Halaman

Khamis, Oktober 08, 2009

AGENDA DAKWAH ABIM

Angkatan Belia Islam Malaysia (Abim) akan meneruskan pembabitan dalam aktiviti bantuan kemanusiaan, dan sedang mengatur perancangan menghantar sukarelawan meninjau keadaan bencana berikutan gempa bumi di Padang, Sumatera. Presidennya, Muhammad Razak Idris, berkata sukarelawan Abim akan melihat perkembangan di kawasan dilanda gempa bumi itu untuk menentukan bantuan sesuai disalurkan kepada mangsa di sana seperti yang pernah dilakukan terhadap mangsa tsunami di Acheh sebelum ini.


Katanya, langkah pertama Abim membantu mangsa gempa bumi ialah melancarkan Tabung Kemanusiaan Gempa Bumi Padang, Sumatera pada Majlis Jamuan Aidilfitri yang diadakan di Dewan Syarahan Utama Masjid Negara, Kuala Lumpur, kelmarin. “Ia sebagai usaha mengumpul sumbangan bagi membantu meringankan penderitaan dialami penduduk di sana,” katanya ketika ditemui pada majlis itu.

Pada majlis dianjurkan bersama Wadah Pencerdasan Ummah (Wadah), Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia (PKPIM) dengan kerjasama Masjid Negara itu, beberapa pertubuhan bukan kerajaan turut menyampaikan sumbangan kepada Tabung Belia Islam Abim. Sehingga kini, tabung dilancarkan 5 September lalu berjaya mengumpul dana sebanyak RM61,000 dan Muhammad Razak berkata, Abim memerlukan RM700,000 bagi menjayakan semua program dirancang.

Sementara itu, Muhammad Razak juga berkata bahawa Abim meletakkan harapan tinggi menjadikan belia Islam di negara ini sebagai penjana usaha dakwah melalui pembangunan bersepadu daripada aspek jasmani, rohani, akal dan emosi supaya berupaya mendepani cabaran hidup hari ini. Katanya, usaha itu akan digerakkan melalui 15 program teras Pembangunan Belia Islam yang dirancang untuk tempoh masa dua tahun akan datang membabitkan belia Islam di seluruh negara.


Beliau berkata, penganjuran program itu merangkumi pendidikan Islam, latihan kepemimpinan dan ketrampilan, sukarelawan, pembangunan dan kebajikan sosial, keusahawanan, ekonomi serta pembangunan wanita dan keluarga.”Sebagai kelompok teras, pembangunan belia Islam amat mendesak dan Abim akan meneruskan usaha menjadi penggerak ke arah itu dengan bersandarkan kepada belia Islam di bawah usia 40 tahun. “Ia juga sebagai langkah meremajakan persatuan belia Islam kerana potensi generasi muda lebih tinggi dan dengan suntikan darah baru ini diharap mampu meningkatkan dinamisme pembabitan belia dalam usaha dakwah,” katanya.

Katanya, Abim akan giat mengumpul dana bagi memastikan aktiviti dirancang dapat dilaksanakan serta mencapai matlamatnya. Antaranya ialah program pendidikan Islam meliputi usaha memantapkan institusi pendidikan Abim di peringkat prasekolah, sekolah rendah, menengah dan pengajian tinggi sementara latihan kepemimpinan memfokuskan kursus jangka panjang serta pendek meningkatkan kemahiran pengurusan kalangan belia.

Keusahawanan dan ekonomi pula bertujuan membimbing semangat keusahawanan melalui penganjuran kursus menarik pembabitan aktif belia dalam meningkatkan kuasa beli belia Islam di negara ini. Menyedari perkembangan merisaukan membabitkan golongan belia Islam dalam gejala sosial seperti dadah serta keruntuhan moral, Muhammad Razak berkata, Abim sentiasa melihat kumpulan itu sebagai keutamaan.

Katanya, bagi belia Islam yang berdepan masalah, Abim menubuhkan pusat perlindungan serta rumah pemulihan belia Islam untuk membantu, membimbing serta memberi ruang mereka menyelesaikan masalah seterusnya memperbaiki diri. “Menerusi Skuad Prihatin Abim, kita akan menolong belia, pelajar serta anak yatim menyelesaikan masalah mereka. Mungkin ada yang terlanjur, kita tempatkan di pusat perlindungan, bagi yang bermasalah kita bawa ke rumah pemulihan,” katanya.

Tidak ketinggalan, Abim terus berperanan secara aktif dalam isu umat melalui penganjuran program memberi kefahaman mengenai Islam bukan saja kepada umat Islam, juga bukan Islam untuk mengelak salah faham terhadap Islam dan ajarannya. Ini termasuk menubuhkan pusat dialog antara agama untuk menggerakkan usaha membetulkan perspektif tepat mengenai Islam yang akan didukung oleh sarjana serta tokoh dalam bidang perbandingan agama.

Malah, Abim akan terus menumpukan kepada usaha meningkatkan perpaduan umat Islam dengan berperanan sebagai orang tengah dalam perdamaian parti politik Melayu Islam melalui silaturahim politik. Muhammad Razak berkata, Abim bersedia menjadi orang tengah jika ada keyakinan daripada kepemimpinan parti untuk mengadakan pertemuan membincangkan kedudukan serta masa depan umat Islam.

“Abim akan terus berusaha memastikan perpaduan umat Islam tetap terjaga melalui aktiviti memperkasa belia, meningkat kefahaman Islam serta menyatupadukan umat Islam dalam politik,” katanya.

Sumber dipetik : http://www.bharian.com.my/