Halaman

Isnin, September 26, 2011

BAHASA INGGERIS BERCITRA MALAYSIA

Hasrat kerajaan untuk mengukuhkan lagi penguasaan Bahasa Inggeris dalam kalangan pelajar di Malaysia amat dialu-alukan. Telah sampai masanya para pelajar meningkatkan penguasaan subjek tersebut memandangkan kedudukan Bahasa Inggeris sebagai bahasa kedua di negara ini. Cadangan Kementerian Pelajaran untuk mengambil guru-guru pakar Bahasa Inggeris dari luar negara yang merupakan penutur asal bahasa tersebut bagi membantu guru-guru tempatan adalah sesuatu yang menarik untuk dibincangkan.

Langkah atau cadangan ini perlu diperhalusi dan diteliti sebaiknya agar bantuan kepakaran yang diberikan benar-benar membantu pelajar kita menguasai mata pelajaran Bahasa Inggeris. Penentuan teknik yang berkesan dalam pengajaran bergantung kepada beberapa faktor. Antara faktor yang amat mempengaruhi keberkesanan adalah faktor pelajar dan persekitaran. Dalam pendidikan, faktor pelajar meliputi kesediaan belajar, tahap kognitif, emosi dan spiritual. Manakala faktor persekitaran pula meliputi faktor sosial dan budaya.

Inilah yang dikatakan ‘lain padang, lain belalang’. Pelajar di Malaysia sudah semestinya mempunyai jaluran teknik berfikir yang berbeza dari rakan-rakan mereka di England mahu pun di Amerika Syarikat. Apabila cara atau kaedah berfikir sudah berbeza maka teknik pengajaran juga mesti berbeza, cara penerangan juga akan berbeza bagi memastikan kefahaman yang betul dapat dikuasai oleh pelajar.

Selain dari itu, persekitaran pelajar juga akan memberikan impak yang besar. Ia mempengaruhi pembinaan perbendaharaan kata. Pelajar akan mengingati, memahami dan seterusnya menggunakan perkataan yang biasa ditemui dalam kehidupan seharian. Maka guru yang bijak perlu menyelami dan menghayati kehidupan seharian pelajar mereka.

Kedua-dua faktor yang disebutkan ini memerlukan satu pertimbangan yang bijak sana. Kita tidak kurang pakar pendidikan mahu pun Bahasa Inggeris yang berkaliber. Sudah sampai masanya kita membina teknik kita sendiri dalam pengajaran mata pelajaran ini yang sudah tentu akan mempertimbangkan segala keunikan pelajar kita berdasarkan lokaliti dan latar belakang.

Dalam surah al-Ghasyiah, Allah menyuruh memerhatikan penciptaan unta kerana bangsa Arab mengenali unta. Allah tidak menyuruh pemerhatian dilakukan kepada perkara-perkara yang jauh dan asing. Inilah teknik pengajaran yang berkesan yang disentuh dengan begitu indah oleh al-Quran. Jika dahulu ibu bapa agak sangsi untuk menghantar anak ke sekolah aliran Inggeris kerana takut anak mereka dikristiankan. Kini, setelah merdeka, kesangsian itu semakin berkurangan dan para ibu bapa semakin terbuka. Ini adalah kesan dari pelaksanaan sukatan pelajaran yang bersifat kebangsaan.


Dahulu amat sukar untuk menemui bahan-bahan yang berkaitan dengan Islam yang ditulis dalam Bahasa Inggeris. Kini semakin banyak dan mudah malah kadangkala melebihi bahan yang ditulis dalam bahasa Melayu dan dalam pelbagai bentuk pula. Perubahan ini sejajar dengan dengan kemajuan dan perkembangan agama Islam di Eropah, Amerika Syarikat dan lain-lain bahagian dunia.

Maka sudah sampai masanya, Bahasa Inggeris yang diajar mendokong nilai yang serupa dengan penduduk di Malaysia. Nilai yang berteraskan Islam perlu didokong dalam pengajaran Bahasa Inggeris. Kita tidak mahu Bahasa Inggeris yang diajar disekolah kering nilai kemanusiaan dan kontang nilai agama.

Cukuplah sudah orang Melayu yang bercakap slang Inggeris, yang tercabut akar budinya dan reput nilai jati dirinya. Inilah ketikanya Bahasa Inggeris yang diajar adalah Bahasa Inggeris yang mempunyai identiti Malaysia bukan Bahasa Inggeris yang menjarakkan jurang penduduk bandar dan desa, bukan Bahasa Inggeris yang melambangkan status ekonomi mahu pun nasab keturunan.

Bahan bacaan, filem, dokumentari dan sebagainya yang menekankan Bahasa Inggeris bercitra Malaysia perlu diperbanyakkan. Semarakkan aktiviti Bahasa Inggeris sewajarnya bagi menambah khazanah bangsa yang bermanfaat untuk pembinaan generasi masa depan yang hebat.

Kita tidak mahu drama bolesepak berulang dalam bidang pendidikan. Kalau dulu, kita gah dan sibuk mahukan jurulatih import dan pemain import. Siapa tidak kenal Adigun, Alan Davidson dan Ken Worden yang berjaya mengukir nama di persada liga bolasepak Malaysia, tapi mutu bolasepak negara merudum. Dan kini dibawah kendalian anak tempatan, Datuk K. Rajagobal kita mula mengorak langkah menjadi kuasa bolasepak yang kembali dihormati.

Banyak cara yang boleh dibuat dalam memperkukuh penguasaan Bahasa Inggeris dalam kalangan generasi muda di Malaysia. Hantarlah guru kita yang benar-benar berwibawa dan mempunyai fikrah ta’dib menjalani latihan dan menimba ilmu, agar dapat dicanai segala pengalaman dan pendekatan terkini bagi memastikan hasrat negara terlaksana.


Penulis adalah Presiden, Angkatan Belia Islam Malaysia