Halaman

Jumaat, Oktober 15, 2010

Adam Lambert: ABIM Kesal Konsert Diteruskan



Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) memandang berat penganjuran konsert Adam Lambert Glam Nation Tour. ABIM menilai penganjuran ini seakan tidak menghiraukan sensitiviti yang disuarakan oleh umat Islam di negara ini. Ini dilatari dengan kebimbangan terhadap latar belakang penyanyi tersebut yang mengamalkan budaya hidup yang bertentangan dengan norma susila Islam serta ketimuran.

Kenyataan ini dikukuhkan dengan pengakuan terbuka penyanyi tersebut yang mengamalkan hubungan sejenis di samping mengagumi amalan-amalan tahyul seperti voodoo serta beberapa amalan lain yang berkaitan, sepertimana yang disiarkan di kalangan media-media barat.

Dikhuatiri, konsert ini akan menggalakkan amalan hidup songsang di kalangan generasi muda yang memilih artis ini sebagai idola mereka. Dalam hal ini, ABIM menggesa pihak yang berkenaan seharusnya peka serta menyelidik terlebih dahulu latar belakang seseorang artis dari luar negara yang ingin melakukan persembahan di negara ini, untuk mengelakkan sebarang implikasi terhadap sahsiah dan peribadi terutama sekali membabitkan kalangan generasi muda.


Amidi Dato'Abdul Manan
Timbalan Presiden