Halaman

Jumaat, Mei 29, 2009

GPTD Al-Fatih : Merintis misi Tema Muktamar ABIM Kelantan Kali ke 36

29 Mei 2009
From Grup Generasi Al-Fatih | GPTD Kelantan



Usrah exco pimpinan ABIM Kelantan yang berlangsung di Sekretariat ABIM Kelantan dan di naqibkan oleh Yang dipertua ABIM Kelantan, Al-fadhil Ustaz Faisal bersetuju untuk merintis Grup Generasi Al-Fatih yang merupakan grup di bawah GPTD (Grup Pengkaji Tamadun Dunia) sebagai platform bagi menggerakkan misi tema Muktamar ABIM Kelantan kali ini yang akan berlangsung pada Julai hadapan. Dalam usrah ini, sedikit gimik pelancaran Grup ini telah dilakukan oleh Ustaz Faisal di ruangan blog GPTD-AlFatih.

From gptd-alfatih
Dari kiri saudara Anuar Ibrahim, Ustaz Fadlul, Alami (SU ABIM),
Ustaz Faisal (YDP) dan saudara Afzan (Ketua GPTD-Al-Fatih)


Tema yang dipersetujui ahli exco usrah untuk muktamar ABIM Negeri kali ini ialah Meneladani Qudwah, Membina Generasi. Tema ini mengambil semangat dan penghayatan teladan tokoh yang berjaya manakluki kota Konstantinople pada tarikh 29 Mei 1453, Sultan Muhammad Al-Fatih dan generasi terbaik di zaman baginda. Sebagai berkongsi semangat yang di sinergikan pada pertemuan usrah kali ini sehingga mencetuskan Tema dan resolusi merintis Grup Al-Fatih, berikut adalah kronologi dalam pertemuan usrah kali ini :

Pengisian Usrah : Peribadi Unggul Rasulullah, Watak Yang Terakam Dalam Al-Quran

From gptd-alfatih


Usrah yang dimulakan dengan pengisian ringkas oleh Ustaz Faisal tentang isu generasi muda dan penghayatan Qudwah Rasulullah SAW. Menginsafi bahawa Keruntuhan Akhlak/ Moral Generasi Muda bererti Kehancuran Sesuatu Bangsa, bermakna wajarlah generasi muda hari ini harus di bina kembali budi pekertinya. Ustaz Faisal memetik ungkapan seorang penyair bernama Syauqy, beliau Bermadah;

Sesuatu umat itu tidak lain melainkan budi pekerti.
Selama budi pekerti itu ada maka adalah umat. Sekiranya
budi pekerti itu lenyap maka lenyaplah umat .

Ustaz menegaskan generasi perubah masyarakat hari ini sememangnya terdiri daripada mereka yang mempunyai karakter budi pekerti yang mulia. Beliau menyentuh tentang bagaimana hadirnya Rasulullah SAW ditengah-tengah masyarakat jahiliyyah yang mempunyai moral yang amat buruk akhirnya berjaya di ubah secara total moralnya kepada masyarakat yang berakhlak mulia.

Perubahan masyarakat ini boleh dilihat dari karakter Rasulullah sebagai Moralis yang membawa
misi memperteguh asas-asas akhlak yang terpuji dikalangan manusia dan hadirnya baginda di
tengah-tengah masyarakat sebagai pembawa Risalah Kenabian.

