Halaman

Selasa, November 30, 2010

Mengurus Adabul Al-Ikhtilaf


1.0 Pengenalan

Fenomena al-sahwah al-Islamiyyah atau gelombang kebangkitan Islam di era semasa hari ini dapat dikenalpasti menerusi banyak tanda. Antara tanda tersebut ialah kemunculan pergerakan dan pertubuhan Islam yang pelbagai di seluruh dunia Islam. Kemunculan ini didorong oleh kesedaran masyarakat Islam akan keperluan dan kepentingan kepada satu dayausaha yang tersusun secara berkumpulan bagi menyumbang kepada pembangunan ummah dan menangani cabaran rencam dunia moden yang berkembang.

Di negara kita Malaysia, tanda-tanda fenomena al-shahwah al-Islamiyyah juga dapat dikesan menerusi pertumbuhan beberapa pergerakan dan pertubuhan Islam. Dalam konteks perbincangan akademik semasa, pertubuhan yang sering menjadi bahan rujukan dan perbahasan ialah Parti Islam Semalaysia (PAS), Jemaah Islah Malaysia (JIM) dan Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM).

Ketiga-tiga pertubuhan ini sering menjadi bahan perbincangan kerana sifat pergerakkannya yang dilihat bercorak organisasi moden dan penglibatan mereka secara langsung di dalam membentuk pandangan umum tentang pelbagai persoalan di dalam masyarakat dan negara. Pertubuhan-pertubuhan ini juga dilihat mempunyai pengaruhnya yang tersendiri dari segi pemikiran dan kepengikutan. Di samping tiga pertubuhan ini, terdapat beberapa lagi pertubuhan yang menjalankan dayausaha penting pembangunan ummah di negara kita seperti institusi madrasah rakyat dan pergerakan dakwah tidak formal yang bercorak kerohanian dan kebajikan.

Di dalam perbincangan tentang fenomena kebangkitan Islam, kita juga tidak harus melupakan peranan individu-indivu dari kalangan ulama’ dan agamawan, institusi agama di bawah naugan kerajaan dan tenaga professional dan pemimpin-pemimpin komuniti yang turut menyumbang dengan amat bermakna di dalam menggerakkan kesedaran Islam dan pembangunan ummah. Kesemua pertubuhan dan pergerakan Islam ini samada di peringkat organisasi, institusi atau individu, sekiranya ditanggap menerusi kacamata atau diskusi sosial semasa hari ini tergolong di dalam kategori perkumpulan masyarakat madani atau al-mujtama’ al-madani atau juga dirujuk di dalam istilah bahasa Inggeris sebagai ‘civil society’.

Kedudukan perkumpulan masyarakat madani di dalam kehidupan moden hari ini amat penting dan berpengaruh sekali terutama peranannya di dalam mempengaruhi pandangan masyarakat awam dan menentukan dasar dan hala tuju pemerintahan sesebuah negara.

2.0 Adab al-Ikhtilaf dan Gerakan Islam

Istilah adab al-iktilaf boleh dimaksudkan sebagai aturan akhlak di dalam mendepani perselisihan pendapat. Di dalam konteks perbincangan kita hari ini, ia boleh dirujuk juga sebagai satu bentuk piagam etika yang bercorak madani atau civility dari kalangan gerakan Islam bagi menangani perbezaan dan perselisihan sesama mereka. Menerusi aturan akhlak atau piagam etika ini, gerakan-gerakan Islam akan dapat memastikan kesatuan persefahaman dari sudut menjayakan cita-cita dan agenda pembangunan ummah secara mesra dan bijak tanpa digangu oleh perselisihan dan perbezaan yang boleh dihindarkan.

Menerusi penghayatan adab al-iktilaf, setiap pergerakan dan pertubuhan Islam atau seluruh perkumpulan masyarakat madani ini dapat berkembang secara organik dan kreatif di dalam situasi, keunikan dan keupayaan sendiri namun tidak terasing dari kerangka al-shahwah al-Islamiyyah. Penghayatan adab al-ikhtilaf di kalangan perkumpulan masyarakat madani ini amat penting di dalam struktur kehidupan moden hari memandangkan realitinya yang bersifat rencam dan cabarannya yang bersifat global.

