Halaman

Jumaat, Mei 06, 2011

HARGAI KEISTIMEWAAN ILMU: SIDDIQ FADZIL

Oleh: Dato' Dr. Siddiq Fadzil, Presiden Wadah Pencerdasan Umat Malaysia (WADAH)

Ilmu adalah kurnia istimewa yang dapat (dengan izin Allah) mengangkat martabat penerimanya mencapai puncak ketinggian ‘illiyin. Ilmuwan yang komited dan beriman, yang menerima pencerahan ayat-ayat Allah lalu dihayainya sebagai worldview (pandangan alam), cara hidup, cara berfikir, cara bersikap dan cara berperilaku adalah manusia unggul yang berjaya mendaki mercu kesempurnaan keinsanan. Demikianlah martabat ilmuwan tawhidik yang dideretkan selepas Allah dan para malaikat dalam ayat kesaksian Tauhid (Hari Alastu) (Ali-Imran : 18).

Pencerahan ayat-ayat Allah adalah kurnia agung yang tidak ternilai, begitu juga martabat ketinggian bawaan ilmu sedemikian, tetapi rupa-rupanya ada manusia “ilmuwan” yang bertindak tolol, membuang nikmat dan kurnia pencerahan dan ketinggian rohaniah kerana tergiur dengan gemerlapan palsu materi duniawi. Gejala malang dan tragik inilah yang terpapar dalam ayat-ayat surah al-A’raf (175-177). Gejala tersebut bukan sekadar mimpi buruk, tetapi naba’ Qur’aniy, berita benar yang diungkapkan kembali oleh al-Quran sebagai iktibar sepanjang zaman, betapa buruk dan jijiknya pengkhianatan amanah keilmuwan, the betrayal of the intellectuals.

Pengkhianatan keilmuwan bererti keruntuhan iman, dan kemenangan nafsu. Keadaan seperti itulah yang sangat diinginkan oleh syaitan. Dapat dibayangkan betapa gegak-gempitanya sorakan syaitan mempestakan (kenduri) kejatuhan seorang ilmuwan. Masyarakat syaitan menyambut meriah penyertaan ahli baru kelab ilmuwan pengkhianat (dengan slogan “welcome to the club”). Warga syaitan, menjulangnya dan memuji-muji keputusan “bijak”nya (keputusan aneh) melemparkan iman dan kebenaran ilmu untuk memilih kemewahan duniawi. Ilmuwan yang telah meninggalkan petunjuk iman dan ayay-ayat Allah menjadi sasaran syaitan untuk disesatkan lebih jauh dan diperkuda untuk menyesatkan orang lain dalam belantara kepalsuan (pembohongan).

Allah Yang Maha Rahman selalu merahmati para ilmuwan beriman dengan mengangkat darjat kerohaniannya setinggi yang tercapai oleh tahap ilmu dan imannya. Tetapi kali ini Allah tidak berkenan mengangkat martabat seorang ilmuwan kerana ia lebih tertarik dengan bumi (dan segala isinya) yang serba rendah lagi murah. Ilmuwan materialistik dan opportunist seperti itu tidak lagi tertarik dengan martabat mulia alam tingg, sebaliknya lebih bernafsu terhadap kerendahan materi bumi – tanah, lumpur, bangkai, sampah dan pelbagai lagi kotoran yang busuk dan menjijikkan. Sikap ilmuwan yang resign daripada prinsip kebenaran ilmu diungkapkan dengan kata fa’nsalakha minha (..kemudian dia melepaskan diri dari ayat-ayat itu…).

Kata tersebut menggambarkan kejadian aneh, seseorang sedang bersusah payah melepaskan dirinya daripada pakaian (Al-Quran dan ilmu) yang telah sebati membalut tubuhnya sekian lama, pakaian yang selama ini berfungsi menutup auratnya, menghangatkan tubuhnya, melindunginya dan menghiasinya. Keadaannya seperti ular yang melepaskan dirinya daripa kulitnya lalu meninggalkannya. Memang tindakan melepaskan diri daripada iman (terhadap Allah dan ayat-ayatNya) pada hakikatnya suatu yang sukar dilakukan kerana sesungguhnya iman adalah bahagian daripada fitrah insani. Demikian pulalah sukarnya melepaskan diri daripada ilmu yang telah dipelajari dan telah menjadi bahagian daripada kehidupan hariannya sejak puluhan tahun.

