rakyat terhadap PDRM yang menjunjung moto perkhidmatan, “Mesra, Cepat dan Betul”.


2. Menggesa semua pihak agar menghentikan segala kenyataan yang berbentuk tuduhan, sindiran serta spekulasi yang boleh mengeruhkan suasana serta menjatuhkan maruah Allahyarham di samping mengguris hati serta perasaan keluarga beliau.


3. Menggesa kerajaan melantik wakil-wakil dari NGO untuk mengganggotai Suruhanjaya yang memantau siasatan polis di dalam kes ini bagi menjamin keadilan dan ketelusan yang sewajarnya bagi mengelakkan isu siasatan ini dipolitikkan.


4.Menggesa lebih ramai saksi-saksi yang menyaksikan tragedi tersebut tampil memberikan kerjasama tanpa sebarang ancaman atau ugutan daripada mana-mana pihak demi mencapai proses keadilan.

5.ABIM juga menyeru agar lebih banyak NGO yang berpengaruh dan badan-badan hak kemanusiaan berpartisipasi bagi menggerakakan kesedaran pendidikan hak-hak asasi untuk rakyat Malaysia sebagaimana yang diperuntukkan di bawah Perlembagaan Persekutuan di kalangan masyarakat.

6.Menggesa Kerajaan agar lebih tegas dalam usaha memperkasa ketelusan dan kepimpinan PDRM dengan usaha untuk membaikpulih imej wibawa dan nama baik PDRM di mata masyarakat.

7. ABIM juga menegaskan agar ibu-bapa khususnya agar lebih bertanggungjawab dan secara serius memantau aktiviti anak masing-masing bagi mengelakkan kejadian lain yang tidak diingini.


8. ABIM juga akur dengan beban yang dipikul oleh pihak PDRM untuk menjaga keselamatan negara. Justeru, PDRM perlu mempertingkatkan tahap professionalisme dalam menjalankan tugas untuk mengelakkan sebarang kejadian yang tidak diingini daripada berulang kembali di masa akan datang.



FADHLINA SIDDIQ
Naib Presiden Hal Ehwal Wanita ABIM (HELWA)


sumber: http://www.abim. org.my/