Dalam kata lain, cita-cita bagi menjayakan al-sahwah al-Islamiyyah di dalam realiti moden hari ini tidak lagi mampu ditangani oleh satu-satu perkumpulan atau pergerakan dakwah. Cabaran baru kehidupan moden hari menuntut seluruh pergerakan Islam saling berhubungan dan bekerjasama menerusi konsep dan semangat “perkongsian bijak” (smart partnership) sesama mereka.

Pergerakan Islam harus saling berkongsi idea, sumber dan kemahiran secara bijak bagi menjayakan cita-cita besar bersama dan ia hanya boleh direalisasikan menerusi pengamalan dan penghayatan piagam etika atau adab al-ikhtilaf. Berikut ialah beberapa asas pendekatan atau piagam etika yang harus dihayati oleh petugas gerakan Islam yang dikutip dari pandangan Dr Sulaiman Ibrahim di dalam tulisannya “Beberapa Aspek Perselisihan Harakah Islamiah di Malaysia: Suatu Tinjauan Awal”, (dalam, Dakwah Gerakan Islam Alaf Baru, eds. Ahmad Redzuan Mohd Yunus, Badlihisham Mohd Nasir, Berhanundin Abdullah, Jabatan Pengajian Dakwah, UKM, 2000, 23-113):

a. Mendahulukan manhaj ilmiah Islamiah. b. Menerima kebenaran walaupun pahit. c. Meletakkan Allah SWT dan kehidupan akhirat sebagai matlamat terakhir bukan manusia, pengaruh, pangkat, politik dan lain-lain. d. Mendahulukan maslahat dakwah Islamiyyah dan umat Islam. e. Memupuk semangat pemikiran positif. f. Sentiasa bersama hujjah dan dalil. g. Mengangap perselisihan sebagai Rahmat. h. Menganggap perselisihan hanya sebagai masalah ijtihad sahaja. i. Menjauhkan diri daripada bertindak menjadi hakim dan mufti. j. Mengangap golongan yang berselisih pendapat dengan kita sebagai mad’u. k. Menghormati pandangan orang lain terutamanya para ulamak. l. Membataskan ruang lingkup dan sempadan perselisihan dalam soal dakwah Islamiyaah sahaja tanpa membabitkan soal aqidah dan hukum hakam fiqh. m. Memupuk ukhwah di kalangan semua pendakwah. n. Berbaik-baik sangka. o. Mencintai saudara pendakwah dan membawa slogan kasih saying terhadap sesama para pendakwah.

3.0 Penglibatan ABIM Dalam Adab Al-Iktilaf

Sejak ditubuhkan pada tahun 1971, ABIM telah menyumbang sedaya upaya menggerakkan al-sahwah al-Islamiyyah terutama di Malaysia di dalam pelbagai bidang dan arena dakwah. Bagi menjayakan tugas dan beban amanah yang berat ini, ABIM berpandangan ia harus dijayakan secara bersepakat sesama pergerakan Islam yang lain. Dalam kata lain, agenda perjuangan Islam dan pemerkasaan usaha dakwah harus dijayakan secara berhikmah bersandarkan pendekatan, keupayaan dan keutamaan tersendiri yang ditentukan oleh setiap pergerakan Islam.

Untuk itu, setiap pergerakan Islam tidak harus terjebak di dalam polemik, perselisihan dan perseteruan sesama sendiri tetapi haruslah saling bekerjasama dan menghormati antara satu dengan yang lain.

Pandangan dan sikap ini dapat ditelusuri dari beberapa kenyataan dan ucapan oleh pimpinan-pimpinan utama ABIM, antaranya:

Gerakan Islam perlu bersatu di atas wahdatul aqidah dan wahdatul fikr: “Sepertimana yang dijelaskan, gerakan Islam hanya akan lebih berkesan sekiranya mereka diikatkan kembali sebagai satu barisan pencinta Islam – satu barisan yang dimeteri berdasarkan wahdatul aqidah (kesatuan kepercayaan). Ini kerana sesungguhnya dalam percaturan politik dan pertembungan ideologi masa kini, kita dihadapkan dengan satu bentuk serangan baru. Dalam persiapan menghadapi apa juga bentuk pertempuran sekalipun, al-Quran al-Karim telah menyarankan agar kita membuat satu persiapan hingga tersusun satu barisan kukuh”.

