Halaman

Khamis, April 29, 2010

RISEAP Sebagai Platform Dakwah Generasi Muda Serantau

Gelombang dakwah Islamiah ialah suatu fenomena sejagat. Oleh itu, realitinya bukan saja dapat dikesan di dalam perkembangan sosiobudaya tempatan seperti di Malaysia, malah juga pada peringkat serantau meliputi Asia Tenggara dan Pasifik. Banyak faktor yang mendorong perkembangan dakwah pada peringkat serantau ini. Antaranya ialah peningkatan keyakinan masyarakat serantau itu sendiri terhadap agama Islam sebagai sistem kepercayaan dan kehidupan yang lengkap dan menyeluruh.

Hal ini berkaitan juga dengan kelemahan dan kegagalan doktrin sekularisme dalam memberikan jawapan yang hakiki mengenai erti kebahagiaan kepada manusia. Dalam hubungan ini, agama Islam dilihat lebih sempurna dan meyakinkan sebagai satu cara hidup pilihan. Faktor lain yang mempengaruhi perkembangan dakwah yang pesat pada peringkat serantau ini ialah proses penghijrahan. Beberapa krisis kemanusiaan yang terjadi di sebahagian tempat di dunia seperti peperangan, tekanan ekonomi dan politik, mendorong proses penghijrahan yang ramai dan berterusan masyarakat dunia termasuk orang Islam ke negara Asia Tenggara dan Pasifik.

Keadaan ini dapat dilihat secara jelas di negara seperti Australia dan New Zealand. Di negara ini, pertumbuhan penduduk di kalangan masyarakat Islam meningkat dengan amat pesat dan ini disumbangkan oleh penghijrahan orang Islam dari negara seperti Lebanon, Turki, Somalia, Iraq, Afghanistan, Pakistan dan India.

Inilah antara dua faktor terpenting yang menyumbang kepada perkembangan dakwah serantau. Dorongan dalaman anggota masyarakat setempat untuk kembali kepada satu cara hidup berteraskan agama dan dokongan luaran kesan proses penghijrahan masyarakat Islam, merangsang gelombang kebangkitan dakwah di Asia Tenggara dan Pasifik sebagai suatu fenomena.

Fenomena dakwah serantau ini mendorong suatu idea ke arah penggemblengan potensinya secara lebih bermakna dan sistematik oleh pendakwah. Usaha penggemblengan ini amat mustahak sekali bagi tujuan menjana kekuatan secara bersama seluruh potensi dakwah yang berkembang dengan cara agak tersendiri malah terpencil oleh sesetengah kelompok masyarakat Islam di negara yang mereka diami.

Potensi dakwah ini sekiranya ditinjau dari sudut mikro atau setempat, akan dilihat di dalam keadaan yang lemah kerana kebanyakan umat Islam adalah golongan minoriti di sebahagian besar negara Asia Tenggara dan Asia Pasifik.

Namun, sekiranya potensi dakwah ini dipandang secara makro atau menyeluruh, masyarakat Islam adalah kelompok teramai dan berpengaruh sekali dalam menentukan hala tuju perkembangan serantau pada masa depan.

Barangkali inilah antara idea awal yang berkembang sekitar 1970-an dan 1980-an yang membawa kepada inisiatif penubuhan sebuah organisasi atau institusi dakwah serantau, dikenali sebagai Majlis Dakwah Islamiah Serantau Asia Tenggara dan Pasifik (Riseap) pada 11 November 1980.

Ia hasil satu persidangan dakwah dianjurkan oleh Pertubuhan Kebajikan Islam Malaysia (Perkim) dan Rabitah Al-Alam Al-Islami (Muslim World League) pada Januari 1980 di Kuala Lumpur. Pada sidang itu yang turut diwakili wakil Pertubuhan Persidangan Islam (OIC) dan Bank Pembangunan Islam (IDB), kata sepakat dicapai mengenai keperluan untuk usaha penggemblengan secara lebih bermakna potensi dakwah terutama di negara-negara Asia Tenggara dan Pasifik.

Penggemblengan ini meliputi usaha peningkatan usaha penyebaran Islam serta tuntutan untuk menjaga kebajikan masyarakat Islam minoriti di negara-negara terbabit.

Sebagai rakyat Malaysia, kita harus berbangga kerana negara kita antara tonggak utama yang menggerakkan usaha penubuhan Riseap. Generasi muda Malaysia harus menyedari iaitu Tunku Abdul Rahman Putra al-Haj, Perdana Menteri pertama Malaysia adalah antara tokoh utama di belakang penubuhan Riseap.

