Halaman

Selasa, Julai 19, 2011

BERSIH: ATASI KEMELUT DENGAN DIALOG




Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) menggesa supaya semua pihak kembali ke meja rundingan bagi meneliti dan menilai secara objektif tuntutan-tuntutan yang dikemukakan oleh Gabungan Pilihanraya Adil dan Bersih (BERSIH). Berdasarkan kepada beberapa perkembangan yang hangat berkaitan isu tuntutan ini, ABIM beranggapan tuntutan-tuntutan yang dikemukakan wajar diperhalusi dan dipertimbangkan secara bersungguh-sungguh oleh pihak Suruhanjaya Pilihanraya (SPR) dan kerajaan.

Bagi tujuan tersebut, ABIM ingin menyeru pihak Suruhanjaya Pilihanraya (SPR) dan BERSIH meneruskan usaha rundingan bagi menyahut titah Duli Yang Maha Mulia Yang di Pertuan Agong yang meminta supaya isu ini diselesaikan menerusi dialog. Sekiranya terdapat sebahagian dari tuntutan-tuntutan tersebut di luar dari bidang kuasa SPR, kedua-dua pihak harus bersetuju tentang langkah-langkah yang seharusnya dilakukan untuk tempoh terdekat dan jangka panjang bagi merungkai isu-isu berbangkit berkaitan tuntutan tersebut.

Di dalam suasana masyarakat Malaysia yang terbuka hari ini dan kesedaran terhadap nilai-nilai demokrasi yang semakin tinggi, sebarang pengesyoran dan permintaan yang boleh membawa kepada pengukuhan amalan dan sistem demokrasi seharusnya diraikan secara positif dan konstruktif. Tambahan pula dalam konteks ini ialah berkaitan amalan pilihanraya yang merupakan nadi kepada sistem demokrasi itu sendiri.

Sebagaimana sedia diketahui, amalan pilihanraya yang dihormati oleh semua pihak akan membawa kepada kewibawaan keputusan yang diperolehi. Ini secara langsung akan menyumbang kepada kesatuan penerimaan terhadap mandat kepimpinan yang dibentuk dan diputuskan oleh rakyat terbanyak. Kepimpinan yang diperoleh menerusi mandat rakyat secara berwibawa akan mewujudkan sebuah kerajaan yang kuat dan diyakini oleh segenap pihak di dalam dan di luar negara.



“Demi Kebenaran dan Keadilan”



DR. MUHAMAD RAZAK IDRIS

Presiden ABIM