Halaman

Jumaat, Mei 06, 2011

ABIM ANJUR SEMINAR KERJAYA DI MESIR

Kaherah, 23 April 2011 – Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) Cawangan Republik Arab Mesir dan Persatuan Kebajikan Pelajar Akademi Al-Qur’an (Siswa AQ) telah menganjurkan Seminar Motivasi Kerjaya pada 22 April 2011 di Dewan Mustasyfa Garahah, Universiti Zagazig dan pada 23 April 2011 di Dewan Malaysia Abbassiah, Kaherah. Seminar ini dihadiri oleh lebih daripada 250 orang pelajar di Zagazig dan 220 orang di Kaherah.

Dalam Ucapan Perasmian oleh TYT Dato’ Dr Mohd Fakhrudin Abdul Mukti, Duta Besar Malaysia ke Mesir, beliau mengingatkan akan pentingnya para pelajar meraih kecemerlangan di dalam pengajian dan sakhsiah mereka. Beliau seterusnya menekankan bahawa keterlibatan mereka dalam persatuan pelajar tidak menjurus kepada merosakkan perpaduan pelajar secara keseluruhannya.

Hj Shirajuddin Sirat, Pendaftar Akademi Al-Qur’an –Medic Malaysia (AQM) pula dalam ucapan aluannya mengingatkan para pelajar bahawa permulaan bagi menempah sesuatu kejayaan tersebut adalah dengan mengambil sikap yang betul dan positif untuk berjaya yang ada kaitannya dengan aqidah, peraturan hidup dan akhlak.

Pengisian seminar pada kali ini telah diisi dan dibimbing oleh Dr Muhamad Jantan selaku pakar motivasi dan kaunselor serta Dr Shahrizal Azwan Samsudin yang banyak terlibat dalam kerja-kerja amal di bawah Biro Kesihatan ABIM Pusat. Dr Muhamad dalam dua slot pengisiannya menumpukan kepada aspek penjanaan kembali kecerdasan emosi dan spiritual. Beliau banyak menjalankan latihan praktikal sepanjang program tersebut. Dr Shahrizal Azwan pula banyak berkongsi ilmu dan pengalaman beliau selaku da’ei yang berkerjaya dalam pelbagai kerja amal sejak zaman pengajian beliau di Fakulti Perubatan UIAM, seterusnya bersama ABIM.