Sumbangan Almarhum mempunyai rentetan yang panjang, bermula sejak 1960 di mana beliau selaku Perdana Menteri, menubuhkan Perkim. Kepemimpinannya di dalam bidang dakwah semakin terserlah setelah dilantik sebagai Setiausaha pertama OIC pada 1971/1973.

Setelah beliau bersara sebagai Perdana Menteri, Tunku Abdul Rahman memberi tumpuan sepenuh masa sebagai Presiden Perkim antara 1974 sehingga 1989. Dalam tempoh kepemimpinannya, idea dan inisiatif penubuhan Riseap digerak dan dijayakan.

Selaku tonggak penubuhan Riseap, Tunku Abdul Rahman dilantik sebagai Presiden pertamanya dan berkhidmat menyumbang bakti dalam bidang dakwah serantau sehingga 1988. Selepas itu, peranan penting beliau di sambung oleh Tan Sri Abdul Taib Mahmud, Ketua Menteri Sarawak sehingga sekarang.

Peranan Riseap di dalam usaha penggemblengan dakwah serantau amat bermakna. Pada masa kini, Riseap dianggotai 44 ahli dan 10 ahli bersekutu terdiri daripada pertubuhan dakwah yang aktif di 23 negara Asia Tenggara dan Pasifik. Sehingga hari ini, Riseap boleh dianggap sebagai satu badan atau organ ulung yang mewakili masyarakat Islam di peringkat rantau ini.

Memandangkan keluasan daerah pembabitan dan peranan Riseap, operasi pentadbirannya dipecahkan kepada tiga zon utama iaitu zon utara, tengah dan selatan. Di setiap zon ini, ia dipimpin oleh seorang Naib Presiden. Antara negara di dalam zon utara ialah Hong Kong, Jepun, Korea, Macau dan Taiwan.

Zon tengah agak lebih luas, meliputi Brunei, Kemboja, Indonesia, Malaysia, Maldives, Myanmar, Filipina, Singapura, Sri Lanka dan Thailand, manakala di zon selatan meliputi Australia, Fiji, New Caledonia, New Zealand, Papua New Guinea, Tongga, Vanuatu dan Samoa Barat.

Riseap mengadakan mesyuarat agungnya setiap dua tahun sekali. Pada 26 November hingga 1 Disember lalu, Riseap mengadakan mesyuarat agung ke-14 di Auckland, New Zealand. Pada mesyuarat ini, ia menerima banyak laporan perkembangan dakwah dan kebajikan masyarakat Islam di segenap peringkat negara masing-masing.

Sesungguhnya, masih banyak usaha yang perlu dijayakan bagi membangun dan menggembleng potensi dakwah serantau ini terutama di dalam membantu masyarakat Islam minoriti seperti di Myanmar, Filipina dan Thailand.

Kepemimpinan Malaysia terutama dalam pembangunan dakwah serantau amat mustahak sekali. Ini kerana pengalaman Islam di negara kita amat berbeza. Masyarakat Islam adalah kumpulan majoriti di Malaysia. Pada masa sama, negara kita berada di dalam keadaan yang stabil dari sudut ekonomi dan politik.

Malah kegiatan dan perkembangan dakwah mendapat dokongan dan kerjasama yang erat daripada pemerintah. Keadaan ini berbeza sekiranya dibandingkan dengan beberapa negara di mana masyarakat Islam, golongan minoriti.

Cabaran dakwah serantau pada masa akan datang menuntut pembabitan aktif golongan muda atau belia. Ini penting bagi memastikan kesinambungan usaha dakwah dapat dijayakan secara berterusan. Dalam hubungan ini, Riseap adalah antara wadah terbaik untuk golongan belia bergerak aktif menyumbang di dalam perkembangan dakwah serantau.

Bagi tujuan itu, Riseap perlu juga lebih agresif membangunkan program yang boleh mendekatkan golongan muda kepada pergerakannya. Usaha pembangunan dakwah di rantau Asia Tenggara dan Pasifik memerlukan strategi dan pendekatan yang unik. Langkah yang menonjolkan ciri keamanan dan kesederhanaan adalah asas kepada kemajuan dakwah masa depan.

Untuk itu, pendekatan dakwah memerlukan proses beransur-ansur namun pada masa sama, strategik dan berkualiti. Abim ialah salah satu daripada ahli Riseap mewakili pertubuhan dakwah di peringkat zon tengah. Sebagai badan mewakili kelompok belia, Abim berasa bertuah kerana dapat menyumbang secara langsung di dalam memperkukuhkan peranan Riseap di dalam pembangunan dakwah serantau.

Sumber dipetik : www.bharian.com.my

http://www.abim.org.my/