Halaman

Khamis, September 03, 2009

Kenyataan Media - Harga Baru Bahan Bakar: Abim Minta Ia Diperhalusi Semula

2 September 2009/ 12 Ramadhan 1430 H - Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) memandang berat pengumuman harga bahan bakar baru, Ron 95, memandangkan ia dinilai membebankan pengguna bahan bakar berkenaan. Walaupun pada dasarnya, pengenalan petrol jenis baru Ron 95 sebagai alternatif pilihan kepada RON 97, ABIM yakin dengan ini pengguna dapat membuat pilihan bahan bakar mana yang sebaiknya untuk keperluan seharian mereka, akan tetapi pengenalan harga bahan bakar yang diumumkan kelmarin, dikhuatiri telah mencetuskan perasaan tidak puas hati di kalangan rakyat Malaysia, yang menerima kesan secara langsung daripada kenaikan harga bahan bakar tersebut.



Dalam hal ini, perubahan ataupun kenaikan harga sesebuah barangan perlu dilakukan secara serta merta jika dibandingkan dengan penurunan harga barangan. Malah ABIM merasakan pada saat majoriti rakyat Malaysia akan menyambut hari perayaan terbesar umat Islam, kenaikan harga bahan bakar ini akan menyebabkan bertambahnya kos perbelanjaan rakyat Malaysia. Perlu diingat bahawa sebarang perubahan di dalam harga bahan bakar ini akan mempengaruhi pergerakan harga barangan lain di pasaran.

Ini secara langsung menghimpit majoriti masyarakat yang telah pun mengalami kesan langsung akibat krisis ekonomi yang melanda dunia. Malah tindakan ini juga jauh menyimpang daripada matlamat yang ingin dicapai menerusi kempen penurunan harga barangan, yang hingga ke saat, ini masih giat dijalankan dan masih belum lagi mencapai kenyataan.

Atas dasar keprihatinan untuk menyuarakan kepentingan umum, ABIM mencadangkan agar kerajaan:

1. Mengekalkan harga bahan bakar sedia ada (RON 97) pada harga sebelumnya.

2. Pengenalan kepada harga bahan bakar baru ini (RON 95) perlu lebih rendah berbanding dengan harga bahan bakar RON 97.

3. Memastikan bekalan dan kebolehcapaian kepada bahan bakar baru (RON 95) boleh didapati di seluruh pelusuk Negara termasuk di kawasan luar bandar terutama sekali di kawasan pedalaman Sabah & Sarawak.

4. Sebarang perubahan harga barangan asasi perlu mengambil masa serta tidak perlu dilaksanakan secara terburu-buru.

5. Memastikan dengan tegas dan efektif agar tidak ada peniaga, pemborong dan pengilang yang mengambil kesempatan untuk menaikkan harga barangan lain, akibat daripada perubahan harga bahan bakar berkenaan.

"MENEGAKKAN KEBENARAN DAN KEADILAN"

AHMAD SAPARUDIN YUSUP
NAIB PRESIDEN KEBANGSAAN


http://www.abim.org.my/