“Wahdatul – fikr di kalangan pencinta Islam tidak bermaksud untuk menafikan kepelbagaian cara yang saling melengkapi dan membina. Namun ianya harus mengawasi dari nada-nada sumbang bagi menyelaraskan tenaga dalam memperjuangkan Islam. Kita mesti menimbulkan satu kebulatan fikiran, pola yang dapat meleburkan perasaan egoism, sifat ananiyah atau kebanggaan melulu terhadap wadah, kerana usaha bersama kita hanya sekadar menyinarkan kewujudan makhluk yang majazi dalam kesedaran kewujudan Allah yang yang haqiqi dan mutlak. Wadah hanyalah alat untuk menghayati Islam”. (Saudara Anwar Ibrahim, Presiden ABIM ke 2. Petikan Ucapan Dasar “Wahdatul Fikr – Penyatuan Pemikiran Dalam Gerakan Islam”).

Seluruh pergerakan Islam saling keterkaitan dan harus saling belajar mempelajari:

“Kebangkitan Islam di Malaysia tidaklah harus dilihat sebagai satu kebangkitan yang terpisah dari rangkaian gerakan Islam seluruhnya. Pengaruh dan pemikiran zaman lalu dan mutakhir telah mementukan saham besar terhadap perkembangan ini sehingga mampu dibentuk satu gerakan yang kukuh. Dasar gerakan seperti Ikhwanul Muslimin dan Jamaat Islami, kita jadikan pengalaman bersama. Pandangan tokoh-tokoh besar seperti Imam Hassan al-Banna, Maulana Abu ‘Ala al-Maududi, Uthman dan Fodio dan lain-lain kita pelajari. Pengalaman gerakan Masyumi di Indonesia; Milli Selamat di Turki dan Revolusi Islam di Iran kita jadikan bahan kajian dan perbandingan. Kajian tidak harus pula dibatasi dengan pergerakan dan tokoh semasa, akan tetapi perlu ditimbulkan sikap menghormati ulama silam dan cuba menghayati pengajaran mereka untuk mengenali tokoh-tokoh seperti Hujjatul Islam Imam al-Ghazali, Ibn Khaldun, Ibn Sina, Shah Waliyullah Dahlawi, Muhammad Iqbal dan lain-lain. Ini adalah selaras dengan sikap kita bahawa gerakan yang dinamik dan Berjaya adalah gerakan yang sifatnya terbuka dan bersedia mengkaji perkembangan sekitarnya. Akan tetapi kita harus sentiasa berasa dituntut untuk mengorak langkah dengan penuh hikmah terutama dalam menentukan kaedah dan haluan pergerakan”. (Saudara Anwar Ibrahim, Presiden ABIM ke 2. Ucapan Dasar ke 10, “Membina Generasi – Satu Gagasan”, 1981.)

Gerakan Islam hendaklah saling bekerjasama untuk kepentingan maslahah dan kebaikan: “ Keyakinan kita yang bula t kepada wadah gerakan Islam sebagai wasilah yang paling berkesan ke arah pencapaian cita-cita Islam tidak pula menjejaskann kesediaan kita untuk bekerjasama dengan pihak-pihak lain dalam hal-hal yang membawa maslahah dan kebaikan kepada dan umat atas dasar at-ta’wun ‘ala ‘l-birr – kerjasama dalam hal-hal kebajikan …” (Dr Siddiq Fadzil, Presiden ABIM ke 3, Ucapan Dasar, “Garis-garis Besar Haluan Perjuangan”, 1982).

