Halaman

Isnin, Disember 21, 2009

Peniaga, pelayan seksi dikompaun RM500

KOTA BHARU - Mendedahkan aurat dan susuk badan bukanlah cara terbaik untuk menarik pelanggan malah peniaga dan pelayan diingatkan supaya tidak melampau ketika berurus niaga

Itulah peringatan yang dikeluarkan Jabatan Pembangunan Islam (JPI) Majlis Perbandaran Kota Bharu Bandar Raya Islam (MPKB-BRI) kepada peniaga yang masih berdegil dan mengenakan pakaian menjolok mata ketika berniaga di negeri Serambi Mekah.

Ahli Majlis MPKB-BRI, Mohd Noor Yazid berkata, peniaga dan pelayan yang memakai pakaian seksi dan tidak menutup aurat dengan sempurna sekarang ini semakin menjadi-jadi.

Menurutnya, mereka tidak perlu mendedahkan aurat tetapi perkara yang lebih penting ada tarikan masakan, harga, kebersihan dan kemesraan ketika berniaga perlu diberi keutamaan.

“Saya sedih dan malu jika melihat ada dalam kalangan peniaga dan pelayan kita yang memakai baju ‘adik’, tidak bertudung, malah ada yang bertudung tetapi tidak sempurna.

“Secara peribadinya, saya akan malu untuk membeli dan singgah di kedai-kedai yang menggunakan pelanggan seksi dan juga jurujualnya tidak menutup aurat,” katanya kepada :Sinar Harian: semalam ketika mengikuti Operasi Tutup Aurat.

Operasi selama lima jam bermula jam 10 malam berkenaan diadakan di Pasar Borong Wakaf Che Yeh dan beberapa kedai makan di sekitar Kota Bharu.

Operasi yang diketuai Ketua Bahagian Dakwah JPI, Wan Sharafi Wan Mustaffa Rusdi turut disertai kira-kira 18 anggota penguat kuasa.

Wan Sharafi berkata, operasi berkenaan dilaksanakan bagi membuktikan tanggungjawab MPKB-BRI dalam membendung gejala tidak sihat di negeri ini.

“Dalam operasi ini kita mengeluarkan kompaun kepada peniaga di pasar borong dan juga peniaga kedai makan.

“Mereka yang tidak menutup aurat termasuk mendedahkan lengan ini dikenakan kompaun RM500 dan perlu hadir ke JPI untuk menyelesaikannya,” katanya.

Menurutnya, pihaknya serius untuk menangani masalah itu dan berharap peniaga dapat akur dengan syarat permohonan lesen yang diberikan iaitu termasuk dalam soal etika berpakaian.

“Pihak kami akan menjalankan pemantauan dari semasa ke semasa supaya masalah ini dapat dibendung secara menyeluruh,” katanya.

Antara yang diberikan kompaun ialah seorang pemilik kedai berusia 30-an bersama tiga pelayan kedai makannya di Kampung Jejulok kerana tidak menutup aurat.

http://www.sinarharian.com.my/kelantan/