Halaman

Selasa, Januari 03, 2012

2012 dan Isinya

Menyoroti kembali kisah hidup kita pada tahun 2011, sudah tentu banyak kisah suka dan duka yang telah mewarnai kehidupan. Selayaknya seorang hamba Allah, menyambut pemergian tahun 2011 dengan penuh keinsafan. Menginsafi kekhilafan kita yang lalu dan berazam untuk tidak melakukannya lagi.




Sewajarnya tahun baru menjadi detik merenung kembali perjalanan dilalui setahun berlalu dan menilai kembali aspek yang perlu dipertingkatkan serta perkara yang harus ditinggalkan. Muhasabah ini perlu untuk melahirkan umat Islam yang memiliki keperibadian cemerlang.

Malangnya, saban tahun sambutan tahun baru di Malaysia dicemari dengan program-program maksiat dan kemungkaran . Masyarakat Islam dihidangkan dengan hiburan-hiburan yang melalaikan. Konsert, kelab malam, hiburan dan pelbagai lagi bentuk maksiat mewarnai sambutan tahun baru yang sepatutnya menjadi titik tolak kepada perubahan dan muhasabah buat umat Islam. 

Lebih malang lagi apabila majoriti mereka yang terjebak dengan perkara ini majoritinya anak-anak muda yang beragama Islam. Golongan yang kita harapkan menjadi pemimpin dan perubah masyarakat pada masa hadapan. Akhirnya, sambutan tahun baru berlalu bukan sahaja tanpa ada sebarang resolusi , malah dicemari pula dengan aktiviti-aktiviti maksiat yang sudah tentu mengundang murka Allah S.W.T.





Keraian Dan Hiburan
Saidatina Aisyah r.a. menceritakan : “Abu Bakar masuk kepadaku sedang bersamaku dua orang budak perempuan Ansar yang sedang menyanyi dengan syair/ungkapan yang saling diucapkan (antara dua puak) Ansar (yakni ‘Aus dan Khazraj) dalam peperangan Bu’ats. Aisyah menerangkan; mereka berdua bukanlah penyanyi. (Melihat hal tersebut), Abu Bakar lantas berkata; “Apakah serunai-serunai syaitan di rumah Rasulullah?”. Hari itu adalah hari raya. Maka Rasulullah s.a.w. berkata; “Wahai Abu Bakar, sesungguhnya bagi setiap kaum ada hari rayanya dan ini adalah hari raya kita”.
                                                                                            (Riwayat Imam Bukhari dan Muslim)


Menyambut keraian dengan hiburan tidak salah di sisi agama Islam, namun bentuk hiburan yang bertepatan dengan syara’ sering disalah tafsir. Budaya hiburan melampau atau lebih dikenali sebagai Hedonisme menjadi alat syaitan untuk menyesatkan umat manusia. 

Dari hiburan yang melampau melarat pula kepada masalah pergaulan bebas, manusia semakin terhakis pegangan agama dan akhirnya membawa kepada kerosakan masyarakat Islam. Hiburan adalah satu fitrah yang wujud dalam diri setiap manusia. 

Siapa yang tidak suka kepada perkara-perkara yang menyeronokkan? Namun, fitrah yang tidak terkawal akan melahirkan manusia yang menjadi hamba kepada hawa nafsu. Maka, disinilah peranan agama Islam dalam mengawal fitrah manusia berlandaskan syariat yang telah Allah tetapkan.




Malangnya, seringkali mereka yang mengaku pejuang agama hanya bertindak reaktif dengan menyalahkan anasir-anasir yang menyerang umat Islam tanpa menyelidik apa alternatif dan benteng untuk menangkis serangan identiti ini. Tanpa alternatif hiburan yang islamik, manusia akan memilih hiburan melalaikan yang begitu banyak tersedia melalui konsert, radio, televisyen dan lain-lain.