Halaman

Rabu, Oktober 15, 2014

Minda Presiden | Semangat Kebangsaan Malaysia

“Bukan definisi Kebangsaan dan Nasionalisme yang perlu kita perbanyak. Tak pula ada gunanya bergantung kepada satu-satunya yang selain gelap pemgertiannya, tidak pula memenuhi syarat-syarat yang dikehendaki. Wajib atas tiap-tiap orang yang hendak membangun umat dan masyarakat yang dicita-citakan, akan mengambil ikatan mana saja dengan nama apa pun juga, kalau ternyata hanya ikatan itulah yang bisa mempersatukan anggota mesyarakatnya itu.”:-Bapak Muhammad Natsir.




Adakah kita akan terus menyesali persetujuan pemimpin kita yang terdahulu menerima prinsip ‘Jus soli’ bagi menerima saudara baru sewarganegara ketika menggamit kemerdekaan 57 tahun yang lalu? Kesal terhadap tolak ansur yang kini mengancam kelangsungan bangsa Melayu kononnya yang sekaligus mengancam kedudukan agam Islam secara keseluruhan. Sedangkan banyak negara memakai prinsip ‘jus sanguinis’, yang mengkehendaki agar leluhur yang bukan berasal dari tanah yang bakal merdeka itu dihantar pulang ke negara asalnya.
Juga kita terus menyesali pembentukan Malaysia yang merupakan gabungan Persekutuan Tanah Melayu, Sabah dan Sarawak (satu ketika dahulu bersama Singapura), yang mengundang kerencaman suku kaum, budaya dan agama yang tinggi. Ia menyukarkan proses perpaduan kerana kerencaman ini membawa kepada perselisihan dan persengketaan. Adakah itu perasaan yang bersarang di hati kita? Jika boleh kita mahu mengundurkan masa, mengubah semula sejarah yang telah dititipkan oleh para pemimpin terdahulu. Kita mahukan agar Persekutuan Tanah Melayu kekal didominasi bangsa Melayu dengan kedaulatan Islam yang tertinggi.
Namun kita perlu sedar dari lena dan mimpi yang tidak berpenghujung. Negara kita secara hakikatnya telah berubah dengan menerima sejumlah warga baru dari tanah besar Cina dan benua kecil India. Kita juga telah berjanji dan bersepakat dengan teman-teman dari pelbagai susku dan ras dari Sabah dan Sarawak, mahu membangunkan dan membangunkan Malaysia dengan adil dan saksama.
Meneliti hujah yang dinukilkan oleh Bapak M. Natsir dalam membicarakan berkaitan semangat kebangsaan Muslimin dengan latar Indonesia yang mempunyai kerencaman suku kaum yang jauh melebihi Malaysia menyatakan: “Bukan definisi Kebangsaan dan Nasionalisme yang perlu kita perbanyak. Tak pula ada gunanya bergantung kepada satu-satunya yang selain gelap pemgertiannya, tidak pula memenuhi syarat-syarat yang dikehendaki. Wajib atas tiap-tiap orang yang hendak membangun umat dan masyarakat yang dicita-citakan, akan mengambil ikatan mana saja dengan nama apa pun juga, kalau ternyata hanya ikatan itulah yang bisa mempersatukan anggota mesyarakatnya itu.”
Oleh itu dalam menangani tuntutan kebangsaan kita memerlukan satu ikatan atau cita-cita yang boleh dikongsi bersama, yang berupaya mengikat kukuh tali persaudaraan antara warga dan mengupayakannya untuk bergerak jauh membaiki tahap kehidupan. Menyorot kepada pandangan ini, kesungguhan pemerintah amat diperlukan bagi merealisasikan perpaduan atau semangat kebangsaan yang meliputi pelbagai suku dan kaum di Malaysia. Pemerintah harus menempati peranannya sebagi faktor pemersatu dengan mengusulkan adicita warga Malaysia.
Inilah peranan yang dimainkan oleh kerajaan Madinah pimpinan Rasulullah s.a.w. yang menawarkan Piagam Madinah sebagai asas kepada perpaduan. Kesalingan kerjasama antara kelompok untuk melindungi, mempertahankan dan mengekalkan keamanan di Madinah. Pernah satu ketika suku Aus dan Khazraj berkumpul, berbual mesra dan bahagia.
Namun kemesraan dan kebahagiaan itu dilihat dengan penuh kedengkian oleh kelompok munafik. Lalu mereka bersepakat untuk menghantar Syas bin Qais bagi meniupkan api kebencian antara kedua kelompok ini. Lalu Syas bin Qais membangkitkan semangat perkauman sempit apabila mengimbau peperangan antara suku kaum Aus dan Khazraj yang dikenali sebagai Perang Bua’ths. Maka api kemarahan menyala kembali, dimarakkan dengan kata-kata yang mengagungkan suku masing-masing sehingga berubah kepada tindakan permusuhan. Ada yang bangun mencekak leher mahu menghayunkan penumbuk kea rah lawan masing-masing.
Perlakuan ini terus mendapat teguran dari Allah s.w.t , lalu menurunkan ayat 100-103 Surah ali-Imran, yang antaranya mengingatkan mereka nikmat ukhuwah Islamiah yang dikurniakan bersama keimanan yang mereka perolehi. Inilah sikap yang diperlihatkan Rasulullah s.a.w dalam memastikan kesatuan warga Madinah. Baginda tegas mengekang sebarang perlakuan yang boleh menimbulkan perpecahan. Pantang bagi Baginda mengambil kesempatan atas perpecahan demi mengekalkan pengaruh dan kuasa kerajaan yang dipimpin Baginda.
Inilah politik adiluhung, yang jelas mencerap objektif kemaslahatan umum untuk diperjuang dan dipertahan, menentang politik murahan yang memanipulasi perpecahan dan persengkataan kaum sebagai strategi pengekalan kuasa. Baginda berjaya menukarkan pandangan sempit perkauman kelompok jahiliah kepada asas perpaduan yang luhur dan murni yang disandarkan kepada keimanan. Inilah asas bagi kita membina masa depan ‘kebangsaan Malaysia’. Kita perlu menggarap titik kelebihan dan kekuatan apabila pelbagai kelompok dan suku kaum digabungkan.
Rasulullah s.a.w sendiri menerima buah fikiran yang terhasil dari pengalaman Bangsa Parsi membina parit sebagai strategi baru mempertahankan Madinah dari serangan Quraisy Mekah. Kita perlu bangkit menggunakan kelebihan ini secara bijaksana bagi membina kekuatan negara. Inilah kelebihan yang diketahui oleh para penubuh negara Malaysia yang lalu. Mereka sedar bahawa setiap suku kaum mempunyai kekuatannya masing-masing. Mereka mengenepikan semangat perkauman sempit lalu menjengah ke arah keluasan rahmat dan keberkatan persepakatan.

AMIDI BIN ABDUL MANAN 
Presiden Angkatan Belia Islam Malaysia