Halaman

Rabu, Mac 03, 2010

Aktivis ABIM Tokoh Maulidur Rasul 2010


Aktivis kemasyarakatan ABIM, Dato’ Dr Abdul Razak Kechik, telah menerima anugerah Tokoh Maulidur Rasul Kebangsaan 201O, dalam kategori tokoh dari Badan-badan Bukan Kerajaan (NGO). Anugerah tersebut telah disampaikan oleh Timbalan Yang di-Pertuan Agong Tuanku Abdul Halim Mu'adzam Shah pada majlis sambutan Maulidur Rasul peringkat kebangsaan di Masjid Putra, Putrajaya, pada Jumaat yang lalu.

Dato’ Dr. Abdul Razak, yang pernah berkhidmat sebagai pengarah kesihatan di Terengganu, Kuala Lumpur, dan Perak, merupakan aktivis yang banyak bergiat dalam pelbagai program kebajikan Orang Asli serta Anak Yatim di samping pelbagai program bantuan kemanusiaan di Acheh, Pakistan, Yogyakarta, dan beberapa negara lain.

Turut menerima anugerah Maulidur Rasul untuk tahun ini, ialah usahawan Faiza Bayumi Syed Ahmad, pendakwah dan penceramah bebas Datuk Abu Hassan Din Al-Hafiz, Pegawai Penyelidik Dr Tan Swee Lian, Pengarah Institut Penyelidikan Produk Halal, Universiti Putra Malaysia (UPM) Profesor Dr Yaacob Che Man, dan pelajar Nik Nur Madihah Nik Mohd Kamel. Timbalan Dekan di Institut Pemikiran dan Ketamadunan Islam Antarabangsa (ISTAC), Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Profesor Datuk Dr Mahmood Zuhdi Abdul Majid diumumkan penerima Anugerah Perdana Maulidur Rasul Peringkat Kebangsaan pada tahun ini.

http://www.abim.org.my/