Gerakan Islam perlu menangani perpecahan ummah secara jujur dan bertanggungjawab merealisasikan misi ukhwah dan perpaduan ummah: “Ukhwah dan perpaduan ummah sebagai satu ajaran yang pokok dalam Islam harus menjadi prioriti dalam program Islamisasi. Memang ini bukan suatu proses yang mudah, apa lagi dalam suasana kewujudan berbagai wadah. Tetapi kepelbagaian ini seharusnya mewujudkan suasana fastabiqu ‘l-khayrat – perlumbaan secara sihat mengejar kebajikan, bukan mempertajamkan sikap ‘al- ‘adawata wa ‘l-baghda’ – perseteruan dan kebencian”. (Dr Siddiq Fadzil, Presiden ABIM ke 3, Ucapan Dasar, “Menyahut Cabaran Abad Kebangunan”, 1983).

Gerakan Islam harus saling bekerjasama menangani pelbagai isu umat semasa:

“Gerakan Islam pada hari ini turut terpanggil untuk bekerjasama dengan semua pihak bagi memurnikan semula aqidah sebahagian umat Islam. …..Kita tidak seharusnya membiarkan masyarakat awam di negara ini menjadi keliru dan ragu dengan pegangan agama yang tidak mengikut manhaj Ahlu’s Sunnah wal-Jama’ah”. (Dr Muhammad Nur Manuty, Presiden ABIM ke 4, Ucapan Dasar, “Ketahanan Umat: Penjanaan Generasi Abad 21”, 1994).

Tanggungjawab mengangkat martabat umat adalah tugas semua masyarakat Muslimin:

“Tugas untuk mengangkat martabat umat dan membina tamadun khayra Ummah bukanlah suatu tugas kecil tetapi sesungguhnya ia suatu tugas ‘momumental’ yang perlu dipikul oleh sesiapa sahaja yang mengaku Muslim, apatahlagi seorang mujahid dakwah”. (Hj Ahmad Azam Abdul Rahman, Presiden ABIM ke 5, Ucapan Dasar, “Memugar Idealisme Perjuangan, 1997).

“Kita berpandangan bahawa tiada satu gerakan Islam pun boleh mendabik dada bahawa ia merupaka satu-satu gerakan Islam yang syumul yang mampu menangani semua cabaran dakwah di dunia ini, lantas menafikan sumbangan gerakan dakwah yang lain. Apa yang sepatutnya berlaku ialah setiap gerakan Islam yang mempunyai kekuatan masing-masing lengkap melengkapi satu sama lain dan menjadikan kerjasama ini sebagai satu kerjasama yang mendesak”. (Hj Ahmad Azam Abdul Rahman, Presiden ABIM ke 5, Ucapan Dasar, “Pemerkasaan Masyarakat Islami” Awlawiyyat Gerakan Islam”, 1999).

Bagi mempertegaskan kepentingan adab al-ikhtilaf dihayati dengan sempurna oleh warga pendakwah gerakan Islam, ABIM telah menerbitkan buku khusus berkaitan persoalan ini berjudul, “Adab Perbezaan Pendapat Dalam Islam” oleh Dr Taha Jabir al-Alwani, 1989.

Di dalam kata pengantar buku ini untuk cetakan kedua pada tahun 1993, Hj Ahmad Azam Abdul Rahman menulis: “Umat Islam khususnya di Malaysia yang telah menunjukkan minat yang semakin mendalam terhadap perjuangan Islam sudah tentunya tidak mampu bertelagah sesama sendiri dan berterusan berpolemik serta bersaing secara tidak sihat untuk mencari pengaruh atau menegakkan prinsip harakah masing-masing.

Lantaran itu, generasi muda pewaris perjuangan ini amat perlu didedahkan kepada prinsip-prinsip serta adab berbeza pendapat dalam Islam agar kelemahan generasi lalu tidak diulang lagi demi kejayaan perjuangan mentawhidkan Allah di muka bumi ini.” Beberapa teks yang dikutip dari ucapan dan tulisan pimpinan utama ABIM memberikan gambaran tentang sikap dan pendirian pertubuhan ini terhadap kepentingan para penggerak dakwah atau petugas gerakan Islam menghayati adab al-iktilaf.

