Halaman

Selasa, Mac 30, 2010

Pendidikan Seks Di Malaysia: Ke Mana Hala Tujunya?



Di Malaysia, pendidikan seks di sekolah bukanlah suatu isu baru. Ia telah mula diperkatakan dan/malah didebatkan seawal dekad 80'an lagi. Mutakhir ini isu pendidikan seks di sekolah mula diperkatakan kembali. Ia menarik perhatian umum apabila Menteri Pelajaran Malaysia dalam kenyataannya mengumumkan mulai tahun 2006 Malaysia akan memperkenalkan pendidikan seks di sekolah-sekolah. Kenyataan ini dibuat pada Disember 2005 (New Straits Times, 21 Dis 2005).

Sebelum itu, iaitu pada April 2001 Menteri Perpaduan Negara dan Pembangunan Masyarakat pada ketika itu mengeluarkan kenyataan bahawa kanak-kanak perlu didedahkan dengan pendidikan seks seawal usia tujuh tahun (Utusan Malaysia, 21 April 2001). Kenyataan ini dibuat ekoran meningkatnya masalah sosial dan jenayah yang berkaitan seksualiti berlaku dalam masyarakat. Statistik mutakhir memperlihatkan peningkatan yang membimbangkan dan media saban hari melaporkan insiden-insiden yang kadang kala tidak pernah terbayangkan oleh akal waras.

Atas kebimbangan pelbagai pihak melihat peningkatan kes-kes seksualiti inilah maka pihak berwajib semacam didesak atau terdesak mengemukakan cadangan dan pelan tindakan yang dijangkakan boleh mengimbangi (kalau pun mungkin tidak berupaya menangani sepenuhnya) masalah ini. Dari sinilah timbulnya saranan memperkenalkan pendidikan seks di sekolah. Namun begitu melihatkan rumitnya permasalahan ini, isu pendidikan seks yang dicadangkan untuk diperkenalkan di sekolah-sekolah kelihatan masih kabur.

Sebagai orang awam, cadangan memperkenalkan pendidikan sedemikian masih menimbulkan pelbagai tanda tanya. Apa asas yang digunakan bagi menyokon cadangan ini? Apa yang hendak diajarkan? Aspek mana yang hendak diberi penekanan? Bagaimana ia hendak di sampaikan? Siapa yang hendak menyampaikan? Apakah asas sistem nilai yang melandasi kurikulumnya? Apa objektif pengajarannya? Apakah aras taxonomi atau domain kognitif yang hendak capai dalam pengajarannya?

Meskipun statistik mutakhir menunjukkan peningkatan dalam kes-kes melibatkan seksualiti, pada hemat penulis, pencarian atau cadangan penyelesaian kepada masalah ini tidaklah boleh dilakukan secara tergesa-gesa. Reaksi secara “knee-jerk” tidak banyak membantu. Isu ini rumit dan ia melibatkan pebagai faktor dalaman dan luaran. Pemahaman yang menyeluruh amat perlu bagi membolehkan suatu perspektif yang holistik dikemukakan. Ianya perlu diselidiki puncanya dengan mengambil kira segala faktor dan kemungkinan.

Isu ini perlu digarap dan diperhalusi dengan penuh cermat dan bijaksana sebelum apa-apa tindakan diambil untuk menanganinya. Ia melibatkan semua pihak khususnya pelajar itu sendiri, ibu bapa, tenaga pengajar, pihak berkuasa dan seterusnya masyarakat. Kita tidak boleh lupa tujuan utama pendidikan seks digubal dan diperkenal bagi menjadi sebahagian dari kurikulum pendidikan adalah ekoran dari gejala sosial yang semakin berleluasa dan seolah-olah tidak dapat dibendung. Oleh itu, dalam merangka serta menterjemahkan pendidikan seks ini, pemahaman yang mendalam, telus serta berlandaskan sistem nilai yang mutlak adalah perlu.

Sebagai paparan, penulis ingin berkongsi beberapa penemuan yang mungkin boleh memberi gambaran tentang betapa seriusnya masalah ini. Laporan kaji selidik global Durex 2005, memaparkan bahawa tandas pusat hiburan dan bilik tidur ibu bapa merupakan tempat pilihan belia Malaysia untuk mengadakan hubungan seksual bersama pasangan masing-masing.