Firman Allah SWT:
“Sesungguhnya adalah pada diri Rasulullah SAW itu
contoh ikutan terbaik” ( al-ahzab, 33:21 )

“Sesungguhnya engkau itu wahai Muhammad benar-benar punyai budi pekerti yang mulia”
( al-Qalam: 68:4 )

Sabda Nabi SAW:
“Sesungguhnya aku dibangkitkan untuk menyempurnakan kemuliaan akhlak”

2 Fungsi Besar Generasi Moralis - Agent Of Change

Rumusan daripada qudwah Rasulullah tadi, dua fungsi besar yang harus di pugar dalam pembawakan generasi muda sebagai "moralis" atau agen perubahan iaitu :

Pertama : sebagai Perubah manusia (Human Transformers)
Kedua : pembina budaya (Culture Builder)
Ustaz menegaskan bahawa dua fungsi ini memainkan peranan yang amat penting kerana sebagai
perubah manusia (human transformer), generasi ini sudah pun melalui saringan kaedah transformasi insan dalam dirinya sendiri iaitu mengubah diri (Taghyir Al-Anfus ) dan membentuk akhlak yang mulia (Taqwin Al-Akhlak Al-Karimah).

Manakala sebagai pembina budaya, generasi muda ini tidak akan dipengaruhi oleh keadaan dan
budaya buruk di sekelilingnya malah mampu mempengaruhi keadaan dan mengubah budaya buruk itu kepada budaya aklaq yang mulia. Bagi mengukuh idea 2 fungsi moralis di atas, Ustaz Faisal mengungkapkan Fakta Sejarah – bahawa ;

Rasulullah SAW berjaya mengubah imej akhlak masyarakat Arab Jahiliyyah yang tergambar seperti penyembahan berhala, pembunuhan anak perempuan, minum arak, berzina, peperangan antara qabilah, penipuan, penindasan bertukar kepada Satu masyarakat yang toleransi, harmonis dan saling hormat menghormati.

Melihat kepada keadaan jahiliyyah moden yang berlaku pada hari ini melibatkan masalah berikut :

Antarabangsa
* Kemiskinan
* Pemimpin Rasuah
* Penyakit Berleluasa
* Buta Huruf
* Budaya Hedonistik Malazzat
* Gejala fasad Mungkar

Lokaliti
* Pengangguran
* Perang Saudara
* Perceraian
* Berkonflik
* Pergaduhan Sesama Sendiri
* Pembaziran
* Tidak Berakhlak
* B’gantung Negara Luar


maka jelas dunia hari ini memerlukan generasi moralis yang mempunyai elemen 2 fungsi untuk merubah masyarakat. Akhirnya perbentangan ini mendapat reaksi pelbagai oleh teman -teman exco bagaimana keadaan semasa di lapangan seperti di alam mahasiswa, masyarakat dan lapangan kerjaya.

29 Mei dan sultan Muhammad Al-Fatih

From gptd-alfatih


Jam 12.00 malam seketika nanti, tarikh akan berganjak ke Tarikh 29 Mei 2009. Tarikh keramat 29 Mei ini suatu ketika dahulu pernah memugar sejarah tentang penaklukan sebuah Kota Agung
yang pernah di ungkapkan oleh Nabi SAW :

“Constantinople itu pasti akan dibebaskan. Sebaik-baik pemimpin adalah pemimpin (penawanan) nya dan sebaik-baik tentera adalah tentera (yang menawan)nya”
[Hakim, 4.422; Bukhari, Tarikh al-Saghir, 139; I. Hanbal, 4.335]

Mengambil semangat 29 Mei 2009, Ustaz Faisal berkongsi dengan pimpinan exco tentang sejarah Al-Fatih yang di adaptasi dari artikel senior iaitu Datuk Husam Musa dalam artikel terkininya mengenai Sultan Muhammad Al-Fatih.

From gptd-alfatih


Manakala saudara Faizul Afzan yang merupakan Ketua Penyelaras GPTD Kelantan , membentangkan presentasi modul "Meneladani Qudwah, membina Personaliti" yang diadaptasi oleh sejarah Sultan Muhammad Al-Fatih. Modul ini kali pertama di bentangkan di hadapan pelajar-pelajar di Maahad Tahfiz Pulau Chondong, Machang pada 10 APril yang lepas. Modul perbentangan ini merupakan modul motivasi pembinaan karakter generasi muda berasaskan teladan Tokoh khususnya Sultan Muhammad Al-Fatih.

