Halaman

Ahad, September 26, 2010

Global Peace Mission Bantu Mangsa Pakistan



Pada pagi hari Jumaat 10 September misi telah membuat kunjungan hormat Consulate General of Malaysia di No.7-A, Khayaban-e- Shamsheer, Phase V, DHA, Karachi, Pakistan. Tujuan utama kunjungan ini adalah untuk memberitahu secara langsung gerak kerja yang akan dilakukan kepada pihak wakil kerajaan Malaysia agar mereka maklum akan keberadaan GPM di Pakistan. Alhamdulillah, kami disambut mesra oleh Haji Yaacob Hj Razali (Immigration Attache) dan Vice Consul, Encik Lukman Sayuti. Sesi pagi itu berlangsung lebih kurang satu jam dan hasilnya pihak mereka telah dimaklumkan akan kehadiran GPM.

Sebelah petang misi meneruskan tinjauan sekitar Karachi; dan pada sebelah malam, sesi mengemaskini barangan bantuan ubatan dilakukan di salah sebuah klinik milik rakan Dr. Saeed. Ubat-ubatan ini akan di edarkan esok.

Sabtu 11 September

Hari ini hari raya di Pakistan. Kelihatan rakyat-rakyatnya berwarna-warni di sekitar kawasan rumah mereka. Hari ini misi akan menghulurkan bantuan secara terus kepada mangsa banjir agar hari raya mereka tidaklah dalam keadaan sedih. Seusai menunaikan solat sunat hari raya, misi bergerak meninggalkan Karachi menuju ke Hydarabad. Perjalanan yang mengambil masa hampir 3 jam ini menyulusuri lebuhraya yang panjang. Kelihatan juga khemah-khemah mangsa banjir di tepi-tepi jalan yang menghias suasana. Pengemis-pengemis juga tersadai di jalan-jalan utama mengharapkan belas kasihan. Jarak 150km dari Karachi ke Hydrabad bukanlah suatu yang mudah. Misi terpaksa menempuh hujan yang sangat lebat dengan keadaan jalan yang tidak menentu.

Alhamdulillah, Hydrabad menyambut kami dengan cuaca yang agak mendung. Kami bergegas ke rumah salah seorang rakan Dr.Saeed yang merupakan penduduk tempatan untuk mengenalpasti secara jelas kawasan yang akan kami pergi. Bantuan telah dapat diedarkan dengan selamat walaupun ada ketika mangsa-mangsa banjir menjadi agesif dan berebut-rebut.

12 September 2010
Pagi ini misi ke Mangopir, sebuah kawasan yang terletak di pinggir Karachi. Perjalanan kami pada tengah hari itu agak mencabar dengan keadaan jalan yang agak teruk. Destinasi yang dituju ialah salah sebuah kolej yang sedang dihuni oleh mangsa-mangsa banjir yang dibawa oleh kerajaan.

Kebanyakan daripada mereka ialah penduduk dari kawasan Sidhu. Tujuan utama ialah untuk melihat dan mengenal pasti sasaran yang boleh diberikan bantuan sekaligus membangunkan mereka. Kami disambut oleh beberapa staff kolej tersebut untuk melihat sendiri keadaan mangsa-mangsa banjir di situ. Sangat menyentuh hati apabila melihat anak-anak kecil yang tidur berlantaikan simen sejuk dan dihurung lalat.

Terdapat juga dikalangan mereka yang memasak sendiri di sudut-sudut kawasan tempat tidur mereka. Keadaan yang agak kotor dan padat itu menyebabkan ramai dikalangan mereka mengadu sakit dan sebagainya. Memandangkan kawasan tersebut sudah di bawah pengawasan kerajaan kami memutuskan untuk ke tempat lain pula. Kami menuju ke ke pejabat Rangers dan mendapatkan maklumat di sana. Alhamdulillah,perbincangan bersama seorang Inspektor Rangers membuahkan hasil yang agak menarik.

Pihak Rangers telah mencadangkan beberapa tempat untuk kami tujui. Mereka juga menawarkan untuk mengiringi kami ke kawasan berkenaan. Mereka juga bersedia untuk memberi bantuan kenderaan. Malam ini kami berjaya mendapatkan 2 trak untuk membawa barangan bantuan pada esok hari. InsyaAllah, malam ini kami dapat memindahkan kesemua barangan di dalam rumah ke dalam trak. Destinasi pada esok hari mungkin di utara Hydrabad dan kawasan-kawasan terpencil area tersebut. Semoga misi mengedarkan bantuan kesokan hari bearjalan lancar.

Isnin 13 September

Hari ini misi meneruskan perjalanan dengan dua buah trak yang sarat dengan muatan ke utara Hydrabad. Namun trak menghadapi masalah, tidak dapat berjalan laju kerana muatan yang sarat serta jalan yang teruk. Salah sebuah trak telah beberapa kali pancit tayarnya. Anggota misi yang mengekori dalam sebuah kenderaan lain juga terpaksa bergerak perlahan. Misi memutuskan untuk tidak mengekori 2 buah trak, sebaliknya terus ke Hydrabad.

Setiba di Hydrabad kami bertemu dengan Rangers di sana. Rangers bersetuju untuk membantu kami mengedarkan bantuan dan mendapatkan sebuah lori yang lebih besar untuk pergi mengambil muatan dari 2 buah trak yang masih dalam perjalanan supaya pengedaran dapat dibuat esok.


Selasa 14 September
Hari ini dengan bantuan Rangers kami telah dapat mengedarkan bantuan. Dengan kehadiran Rangers sesi pengedaran bantuan kepada mangsa-mangsa berjalan dengan lebih teratur.

Disediakan oleh: Mohd Shazni Abdullah, Project Coordinator for Pakistan merangkap Exco Sekretariat Perhubungan Antarabangsa (SPEKTRA) Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia (PKPIM)

http://www.abim.org.my/component/content/article/28-artikel-pilihan/736-global-peace-mission-bantu-mangsa-pakistan.html