Beberapa dapatan lain dari laporan berkenaan seperti umur minimum rakyat Malaysia mengadakan hubungan seks untuk kali pertama merupakan umur terendah berbanding negara-negara Asia lain seperti Indonesia, Vietnam dan India juga merupakan satu fenomena yang wajar mendapat perhatian yang serius.

Sementara itu, hasil penyelidikan pada tahun 2006 yang dijalankan oleh Pensyarah Universiti Teknologi Mara, Mazlin Mohamad Mokhtar menunjukkan 50 peratus daripada 727 orang pelajar institusi pengajian tinggi yang dijadikan sampel kajian pernah terlibat dalam kegiatan seks. Daripada pelajar yang pernah terlibat dalam aktiviti seks itu, 80 peratus daripada mereka tidak menggunakan sebarang kaedah perancang keluarga. Sampel pelajar terdiri daripada pelajar-pelajar dari dua Institusi Pengajian Tinggi Swasta (IPTS) dan dua Institusi Pengajian Tinggi Awam (IPTA).

Dalam laporan itu juga, 34 peratus daripada mereka berpendapat yang penggunaan kondom tidak boleh mencegah jangkitan HIV, manakala 25 peratus pula berpendapat yang HIV boleh dijangkiti dari gigitan nyamuk dan kutu. Antara sebab mengapa remaja kita terlibat di dalam keadaan seumpama ini adalah kerana mereka amat kurang pengetahuan mengenai seks, jangkitan penyakit daripada seks luar nikah dan kaedah perancang.

Realiti ini sangat mengejutkan kerana dari konteks masalah sosial dan seks di kalangan belia, seolah-olah tiada bezanya antara sebuah negara sekular seperti Britain dan sebuah negara umat Islam seperti Malaysia. Kedua-duanya menunjukkan statistik yang membimbangkan. Dapatan yang menunjukkan bilik tidur ibu-bapa merupakan antara tempat yang digemari melakukan aktiviti terlarang ini juga menarik perhatian. Kenapa bilik tidur ibu bapa? Ini memperlihatkan kelakuan dan minat yang aneh! Mereka bukan sahaja tidak mempunyai ilmu yang jelas tentang apa yang mereka lakukan, tetapi yang lebih mengejutkan mereka juga tidak lagi mempunyai rasa hormat ataupun takut terhadap ibu-bapa mereka.

Perlakuan ini boleh dilihat dari beberapa sudut. Pertamanya ibu-bapa tidak lagi berperanan seperti yang sewajarnya dilakukan. Kebanyakan tanggungjawab sosial anak-anak tidak diambil endah dan anak-anak diberi kebebasan tanpa batasan dalam menentukan aktiviti sosial mereka. Jika adapun sekadar bertanya secara luaran tanpa menyelidik dengan lebih teliti akan jawapan yang diberikan oleh anak-anak mereka. Keduanya, pendidikan moral dan agama yang diajar di sekolah-sekolah tidak memberikan impak seperti yang diharap-harapkan.

Senario ini mungkin terjadi kerana pelajar-pelajar serta tenaga pengajar tidak memandang serius akan subjek yang boleh dianggap sebagai subjek sampingan ini. Sekiranya ini berterusan maka cerdik pandai yang bakal dilahirkan oleh negara Malaysia bukanlah mereka yang mempunyai kualiti tinggi tetapi mereka yang mudah terjebak dengan skandal-skandal yang mampu mencemarkan nama baik negara dewasa ini. Ketiganya pendedahan aktiviti lucah melampau dikaca TV dan media semakin tidak terkawal turut menyumbang kepada kecenderungan untuk remaja ini berkelakuan serupa.

Seperti yang dilaporkan oleh Kaiser family foundation, 3,800 siaran yang berunsurkan seksual terdapat di lebih dari 1,100 rancangan TV dan ini merupakan peningkatan sebanyak 1,900 siaran berbanding 1998. Laporan ini menunjukkan bahawa secara purata sebanyak lima siaran seks dalam masa sejam ditayangkan.

Kajian ini juga melaporkan bahawa kanak-kanak yang mendapat pendedahan kepada siaran-siaran yang sebegini akan terlibat secara aktif dengan aktiviti-aktiviti seksual dalam usia yang muda lagi. Walaupun angka ini merupakan kajian yang dilakukan di Barat tetapi pada jangkaan penulis tiada bezanya dengan apa yang berlaku di negara kita Malaysia.

