Halaman

Selasa, November 30, 2010

Hanya banjir kilat: MKN


KOTA BHARU - Beberapa kawasan yang terputus hubungan jalan raya di negeri ini berlaku akibat limpahan air bertakung dan bukannya banjir di musim tengkujuh.

Setiausaha Majlis Keselamatan Negara (MKN) Kelantan, Rosle Mamat, tidak menafikan terdapat beberapa tempat ditakung air menyebabkan jalan raya terputus, namun kejadian berkenaan berlaku akibat air yang tersekat apabila sistem perparitan yang tidak sempurna di kawasan itu.

“Kebiasaannya di negeri ini, hujan lebat pada musim tengkujuh bermula Oktober hingga Mac yang boleh menyebabkan banjir, tetapi pada masa sekarang banjir belum berlaku.

“Bagaimanapun, bagi mereka yang tinggal di kawasan sepanjang sungai di negeri ini, mereka boleh mengambil inisiatif mengangkat barang-barang dan dokumen penting ke tempat lebih tinggi dan memastikan kenderaan mempunyai parkir yang sesuai apabila berlaku banjir,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian, semalam.

Rosle berkata, mereka yang biasa terlibat dengan banjir atau tinggal di tempat aras rendah yang berpotensi mengalami banjir perlu sentiasa bersedia menghadapi banjir yang boleh berlaku bila-bila masa musim ini.

Menurutnya, orang ramai juga tidak perlu keliru dengan banjir kilat dan banjir musim tengkujuh memandangkan banjir dikenal pasti apabila aras Tangga Krai memberi amaran bahaya dan sungainya melimpah ke kawasan lain.

“Selain itu, orang ramai juga dinasihatkan supaya menjaga keselamatan diri dan anak-anak semasa musim banjir dengan menyediakan peralatan keselamatan yang sesuai di tempat masing-masing bagi mengelak sebarang masalah kelak,” katanya.

Menurutnya, bagi mengelak sebarang masalah seperti banjir kilat atau air bertakung di jalan raya setiap kawasan, sistem perparitan juga perlu diselenggarakan pada musim banjir ini.

http://www.sinarharian.com.my/sh/kelantan/content/story8470204.asp