Halaman

Selasa, September 13, 2011

KENAIKAN CUKAI PERKHIDMATAN PRABAYAR JANGAN BEBANKAN RAKYAT

Pengumuman kenaikan cukai perkhidmatan prabayar sebanyak enam peratus mulai 15 September ini bakal meninggalkan implikasi yang pelbagai, terutama sekali kepada golongan pengguna.

Paling ketara, kenaikan cukai ini akan meningkatkan kos komunikasi terpaksa ditanggung oleh pengguna yang terlebih dahulu terpaksa memenuhi keperluan caj-caj sedia ada yang dikemukakan oleh syarikat telekomunikasi.

Pada masa yang sama, industri telekomunikasi sedang berkembang pesat di negara ini. Industri dilaporkan telah mencatatkan keuntungan yang memberangsangkan.

Sebagai contoh sebuah syarikat telekomunikasi terkemuka negara ini, Maxis telah mencatatkan keuntungan sebanyak pracukai sebanyak RM 2.3 bilion pada September 2010 yang lalu.

Kenaikan cukai ini secara langsung akan memberikan tekanan kepada syarikat-syarikat telekomunikasi untuk mencatatkan keuntungan, dengan mengambil kira kos pengendalian serta pentadbiran yang terpaksa ditanggung pada ketika ini.

Telefon bimbit pada masa kini boleh dikategorikan sebagai barangan asasi yang digunakan oleh pelbagai lapisan masyarakat, sebagai medium komunikasi penting di antara satu sama lain.

Sepatutnya pihak berkenaan mengambil kira fakta terbabit sebelum mengumumkan kenaikan cukai perkhidmatan prabayar. Ini merupakan beban tambahan kepada pengguna terutamanya mereka yang berpendapatan rendah dan sederhana yang kini sedang bergelut dengan kos sara hidup yang tinggi dan kenaikan harga barang. Kepentingan para pengguna tidak boleh dikesampingkan dalam sebarang proses penggubalan dasar ataupun polisi yang berkaitan.

Mohamad Raimi Ab.Rahim
Setiausaha Agung, Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM)