Halaman

Rabu, Ogos 18, 2010

Usah tuduh tanpa bukti kukuh


SKEPTIKALNYA pandangan masyarakat terhadap kemampuan mahasiswa jurusan Pengajian Islam hingga sering menjadi alat perbandingan yang berat sebelah dengan graduan jurusan lain.

Selain dianggap jurusan tidak glamour, cara berpakaian dan pemikiran turut dipersoalkan menyebabkan mereka kurang laku di pasaran.

Apatah lagi gagal memenuhi kehendak industri yang lebih menyukai calon agresif, berfikiran terbuka dan mampu melaksanakan tugasan tanpa halangan.

Persoalannya, benarkah tanggapan itu atau hanya pandangan remeh-temeh masyarakat?

Ketua Program Dakwah dan Pengurusan Islam Universiti Sains Islam Malaysia (Usim), Prof Dr Zulkiple Abd Ghani berkata, masyarakat usah mempertikaikan kemampuan mahasiswa terbabit secara serkap jarang kerana pastinya tidak adil.

Beliau berkata, penentuan sama ada cemerlang atau sebaliknya bukan kerana jurusan diambil tetapi bergantung kepada kemampuan individu.