Berdasarkan pandangan-pandangan tersebut, ia jelas menunjukkan iaitu ABIM bersikap positif terhadap kepelbagaian gerakan Islam yang tumbuh hasil dari fenomena al-shahwah al-Islamiyyah di seluruh dunia sejak awal penubuhannya. Kepelbagaian gerakan Islam ditanggap oleh ABIM sebagai satu bentuk kekuatan yang perlu diraikan. Kepelbagaian yang wujud tidak boleh ditanggap sebagai satu bentuk kelemahan. Namun, kepelbagaian ini hanya mampu berubah sebagai sebuah kekuatan bilamana wujud persefahaman, kerjasama, sikap saling hormat menghormati, bantu membantu dan yang paling penting juga ialah saling pelajar mempelajari bagi mencapai satu tujuan iaitu mengangkat martabat umat dan membina Khayra Ummah.

4.0 Penglibatan ABIM dalam Pengurusan Adab al-Iktilaf Masa Kini.

Di dalam pengalaman semasa, penglibatan ABIM di dalam pengurusan adab al-iktilaf boleh dilihat di dalam beberapa peristiwa. Satu pengalaman yang paling dekat ialah penglibatan ABIM bersama-sama dengan pertubuhan dan pergerakan Islam dan perkumpulan masyarakat madani di negara ini di dalam menangani dan mengurus gelombang kebangkitan rakyat di era Reformasi pada 1998 dan selepasnya.

Sebagaimana diketahui umum, di dalam sejarah perpolitikan negara, kisah pemecatan dan penangkapan Timbalan Perdana Menteri Malaysia, Dato’ Seri Anwar Ibrahim pada September 1998 merupakan antara peristiwa yang menjadi titik tolak yang penting di dalam perkembangan masyarakat di negara ini. Di awal peristiwa ini, telah berlaku satu bentuk protes besar-besaran oleh rakyat kerana tidak berpuashati terhadap keputusan kepimpinan kerajaan pada waktu itu dan layanan mereka terhadap bekas Timbalan Perdana Menteri.

Sebagai sebuah gerakan dakwah, ABIM mengambil sikap bertanggungjawab menangani dan menguruskan gelombang kebangkitan rakyat dengan terlibat di dalam dua inisiatif iaitu: Pertama, ABIM bersama-sama dengan beberapa pertubuhan Islam seperti JIM, Asasi (Akademi Sains Islam) dan PKPIM (Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia) telah menubuhkan Gerakan Reformasi Rakyat.

Kedua, ABIM bersama-sama dengan beberapa pertubuhan Islam yang lain telah mendokong inisiatif yang dijayakan oleh PAS di bawah pimpinan Almarhum Dato’ Hj Fadhil Noor, menubuhkan GERAK bagi menangani dan menguruskan permasalahan baru masyarakat ini. Di dalam konteks perbincangan kita berhubung dengan pengurusan adab al-iktilaf, penglibatan dan penyatuan gerakan Islam di dalam memperjuangkan satu isu yang disepakati mempunyai kepentingan bersama adalah satu bentuk pengalaman baru di dalam gerak kerja dakwah dalam erti kata yang luas.

Penglibatan gerakan Islam yang pelbagai di dalam memperjuangan dan membela isu keadilan kepada seorang individu yang dilihat telah teraniaya dan dizalimi oleh sistem pemerintahan secara sepakat merupakan satu bentuk pengalaman baru yang penting dalam konteks pengurusan adab al-ikhtilaf masa kini. Barangkali penglibatan kedua ABIM di dalam pengurusan adab al-iktilaf ialah di dalam menangani ancaman usaha pengliberalan masyarakat Malaysia di mana prosesnya telah melibatkan persoalan kerukunan prinsip dan amalan keagamaan masyarakat Melayu-Islam.

Antara peristiwa penting berkaitan dengan hal ini ialah kisah Lina Joy iaitu satu kes berkaitan dengan isu pertukaran agama beberapa tahun lalu. Kes memberi cabaran kepada masyarakat Islam di negara ini kerana ia berhubungkait dengan kedudukan dan wibawa perundangan syariah di dalam negara serta dilihat sebagai sebahagian dari usaha memudahkan dan menggalakkan proses pemurtadan.

