Halaman

Selasa, Oktober 28, 2014

ABIM MOHON UMAT ISLAM MALAYSIA BERI PERHATIAN KEPADA KENYATAAN PROF. YUSOF al-QARADHAWI


Merujuk kepada kenyataan yang ditulis oleh Sheikh Prof. Dr. Yusof al-Qaradhawi, Pengerusi Persatuan Ulama’ Sedunia berkaitan kes fitnah YB Dato’ Seri Anwar Ibrahim. Kenyataan itu bertarikh 26 Oktober 2014, bersamaan 2 Muharam 1436.

Dalam kenyataan itu, beliau menegaskan bahawa pertuduhan tanpa disertai oleh 4 orang saksi adalah satu kebohongan di sisi Allah s.w.t. Beliau juga menyeru agar kita semua beriman dengan firman Allah dalam kisah Hadith al-Ifk pada Surah an-Nur ayat 12-13.

Walaupun pertuduhan ini telah menjangkau bertahun-tahun, nampaknya ulama yang berkepentingan yang membawa pandangan-pandangan picisan masih lagi gagal menyakinkan beliau. Sudah tentu Sheikh Prof. Dr. Yusof al-Qaradhawi mempunyai hujah yang berasaskan ilmu yang mendalam dalam mengekalkan pandangannya.
Beliau juga dengan tegas tanpa ragu-ragu mempersoalkan kredibiliti sistem kehakiman negara yang sedang digunakan untuk melindungi kepentingan pihak-pihak tertentu. Keyakinan beliau terhadap DSAI juga tidak tergugat apabila memperihalkan tentang kegigihan, kesabaran dan ketabahan beliau dalam perjuangan Islam dari zaman mudanya lagi.

Marilah semua umat Islam di Malaysia, memberi perhatian kepada peringatan dan pandangan oleh seorang ulama yang diakui keilmuannya dan diiktiraf di seluruh dunia termasuk di Malaysia yang menganugerahkannya Tokoh Maal Hijrah Antarabangsa bagi tahun 2009.

ABIM juga secara khusus menyeru kepada Saudara Mohd. Saiful Bukhari bin Azlan bertaubat jika benar apa yang dikatakan oleh Sheikh Prof. Dr. Yusof al-Qaradhawi dalam surat peringatannya itu.

AMIDI BIN ABDUL MANAN
PRESIDEN