Halaman

Isnin, Disember 21, 2009

Awasi anak-anak patuhi peraturan

JELI – Ibu-bapa dinasihatkan supaya mengawasi pergerakan anak-anak mereka yang menunggang motosikal. selain mendidik mematuhi peraturan ketika berada di jalan raya.


Ketua Polis Daerah Jeli, Deputi Superintendan Muhamad Hanifah Ab. Malik berkata, kecaknaan ibu bapa dalam hal ini amat perlu, memandangkan soal keselamatan adalah perkara utama ketika menunggang motosikal.

Menurutnya, pemakaian topi keledar terutamanya perlu dititikberatkan ibu bapa demi kebaikan semua.

“Didikan ibu bapa supaya anak-anak mematuhi peraturan cukup penting untuk mereka selamat semasa menunggang mahupun berada di jalan raya.

“Komitmen ini perlu disahut ibu bapa bagi memastikan keselamatan anak-anak terjamin dan membesar sebagai seorang pengguna jalan raya yang berhemah,” katanya.

Beliau berkata demikian, ketika ditemui Sinar Harian selepas majlis perhimpunan bulanan anggota polis di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Jeli.

Hanifah berkata, ibu bapa juga seharusnya tidak membenarkan anak-anak mereka menunggang motosikal di bawah umur yang dibenarkan.

“Perkara penting sekali ialah mempunyai lesen memandu yang sah ketika berada di jalan raya.

“Diharapkan kerjasama ibu bapa dalam hal ini, mendapat sokongan seadanya supaya kita dapat mendidik generasi yang mematuhi undang-undang jalan raya,” katanya.

Beliau berkata, budaya tegur menegur dalam masyarakat terutamanya perlu disuburkan kerana impaknya amat positif.

“Budaya ini turut menjamin keadaan mahupun persekitaran lebih baik kerana di sinilah menunjukkan sikap mengambil berat antara satu sama lain.

“Menegur untuk kebaikan adalah cara terbaik untuk mendidik dan perlu diamalkan masyarakat,” katanya.

http://www.sinarharian.com.my/kelantan/