Halaman

Jumaat, September 11, 2009

Abim gesa hentikan provokasi



Angkatan Belia Islam Malaysia (Abim) memandang berat tindakan provokasi oleh pihak yang tidak bertanggungjawab berhubung isu serta insiden yang membabitkan hubungan dua hala Malaysia-Indonesia.

"Ini memandangkan provoksi tersebut boleh menjejaskan hubungan erat yang sedia terjalin antara kedua negara serumpun sejak sekian lama," kata Naib Presiden Antarabangsa Abim, Khairul Faiz Morat.


Di samping itu, katanya, Abim menilai provokasi tersebut memperlihat ceteknya pengetahuan dan kurangnya kefahaman terhadap persamaan budaya dan nilai masyarat yang dikongsi antara kedua negara serta rantau Melayu keseluruhannya, sepertimana yang telah dibuktikan oleh fakta dan realiti sejarah.

"Bahkan, laungan slogan serta tindakan provokasi seperti "Ganyang Malaysia" serta insiden "buluh runcing" jelas tidak menggambarkan amalan budaya hormat menghormati, berbudi bahasa, saling membantu, sudah sebati di kalangan sebahagian besar masyarakat di kedua-dua negara," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Khairul berkata, sejarah lampau telah membuktikan bahawa tindakan-tindakan sedemikian boleh mencetuskan ketegangan sekiranya tidak ditangani dengan tegas dan penuh hikmah.

"Justeru, atas semangat perkongsian agama dan budaya yang sama, Abim menyambut baik usaha yang telah dilaksanakan oleh kerajaan kedua-dua negara untuk menangani isu-isu berkaitan, menerusi saluran diplomatik yang sedia terjalin antara kedua negara," tambahnya.

Sehubungan itu, katanya, Abim menyeru rakyat kedua-dua negara supaya tidak terpengaruh dengan dakyah yang cuba dilakukan oleh pihak-pihak yang tidak bertanggungjawab.

"Di samping meletakkan kepercayaan sepenuhnya kepada usaha diplomatik yang dibuat oleh kerajaan kedua negara serta tidak mengambil tindakan yang boleh menjejaskan hubungan baik yang sedia terjalin antara kedua negara sejak sekian lama," katanya.

Sumber : http://malaysiakini.com/