Halaman

Isnin, Disember 28, 2009

Ulang Tahun Pertama Serangan Ke Atas Gaza: ABIM Gesa Teruskan Sokongan Ke Atas Rakyat Palestin


Sempena dengan ulang tahun pertama memperingati serangan tidak berperikemaanusiaan rejim Israel ke atas Gaza pada 27 Disember yang lalu, Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) menyeru setiap lapisan umat Islam di negara ini untuk meneruskan sokongan mereka ke atas umat Islam di Palestin.

Berdasarkan dari pengamatan sepanjang tugasan lapangan dan misi-misi bantuan kemanusiaan yang diusahakan oleh ABIM sebelum ini, umat Islam di Gaza sangat mengharapkan sebarang sokongan serta bantuan dalam pelbagai bentuk, memandangkan mereka masih lagi hidup dalam keadaan tertindas dengan kekejaman yang dilakukan oleh Rejim Zionis.

Di samping itu, tragedi serangan ke atas Gaza ini seharusnya menyedarkan umat Islam untuk memperbaiki segala kelemahan yang telah membuka ruang kepada regim Zionis untuk meneruskan penindasan mereka ke atas umat Islam di Gaza.

ABIM tetap konsisten untuk menggerakkan komitmen mengecam segala pencabulan hak asasi manusia yang dilakukan ke atas umat Islam di Gaza serta mengembleng inisiatif bagi meringankan beban yang ditanggung oleh mereka. Sesungguhnya, rakyat Palestin amat mengharapkan komitmen yang berterusan dari masyarakat seluruh dunia tanpa mengira waktu dan ketika.

" Menegakkan Kebenaran & Keadilan "
MOHAMAD RAIMI AB RAHIM
SETIAUSAHA AGUNG
ANGKATAN BELIA ISLAM MALAYSIA (ABIM)