Ini kerana siaran satelit yang boleh diperoleh dengan mudah dan murah menyebabkan rancangan yang sama boleh ditonton di mana-mana sahaja. Bagi kita di Malaysia, ledakan globalisasi khususnya dalam konteks penyebaran maklumat ini harus ditangani secara teratur dan terancang. Pendedahan yang melampau melalui internet, bahan bacaan serta vcd-vcd lucah yang mudah didapati menjadikan masyarakat lebih terdedah kepada pengaruh negatif. Ini menjadi cabaran besar dalam memperkenalkan pendidikan seks di sekolah.

Pendekatannya memerlukan kebijaksanaan dan kandungannya perlu diperhalusi. Masyarakat keseluruhannya perlu terlibat secara kolektif dan proaktif sebelum fenomena yang boleh menjejaskan masa depan bangsa menjadi sesuatu yang tidak terkawal. Kajian-kajian mengenai salah laku seks menunjukkan bahawa pendidikan seks di sekolah-sekolah boleh membantu meningkatkan ilmu pengetahuan mengenai perkembangan seks tetapi tidak merubah tingkah laku seks mereka. Dapatan ini jelas menunjukkan bahawa kawalan mutu serta maklumat mengenai pendidikan seks yang hendak disampaikan di sekolah-sekolah perlu dilakukan dengan berhemah bagi menjamin kesan yang positif. Maklumat yang tidak jelas, bercelaru serta tidak mempunyai paksi yang kukuh hanya akan mengeruhkan persekitaran pembelajaran.

Dalam rumusan laporan Durex, 52 peratus responden mencadangkan agar kerajaan memperkenalkan pendidikan seks seawal usia 12 tahun Pada hemat penulis, yang harus dipersoalkan bukanlah usia kerana jika usia yang menjadi asasnya, kerajaan Britain telah lebih dahulu mula mengajar pendidikan seks di sekolah-sekolah rendah dan seawal 7-8 tahun. Apakah mereka dapat menangani masalah ini? Kesannya masih mengecewakan. Dalam hal ini penulis melihat yang lebih mustahak ialah kandungan dan pendekatannya. Kita harus jelas apa yang perlu diajar, apa kaedah yang sesuai, dan tidak kurang penting, siapa yang ditugaskan mengajarnya.

Dalam konteks pendidikan seks, kita harus jelas akan matlamat pendidikan seks itu sendiri? Jika matlamatnya hanya sekadar memberikan panduan “safe sex” dan mengelakkan penyebaran penyakit berjangkit seperti HIV, sifilis dan penyakit-penyakit yang berkaitan dengan seks rambang, maka kita akan melahirkan generasi yang tahu mengelak dari dijangkiti penyakit.

Bagaimana pula dari segi moralitinya? Sudah tentu acuan kita tidak sama dengan acuan sekular Barat kerana sistem nilai kita yang berbeza. Pendidikan seks dalam konteks masyarakat kita, khususnya umat Islam wajib bertunjangkan sistem nilai, moraliti dan akhlak Islam. Ini meliputi kandungan, kaedah pengajaran dan matalamat pendidikan itu. Yang pasti teknik pengajaran serta intipati pembelajaran untuk memberi panduan “safe sex” adalah berbeza dengan matlamat untuk melahirkan insan yang soleh dan seimbang.

Dalam Islam segala hal berkaitan dengan seks terangkum dalam perbahasan yang lebih luas mengenai aturan peraturan dan hukum hakam serta perkara-perkara yang berkaitan dengan hubungan lelaki dan wanita yang kesemuanya terangkum dalam perbincangan “munakahat”. Di sesetengah tempat pendidikan mengenai munakahat ini telah pun ada diajarkan kepada pelajar peringkat rendah.

Sebagai contoh kerajaan negeri Johor telah pun memperkenalkan ilmu munakahat kepada murid-murid darjah empat sekolah agama Johor. Antara syllabus yang terdapat dalam mata pelajaran ini selain mengenai hubungan seksual suami isteri ialah mengenai kebersihan (toharah) dan juga kesihatan. Maklumat kesihatan dan kebersihan ini sebenarnya amat berkait rapat dengan masalah sosial yang berkaitan dengan seks rambang seperti jangkitan HIV dan AIDS.