Tema Muktamar ABIM Kelantan

Akhirnya selepas perbentangan pengisian Usrah pada tadi, agenda pengisian usrah beralih kepada perbincangan asas konsep muktamar ABIM negeri Kelantan kali ini. Cukup signifikan, persetujuan exco terhadap konsep Muktamar ABIM kali ini cukup menarik. Tema yang akan diangkat kali ini sememangnya berasaskan modul dan pengisian usrah yang dibentangkanseketika tadi.

Dengan mengambil semangat dan budaya serta minat generasi muda hari ini, dan meneladani qudwah tokoh-tokoh islam terdahulu bermula qudwah teragung Nabi Muhammad SAW, merentasi tokoh-tokoh Islam yang lain sehinggalah kepada qudwah Sultan Muhammad Al-Fatih, persetujuan di kalangan exco ABIM untuk mengangkat tema yang menyantuni kedua-duanya iaitu Meneladani Qudwah , Membina Generasi

Misi di sebalik tema "Meneladani Qudwah, Membina Generasi"

Disebalik tema ini, mempunyai huraian-huraian misi yang akan diserlahkan oleh pimpinan dan aktivis ABIM kali ini. secara asas, tema kali ini akan memperbaharui jenama-jenama program yang sudah dilakukan untuk menarik generasi muda. Setiap aktiviti yang berbentuk rekreasi, ekstrim yang menarik generasi muda seperti mendaki gunung, menjejak pulau , ataupun program yang bersifat motivasi dan ilmiah akan diselarikan dengan Nilai Islam.

Sebagai contoh Ekspedisi Mendaki Gunung bakal dijenamakan sebagai Ekspedisi Tariq Ziad, yang mana disebalik aktiviti ini , kepenatan pendaki merasi cabaran mendaki akhirnya akan di isi makna perjuangan tokoh-tokoh Islam seperti Pangkima Tariq Bin Ziad.

Bahkan aktiviti bersifat kesukanan juga akan diterapkan nilai disebalik itu. Inilah yang dimaksudkan makna tersirat disebalik tema. iaitu menerapkan nilai disebalik aktiviti.

Grup Al-fatih Merintis Tema

Dalam usrah kali ini juga, mengambil semanagat 29 Mei sebagai hari memperingati Pembebasan Konstantinople, Ustaz Faisal dan pimpinan exco secara drastik bersetuju untuk merintis Grup Generasi Al-Fatih kelolaan GPTD dengan menjadikan Ustaz Faisal sebagai mentor dan Faizul Afzan sebagai Ketua Grupnya. Melalui persetujuan itu, sedikit gimik pelancaran ringkas di adakan iaitu YDP ABIM meletakkan kenyataan ringkas di ruangan Shout Box blog GPTD-AlFatih dengan mesej berikut :



YDP ABIM Kelantan :
"Salam. membina generasi perlukan qudwah. abim kelantan akan rintis al-fatih"

kemudian tepat jam 12.00 malam, 29 Mei 2009, Semua Exco ABIM termasuk Setiausaha Agung PPIK (Shahiran) bergambar kenang-kenangan sebagai reaksi pelancaran "Grup Generasi Al-Fatih-GPTD" oleh Al-Fadil Ustaz Faisal. Grup ini akan menjadi perintis , yang akan bergerak bertemu generasi muda menganjurkan program yang berasaskan Tema "Meneladani Qudwah membina Generasi". Grup ini juga akan mengembangkan idea 2 fungsi yang telah dibentangkan oleh Ustaz Faisal dalam usrah tadi iaitu "Human Transformers dan Culture Builder"

From gptd-alfatih
Turut Hadir, Setiausaha Agung PPIK, saudara Syahiran (kiri)


Semoga dengan pelancran Grup ini, akan melahirkan generasi muda khayra Ummah yang akan memimpin masyarakat berasaskan teladan tokoh-tokoh terdahulu. Majlis usrah berakhir sekitar jam 12.15 malam.