Halaman

Selasa, Oktober 06, 2009

Penyakit jantung mula menyerang golongan Muda


KUALA LUMPUR - Jika dahulu, penyakit jantung sinonim dengan golongan berusia, tetapi kini ia mula menyerang golongan muda berusia di bawah 40 tahun kesan daripada corak pemakanan dan gaya hidup tidak sihat yang diamalkan mereka.

Ketua Unit Kardiologi Pusat Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia (PPUKM) Prof Madya Dr Oteh Maskon berkata kegilaan golongan itu terhadap teh tarik, roti canai, nasi lemak dan merokok, ditambah pula sikap malas bersenam menyebabkan mereka mudah mendapat penyakit jantung.


Beliau berkata dengan gaya hidup seperti itu, golongan berkenaan terdedah kepada risiko obesiti, penyakit darah tinggi dan kencing manis yang menjadi faktor utama menyebabkan penyakit jantung.

Ini terbukti dengan kira-kira lima peratus daripada 450 pesakit yang dimasukkan ke wad di PPUKM dalam tempoh setahun terdiri daripada golongan yang berusia bawah 40 tahun, yang rata-ratanya pada masa sama didiagnosis menghidap darah tinggi dan kencing manis, selain perokok, katanya kepada pemberita selepas menghadiri Forum Awam bertajuk "Degupan Jantung, Hembusan Nafas, Jangan Biarkan Ianya Berakhir" di PPUKM di sini, pada Jumaat.

Forum yang dirasmikan Pengarah PPUKM yang juga Dekan Fakulti Perubatan UKM Profesor Datuk Dr Lokman Saim itu diadakan sempena Persidangan Tahunan ke-12 Persatuan Torasik dan Kardiovaskular Surgeri Malaysia yang dianjur Pusat Jantung dan Paru-Paru, PPUKM.

Selain corak pemakanan dan gaya hidup, pesakit jantung di kalangan golongan itu juga terdiri daripada mereka yang mewarisinya daripada keluarga dengan kadar tiga daripada 10 pesakit yang mendapat rawatan di hospital itu.

Melalui amalan makan secara sihat, tidak merokok dan bersenam selain membuat pemeriksaan perubatan secara berkala boleh membantu seseorang itu mengetahui tahap kesihatan mereka dan rawatan awal boleh diambil jika dikesan mempunyai penyakit itu.

Dr Oteh berkata kira-kira 30 peratus pesakit jantung yang diserang penyakit itu secara tiba-tiba meninggal dunia tanpa sempat diberi rawatan awal dan kebanyakan kes kematian mengejut juga adalah disebabkan penyakit itu.

Sumber : http://www.yadim.com.my/