Oleh yang demikian, bagi tujuan pendidikan seks, adalah lebih baik dan munasabah sekiranya pendidikan munakahat itu di perkemaskan dengan memasukkan elemen-elemen baru yang berkait dengan masalah yang berlaku hari ini. Kajian yang lebih mendalam serta menyeluruh mengenai pelbagai aspek tentang munakahat untuk disesuaikan dalam pendidikan seks di sekolah-sekolah mungkin dapat membantu pihak yang berkenaan dalam merangka strategi dan hala tuju yang lebih jelas dalam membentuk pendidikan seks yang benar-benar bermutu.

Selain itu pendidikan seks yang diperkenalkan mestilah berteraskan konsep moraliti dan akhlak serta sistem nilai kerana tanpa landasan ini tidak mungkin masalah yang lebih besar itu dapat ditangani. Selain itu, usaha merangka pendidikan seks yang benar-benar berkualiti perlu disokong oleh beberapa faktor antaranya ialah iklim persekolahan yang positif serta pendidik yang benar-benar berteraskan konsep 'mendidik'. Iklim persekolahan yang negatif harus dipantau supaya murid-murid dapat menerima pembelajaran mengenai pendidikan seks dengan perspektif yang betul dan positif.

Amalan berpasang-pasangan yang semakin berleluasa di sekolah-sekolah menengah dan telah pun menular ke sekolah-sekolah rendah merupakan persekitaran yang merangsang kepada suasana yang mengganggu ke arah pembentukan disiplin pelajar. Suasana ini hanya akan memberi ruang dan peluang kepada pelajar-pelajar untuk melihat pendidikan seks sebagai ilmu untuk memenuhi tuntutan nafsu semata-mata. Perlu diingatkan bahawa memenuhi tuntutan nafsu seperti nafsu makan dan nafsu seks merupakan fitrah manusia, walau bagaimanapun fitrah tersebut haruslah dipandu dan dikawal supaya ianya tidak menjurus ke arah kemusnahan manusia itu sendiri.

Pendidik yang benar-benar 'mendidik' juga merupakan faktor yang mendorong kepada keharmonian konsep pendidikan seks itu sendiri. Ini kerana mereka yang benar-benar ingin mendidik akan berusaha dengan sedaya-upaya agar apa yang disampaikan selari dengan apa yang diamalkan. Keikhlasan pendidik akan dapat diterjemahkan dalam pembelajaran dan dihayati oleh pelajar keseluruhannya. Tidak dinafikan kemungkinan terdapat sebilangan kecil pelajar yang masih terlibat dengan masalah sosial seperti salah laku seksual tetapi ianya sudah pasti berkurangan dari yang sedia ada sekiranya faktor-faktor yang disebutkan di atas di awasi dengan baik.

Saranan yang diutarakan oleh beberapa pengkaji, ibu-bapa yang prihatin serta penulis lain berkenaan isu pendidikan seks di sekolah harus diambil tindakan yang serius oleh pihak yang berwajib. Ini kerana tamadun sesuatu bangsa akan runtuh sekiranya generasi muda mereka terdiri dari mereka yang rapuh pegangan sistem nilainya.

Sebagai kesimpulan, pendidikan seks di sekolah harus di santuni dengan penuh hikmah dan mesti mempunyai tujuan dan matlamat yang jelas. Kesilapan dalam pembuatan dasar serta menentukan matlamat yang hendak dicapai sudah tentu akan mengganggu usaha-usaha untuk mencapai matlamat tersebut. Bagi memastikan ianya berjaya dilaksanakan, penglibatan semua pihak amat diperlukan. Hala tuju dan falsafah yang melandasinya juga perlu jelas.

Tidak dapat tidak, sumbangan dari ibu-bapa, pelajar dan orang ramai harus diambil kira oleh pihak yang berkenaan. Penulis yakin pendidikan seks yang berteraskan sistem nilai yang berorientasikan akhlak yang murni akan membawa kepada pembentukan generasi muda yang terpelajar, terdidik dan berakhlak mulia, seterusnya melahirkan tamadun bangsa yang terbilang. Dalam hal ini apakah kita masih mencari arah?

Oleh: Dr. Haslinda Abdullah
Ketua Biro Pendidikan Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM)