Halaman

Jumaat, Oktober 23, 2009

MABIMS Selaku Platform Penyatuan Ke Arah Membina Generasi Pemimpin Akan Datang

Pada 19 hingga 24 Oktober 2009, telah diadakan program Leadership Training Belia MABIMS bertempat di Ciater ,Subang, yang terletak di Provinsi Jawa Barat Indonesia.

Program yang bertemakan Meningkatkan Kompetensi Kepimpinan dan Daya Saing Belia Dalam Menghadapi Persaingan Global, ini diadakan untuk berkongsi pengalaman berhubung pembangunan belia di kalangan negara-negara anggota dan merintis penyelesaian dalam menangani gejala sosial, memberi informasi mengenai aktiviti-aktiviti dakwah yang dilaksanakan oleh pertubuhan-pertubuhan belia serantau disamping mewujudkan jaringan kerjasama yang lebih erat di kalangan NGO’s belia yang mewakili negara-negara anggota MABIMS.


Delegasi Malaysia diketuai oleh Ustaz Mohd Ajib bin Ismail(Pengacara Forum Perdana Ehwal Islam), Penolong Pengarah Kanan Cawangan Kefahaman Islam, Bahagian Dakwah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM). Beliau telah membentangkan kertas kerja bertajuk “Pengalaman Pengembangan Organisasi Belia Berdasarkan Pengalaman di Negara Malaysia”.

Turut serta ke program tersebut ialah saudara Ann Wan Seng dari Persatuan Cina Muslim Malaysia (MACMA), Ustaz Ahmad Shahrom Zamri dari Bahagian Hadhari JAKIM, Ustaz Nasrul Hadi Rohani dari Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS). Penulis (Noryzal Zainal Abidin) yang mewakili Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM).

Sepanjang 6 hari berada di sana, seramai 100 orang para peserta Program Belia MABIMS telah didedahkan dengan pelbagai aktiviti bersifat latihan kepimpinan seperti slot Out Bound “leadership”, outdoor game, pembentangan kertas kerja, aktiviti dalam kumpulan, diskusi, ceramah umum dan pembentangan resolusi. Amat membanggakan, program Belia MABIMS pada kali ini turut dimeriahkan oleh penyertaan peserta dari Afrika Selatan dan Thailand, selain negara-negara anggota tetap MABIMS seperti Brunei, Republik Indonesia, Malaysia dan Singapura.

Dalam ucapan alu-aluannnya, Ketua delegasi Malaysia telahbmenyampaikan ucapan salam Y. Bhg. Dato’ Ketua Pengarah JAKIM kepada tuan rumah penganjur program Indonesia dan semua para delegasi dan peserta Program Belia MABIMS 2009 pada hari ini.

Dalam ucapan perasmiannya, Bapak Kepala Kantor Agama di Provinsi Jawa Barat Indonesia, Bapak Hj. Muhaimin Lutfi, telah menyarankan agar program ini menjadi satu platform penyatuan silaturahim, Silatur fikr, Silatur qalb dan Silatur amal di kalangan peserta program Pertemuan MABIMS 2009.

Beliau mengingatkan bahawa generasi belia ini bakal menjadi pewaris bangsa dan agama. Oleh yang demikian usaha mewujudkan jaringan kerjasama yang akrab di kalangan peserta perlu digerakkan, agar jaringan yang terbina dalam program pada hari ini boleh dimanfaatkan pada masa akan datang.

http://abim.org.my/