Yang sangat menakjubkan dan mencengangkan adalah tamsil analogi Qur’ani tentang ilmuwan pengkhianat tersebut. Membaca ayat 176 seolah-olah kita sedang menyaksikan tayangan video (National Geographic) : seorang ilmuwan tiba-tiba berubah rupa menjadi seekor anjing yang sentiasa terjelir lidahnya. Hodoh dan menjijikkan!!! Demikianlah kesan semerta setiap orang yang menyaksikannya. Anjing terjelir lidah tanpa henti, diapakan pun ia tetap menjelirkan lidahnya kerana memang itu sifat sejatinya anjing.

Paparan pemandangan anjing menjelir lidah dan menjulurkan lidahnya terus-terusan menampakkan bayangan kepenatan dan kesusahan yang berpanjangan. Biasanya anjing tidak hanya sentiasa menjulurkan lidah, tetapi juga mengeluarkan air liur, menitis-nitis sepanjang jalan, seolah-olah sedang sangat mengiinginkan sesuatu,sedang mengidamkan makanan lazat yang tidak kesampaian, terliur kerana tergiur dengan sesuatu menyelerakan. Demikianlah citra ilmuwan curang di mata orang beriman yang bernurani Qur’ani.

Mencegah anjing daripada menjulurkan lidah memang tidak mudah, kerana memang begitulah yang namanya anjing. Ayat 176 yang menyebut “…jika kamu manghalaunya dijulurkan lidahnya dan jika kamu membiarkannya ia menjulurkan lidahnya juga..“. Diertikan oleh sebahagian ahli tafsir sebagai kedegilan ilmuwan tunggangan syaitan itu. Dinasihati atau dibiarkan sama sahaja, tidak ada kesannya. Yang dituruti hanyasatu; hawa nafsu. Yang didengar juga hanya satu; saranan syaitan.

Bagaimanapun ini tidak menggugurkan tanggungjawab pendakwahan. Kerana itu al-Quran masih berpesan “Maka ceritakanlah kisah-kisah itu agar mereka berfikir”. Siapa tahu pada satu saat mereka kembali waras dan rasional (sedar dan menyesal), lalu terkesan dengan kisah al-Quran dan analoginya yang sedemikian tajam. Mungkin akan berlaku sesuatu dalam hidup mereka yang menyedarkan mereka bahawa selama ini mereka telah menzalimi diri sendiri.

Demikianlah sebuah tamsil perbandingan yang amat hodoh dan menjijikkan. Tetapi memang itulah hakikat setepatnya. Ia bukan analogi yang mengada-ngadam kerana al-Quran adalah kitab suci yang serba hakim, selamanya bijaksana, padat dengan wisdom kewahyuan yang meletakkan segala sesuatu tepat pada tempatnya. Tentu ada sebabnya mengapa al-Quran mengangkat tamsil perbandingan sehodoh dan sejijik itu. Yang jelas seperti yang disebut oleh Imam al-Raziy bahawa ayat-ayat tersebut termasuk yang paling keras ditujukan kepada kaum ilmuwan. Justeru tidak ada barakah bagi ilmu tanpa amal. Seperti yang diriwayatkan oleh al-Daylamiy; al-Rasul SAW bersabda :

من ازدا علما ولم يذدد زهدا لم يزدد من الله إلا بعدا

“Sesiapa yang bertambah ilmunya, tetapi tidak bertambah zuhudnya,

tidak akan mendapat tambahan apa-apa dari Allah selain bertambah jauh”

(Dipetik dari Nota Kuliah Tafsir Maudhuiy Siri Ke-56)