Bagi mendepani cabaran ini dan menangani rasa keterancaman masyarakat terhadap langkah-langkah yang dilihat asas menuju proses pengliberalan tanpa had, ABIM di bawah kepimpinan Dr Yusri Mohammad bersama-sama dengan beberapa pergerakan Islam dan perkumpulan masyarakat madani yang prihatin telah menubuhkan Pertubuhan Pembela Islam (Pembela).

Pertubuhan ini telah menjadi kumpulan benteng memperjuangkan isu-isu perundangan Islam dan usaha meningkatkan kewibawaannya di dalam sistem perundangan di negara ini. Penglibatan ABIM di dalam pengurusan adab al-ikhtilaf dapat dilihat di dalam komitmennya terhadap penubuhan dan aktiviti perikatan pertubuhan Islam yang dikenali sebagai ACCIN (Allied Coordinating Council of Islamic NGOs).

Di dalam rekod yang dimiliki, antara pertubuhan yang menggangotai ACCIN selain ABIM ialah: a. Jemaah Islah Malaysia (JIM). b. Persatuan Cina Muslim Malaysia (MACMA) c. Persatuan Ulama Malaysia (PUM) d. Persatuan Darul Fitrah Malaysia e. Pertubuhan Muafakat Sejahtera Masyarakat Malaysia (MUAFAKAT) f. Research and Information Centre on Islam (RICOI) g. Persatuan al-Hunafa’ h. Persekutuan Seruan Islam Selangor dan Wilayah Persekutuan (JAM’IYYAH).

ABIM adalah antara anggota awal dan aktif di dalam ACCIN sehingga ke hari ini. Ia adalah badan pemuafakatan rasmi yang telah diiktiraf oleh pihak kerajaan sebagai mewakili suara NGO Islam di negara ini. Baru-baru ini, ACCIN bersama-sama dengan JAKIM, IKIM, INFAD telah dilantik sebagai anggota tetap di dalam satu jawatankuasa dialog antara agama dibawah naugan Kabinet Malaysia dipengerusikan oleh Dato’ Hajjah Ilahi Ishak, iaitu: Jawatankuasa Bagi Mempromosi Persefahaman dan Keharmonian di antara Penganut Agama.

Sebagai ahli aktif ACCIN, ABIM juga telah dilantikan sebagai ahli ke mesyuarat Jawatankuasa ini.

5.0 Penutup Begitulah antara beberapa pengalaman penglibatan ABIM di dalam pengurusan adab al-ikhtilaf masa kini. Di dalam penelusuran saya sepanjang pengalaman ini dan sebagai, saya mendapati:

1. Adab al-Iktilaf sebagai satu bentuk persefahaman gerak kerja sesame gerakan Islam bukan suatu yang ideal untuk dicapai malah satu yang bersifat praktikal.

2. Adab al-Ikhtilaf di dalam kalangan gerakan Islam dapat dijayakan sekiranya konsep kesatuan di dalam kepelbagaian dapat benar-benar dihayati dalam bentuk gerak kerja bersama yang bersifat amal-Islami.

3. Adab al-Iktilaf dapat dijelmakan sekiranya gerakan Islam dapat mencapai tahap pemahaman dan perkongsian yang jelas terhadap cita-cita, agenda dan kepentingan atau maslahah yang ingin sama-sama dijayakan atau diperjuangkan.

4. Adab al-Iktilaf boleh direalisasikan menerusi penubuhan instrumen atau wahana khusus bagi menjayakan satu persefahaman bersama yang disepakati.

5. Adab al-Iktilaf akan dapat dijayakan apabila nilai-nilai madani dihayati di dalam pengurusan sebuah organisasi semasa hari ini. Nilai-nilai ini berasaskan semangat penghormatan dari segi status setiap pergerakan dan bersedia menerima kepimpinan yang disepakati secara musyawarah sesama anggota pergerakan Islam.


(Kertas kerja dibentang di Wacana Pengurusan Adab al-Ikhtilaf anjuran UKM-KUIS pada 8 November 2010 di KUIS).

Oleh Muhamad Razak Idris