Halaman

Isnin, Disember 21, 2009

Muhammad Syukur peluk Islam selepas mendapat hidayah

KUALA KRAI - Pintu hati seorang saudara baru yang memeluk Islam pada 4 November lalu terbuka selepas mendapat hidayah dari Allah dan dia bersyukur kerana mendapat bimbingan semua yang terlibat.

Muhammad Syukur Parameswaran, 42, yang dilahirkan dan dibesarkan dalam komuniti Melayu Islam mendapat petunjuk dan memeluk Islam dibimbing oleh kebanyakan penduduk dan keluarga angkatnya di situ.

Menurutnya, dia amat bertuah kerana disokong dan dibantu oleh kebanyakan penduduk di situ terutamanya bapa angkatnya Ibrahim Daud, 58, dan keluarganya.

“Saya amat bertuah kerana mendapat bimbingan daripada keluarga angkat dan sokongan moral semua penduduk di sini.

“Dari aspek pembelajaran setiap minggu saya juga mengikuti kelas agama di Pejabat Agama Dan Jajahan Kuala Krai khusus untuk saudara baru di bawah guru agama bertauliah,” katanya kepada :Sinar Harian.

Selain itu, Muhammad Syukur juga mengikuti kelas di bawah seliaan Jakim di Kota Bharu yang perlu dihadiri oleh saudara baru sepertinya.

Sementara itu, bapa angkatnya, Ibrahim Daud berkata, dia mengenali Muhammad Syukur dan ahli keluarganya sejak kecil lagi.

Justeru, apabila Muhammad Syukur menyatakan hasratnya untuk memeluk Islam dia amat teruja dan menyokong sepe-nuhnya hasrat anak angkatnya itu.

“Saya amat bersyukur kerana dia mendapat petunjuk dan ingin memeluk Islam. Justeru kami semua memberikan sokongan dan panduan untuk dia mempelajari selok belok mengenai Islam dan membawanya berjumpa pihak berkenaan.

“Saya harap dia akan tabah menghadapi ujian sebagai seorang muslim dan kami semua akan sentiasa ada untuk membantu dalam apa juga bantuan yang diperlukan,” katanya.

http://www.sinarharian.com.my/kelantan/