Halaman

Selasa, Julai 19, 2011

DINAMIKA SIYASAH SHAR'IYYAH DAN KEFAHAMANNYA DI KALANGAN UMAT ISLAM DI MALAYSIA

Oleh: Dr. Mohd Rumaizuddin Ghazali
Pensyarah, Universiti Sains Islam Malaysia (USIM)

Siyasah Shar'iyyah

Siyasah Shar’iyyah merupakan istilah yang digunakan untuk menunjukkan tentang pentadbiran dan urusan kenegaraan. Dengan pengertian umum ia samalah dengan istilah al-Ahkam al-Sultaniyyah yang digunakan oleh ulamak pada kurun keempat seperti yang dipakai oleh al-Mawardi dan al-Farra’. Terdapat istilah lain yang digunakn oleh ulamak bagi menunjukkan tentang urusan politik dan kenegaraan seperti istilah Nizam al-Hukm, Nizam al-Siyasi dan Fiqh al-Daulah.Para ulamak telah membincangkan teori kenegaraan dan politik dengan menggunakn istilah yang berbeza. Walaupun berbeza istilah tetapi ia membawa maksud yang sama iaitu membincangkan tentang pemikiran, pengurusan, struktur politik dan pentadbiran negara Islam.

Prinsip siyasah shar’iyyah merupakan suatu pendekatan yang digunakan oleh para fuqaha dalam memelihara maslahah ummah apabila ia bertcmbung dengan masalah-masalah baru yang ditimbulkan. ‘Siyasah’ dalam bahasa Arab bererti melakukan kebaikan untuk sesuatu dan kemudian dikembangkan menjadi satu peraturan bagi menjaga tata susila, kepentingan umum dan sistem hidup Ia juga membawa erti mentadbir urusan sesuatu golongan berkaitan dengan pemerintahan. Para ulamak membahagikan siyasah kepada dua bahagian iaitu:

i. Siyasah yang adil yang sebahagian dan hukum syarak.

ii. Siyasah yang zalim yang diharamkan oleh syarak.

Mengikut sahibul al-Bahr al-Ra’iq menyebutkan bahawa siyasah shar’iyyah itu ialah sebarang langkah yang dilakukan oleh pemerintah untuk kepentingan rakyat yang dirasakannya baik walaupun tidak berdasarkan kepada sesuatu nas secara tertentu. Para fuqaha mahu istilah ini digunakan hanya dalam bentuk pemerintah bagi kepentingan umum rakyat selagi tidak bertentangan dengan prinsip agama manakala ulamak bukan fuqaha (ulamak bahasa) menggunakan istilah ini lebih umum yang meliputi kepada kepentingan rakyat bcrtetapan dengan syarak.

Abdul Wahab Khallaf menyebut ilmu siyasah shar’iyyah itu ialah ilmu yang membahaskan tentang sistem undang-undang dan pentadbiran pemerintahan negara Islam yang bertetapan dengan dasar Islam walaupun tidak ada dalil yang khusus mengenainya. Ilmu ini menghuraikan langkah-langkah yang perlu diambil untuk penyelarasan pentadbiran undang-undang yang diambil oleh ketua negara bagi memenuhi keadilan dan kepentingan umum. Beliau mengatakan siyasah shar’iyyah sebenarnya ialah menggunakan masalih al-Mursalah dalam menentukan hukum kerana masalih al-mursalah ialah sesuatu yang tidak diterima atau ditolak oleh mana-mana dalil dengan secara khusus sebagaimana yang dihuraikan oleh para ulamak usul fiqh.

Dari pengertian di atas dapat dirumuskan bahawa siyasah shar’iyyah sebenarnya ialah mengamalkan masalih al-mursalah iaitu mengambil sesuatu langkah berasaskan maslahah tanpa terikat dengan tatacara yang biasa diamalkan oleh para fuqaha dan mujtahidin dalam mengeluarkan hukum. Satu-satunya syarat yang perlu dipatuhi dalam mengambil pendekatan maslahah ialah ia tidak bertentangan dengan nas dan ijmak.

Abdul Wahab Khallaf memberi definisi siyasah shar’iyyah sebagai mengatur pentadbiran awam dalam pemerintahan bagi memenuhi kemaslahatan (kebaikan) dan menolak kemudaratan selagi mana tidak melampaui batasan shariat dan prinsip umum. Walaupun tidak selaras dengan pandangan para imam mujtahidin. Dengan lain ungkapan ialah mengikut jejak langkah ulamak salaf dalam menjaga kemaslahatan dan perkembagan semua peristiwa. Yang dimaksudkan mengatur urusan umum dalam pemerintahan ialah sesuatu yang berupa tuntutan kehidupan dari segi peraturan, sama ada dari segi undang-undang kewangan, hukum, kehakiman, lembaga eksekutif, hubungan dalam negeri atau hubungan antarabangsa. Oleh itu, mengatur semua urusan tersebut, teori dan dasar-dasarnya serta membuat peraturan-peraturan yang sesuai dengan prinsip shariat dinamakan siyasah shar’iyyah.(Untuk artikel penuh sila klik disini).